When I Miss You...

Layout by : Yeza리키
Background : xoxoxo
Best view by Google Chrome.

BAB 9 DAN 10
Selasa, 7 Jun 2011 | 0 comments

BAB 9


ISKANDAR mendukung Harez yang sudah tertidur di tempat duduk belakang. Sampai terlena anak kecil itu kerana kepenatan membeli-belah tadi. Ini kali pertama Iskandar membawa anak-anak tirinya itu keluar. Entah mengapa hari ini tergerak hatinya untuk membawa mereka membeli-belah bersama. Kebiasaannya dia akan membeli-belah sendirian. Namun hari ini, lain pula. Sebab utamanya dia sendiri tidak tahu.

Maisarah juga kelihatan sudah keletihan.

“Maisarah, masuk mandi,” arah Iskandar sambil mendukung Harez masuk ke dalam.

Rudiana pula tidak terus melangkah masuk, sebaliknya sibuk mengeluarkan barang-barang yang dibeli tadi ke dalam rumah. Banyak jugalah mereka membeli-belah. Segala barang-barang keperluan yang tiada di dapur. Bawang, sayur-sayuran, makanan basah, makanan kering dan lain-lain.

Semua barang-barang yang dibeli tadi dilonggok di atas kabinet dapur. Rudiana berehat sebentar. Letih terpaksa pusing satu Carrefour untuk membeli semua barang-barang itu. Tekak terasa haus, langkah disusun menuju ke arah peti sejuk. Sempat dia mencapai gelas di rak bersebelahan singki. Pintu peti sejuk dikuak lalu sebotol air menirel dicapai.

Air mineral itu dituang ke dalam gelas lalu ditinggalkan gelas itu seketika di atas kabinet sementara dia ingin meletak kembali air mineral tadi ke dalam peti sejuk. Dia mengeluh halus selepas memikirkan selepas ini dia perlu mengemas semua barang-barang mentah yang mereka beli ke dalam peti sejuk.

Rudiana kaku. Terkejut. Gelas berisi air tadi sudah tiada di tempatnya. Mana pergi air aku? Dia tertanya. Lekas dia memandang sekelilingnya. Kelihatan Iskandar sudah bersandar di tepi mesin basuh sambil meneguk rakus air minumannya tadi. Rudiana hanya menjeling.

“Nak minum tuanglah sendiri. Benci!” rungut Rudiana sekadar kedengaran di kerongkong.

“Apa awak cakap? Saya tak dengar,” tanya Iskandar selamba. Air di teguk sehingga habis. Dalam sembunyi dia tertawa. Pandan muka. Lantaklah, aku dah haus sangat. Desis di hatinya.

Rudiana meregus bosan. Sebiji lagi gelas dicapai. “Tak ada apa. Saya cakap air yang Encik Iskandar minum tu air paip.”

Burrr!!!

Tersembur sisa minuman yang belum sempat ditelan ke muka Rudiana.

Rudiana kaku bila disembur dengan air sebegitu. Basah mukanya.

Iskandar terbatuk-batuk. “Apa awak cakap? Air dalam gelas ni air paip?” tanyanya terkejut.

Rudiana sudah buat muka bengang. Sinis matanya memandang Iskandar. Hilang terus nafsunya untuk meneguk air.

“Pengotorlah Encik Iskandar ni,” rungut Rudiana.

Iskandar dengan pantas mencapai sehelai tauala kecil di atas kabinet dapur lalu dengan perlahan dia mengelap muka Rudiana yang basah.

Rudiana kaku. Kaku bila Iskandar terus mengelap wajahnya. Tiba-tiba dadanya terasa berdebar. Ada satu perasaan mula mencuit jantungnya. Jika tadi muka bansah dengan air, kini dibasahi pula dengan peluh yang tiba-tiba merenek di dahi.

Lama Iskandar memandang wajah Rudiana. Baharu hari ini dia melihat wajah gadis itu dari jarak dekat. Mulus, gebu dan bersih. Jiwa lelakinya bergetar melihat wajah itu. Tangannya yang tadi laju mengelap wajah Rudiana tiba-tiba menjadi perlahan. Hatinya jadi tidak keruan. Terpandangkan wajah Rudiana membuatkan dia serba tidak kena. Buat seketika mata mereka saling bertaut.

Mereka berdua sudah dibuai oleh satu perasaan yang tidak pernah diduga. Mata terus tertaut bersama. Spontan masing-masing menghampirkan wajah masing-masing. Hanya tinggal setengah inci bibir mereka ingin bersentuhan tiba-tiba Rudiana terjaga dari lamunan.

“Eh!” lekas Rudiana melarikan wajahnya lalu menjauhkan tubuhnya dari tubuh Iskandar.

Iskandar turut terjaga dari lamunannya. Dia turut melarikan pandangan dan menjauhkan tubuhnya dari tubuh Rudiana. Masing-masing malu sendiri.

“Saya nak kemas barang-barang ni, baik Encik Iskandar naik atas dulu,” Rudiana menukar topik sambil. Buat-buat sibuk mengeluarkan segala isi plastik yang berlonggok di hadapannya.

“Nak saya tolong?” Iskandar menawar diri.

“Eh tak apa, saya boleh handle semua ni.” Tukas Rudiana. Kalau Iskandar ada pasti tak terbuat kerjanya nanti. Aduh! Kenapa aku rasa lain macam dengan lelaki ni? Detik di hatinya.

“Okey, kalau macam tu saya nak mintak maaf sebab tersebur muka awak tadi,” pohon Iskandar masih malu sambil meletakkan kain di tangannya di tempat asalnya. Lambat-lambat dia meninggalkan dapur menuju ke aras atas. Dia ingin membersihkan diri. Penat berjalan tadi.

Bila kelibat Iskandar sudah hilang dari pandangan mata, Rudiana mengeluh lega. Dia berdiri bersandar pada kabinet dapur.

Apa hal dengan aku ni? Kenapa aku rasa lain macam dengan dia? Semakin seram aku dengan Encik Iskandar ni. Semakin hari semakin berani buat benda-benda yang bukan-bukan. Bahaya betul. Ni yang buat aku nak pindah ni. Tapi… hatinya berkira-kira. Dia mengeluh halus. Masakan dia boleh meninggalkan rumah ini dalam tempoh tiga bulan? Kalau dia keluar, itu sudah melanggar perjanjian. Kena bayar enam puluh ribu ringgit kepada Iskandar. Mampukan dia? Dia semakin berserabut. Dalam masa yang sama dia mencuba menidakkan satu perasaan yang mula memutik di sanubarinya.

***

SHILA memandang lama kawan baiknya itu yang sedang duduk termenung di katil sambil memandang keluar tingkap. Sejak wanita itu masuk ke pusat pemulihan akhlak ini dia sering melihat kawannya itu terus termenung sendirian. Jarang dia melihat kawanya itu berbual dengan sesiapa selain dirinyaa. Wanita itu lebih suka menyendiri.

Shila melangkah menhampiri kawan baiknya itu. “Zakiah,” sapanya perlahan sambil mencuit bahu Zakian perlahan.

Zakiah yang jauh mengelamun tersentak kecil. Lekas dia memandang wajah Shila yang sudah duduk di sebelahnya. Dia mengeluh halus lalu kembali membuang pandangan keluar tingkap. Jelas ada sisa air mata di kelopak matanya.

Shila turut mengeluh halus melihat wajah sedih Zakiah itu. Dari kerutan dan kesedihan yang terpamer di wajah Zakiah dia dapat membaca ada sesutau yang sedang dipendam oleh Zakiah. Enam bulan dia mengenali wanita itu bukanlah satu jangka masa yang singkat. Sehingga kini, walaupun dia rapat dengan Zakiah, sedikit pun dia tidak pernah tahu kisah silam Zakiah sebelum masuk ke pusat ini. Sudah puas dia memujuk wanita itu supaya meluahkan apa yang terpendam. Sehingga kini, Zakiah masih belum sudi meluahkan kepadanya.

“Zakiah,” Shila menyentuh tangan Zakiah. Sentuhannya tidak berbalas. “Dah lama kita berkawan. Dekat enam bulan kita di sini. Aku lihat kau, masih seperti ini. Termenung. Bersedih. Orang tanya sepatah, kau jawab sepatah. Kadang-kadang kau angguk dan geleng aje. Puas aku cuba selami hati kau, tapi kau tak pernah membenarkan aku menyelami masalah kau. Kenapa ya?” entah buat keberapa kali agaknya Shila menuturkan pertanyaan yang sama. Namun, jawapannya masih sama. Senyap!

Tiada balasan dari Zakiah. Shila mengeluh halus. Tidak tahu bagaimana lagi cara yang perlu dia gunakan untuk memujuk hati kawan baiknya itu. Dia mengenali Zakiah sejak hari pertama Zakiah dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak ini. Di ketika itu dia baharu seminggu di sini. Dia dimasukkan ke dalam pusat ini kerana tertangkap semasa mengisap ganja bersama rakan-rakannya. Syukur, alhamdulillah atas nasihat pakar kaunseling di pusat ini dia dapat mengawal diri dari terus ketagih benda haram itu.

Shila mengeluh halus. Dia tidak mahu memaksa. Tangan Zakiah ditepuk perlahan beberapa kali sekadar ingin memberi semangat. Beberapa saat kemudian dia menyusun langkah untuk beredar. Sebentar lagi akan masuk waktu magrib. Dia perlu bersiap untuk ke surau.

“Shila,” langkah Shila terhenti bila namanya tiba-tiba diseru dan dia pasti suara yang menyeru namanya itu adalah suara Zakiah. Dia kembali berpaling memandang Zakiah. Zakiah masih membuang pandangan keluar tingkap. Terdengar ada esakkan kecil. Pantas dia menghampiri Zakiah.

Dengan pantas Zakiah memeluk tubuh Shila. Dia mengogoi kesedihan di dalam pelukan Shila. Melepaskan kekesalan dan rasa bersalah yang ditanggungnya selama ini di sini di bahu Shila. Enam tahun menanggung penyesalan sendirian amat memeritkan. Enam bulan meyimpan rahsia yang ditanggung amat menyenakkan dada. Dia merasakan Shila ikhlas menjadi kawannya. Sudah tiba masanya untuk dia meluahkan apa yang terpendam.

Shila mengusap belakang Zakiah yang sudah terhinjut-hinjut menahan sedu-sedan. Dia membiarkan Zakiah melepaskan apa yang terbuku di hati di bahunya. Dia tahu sudah lama Zakiah memendam rasa. Dia tahu kawannya itu menderita memendam sesuatu yang amat berat.

“Aku bersalah pada anak-anak aku Shila. Aku berdosa dengan bekas suami aku. Aku berdosa dengan mereka. Aku tak layak digelar ibu. Aku seorang wanita yang tidak berguna. Sanggup membuang keluarga kerana lelaki lain. Aku wanita kotor Shila,” akhirnya Zakiah melepaskan apa yang terpendam dalam sedu-sedannya.

“Syh…” Shila memujuk sambil mengusap belakang kepala Zakiah. Memujuk Zakiah agar bertenang. Dengan perlahan dia meleraikan pelukan. Wajah Zakiah yang sudah lencun dengan air mata dipandang lama. Sugul sekali wajah kawannya itu. Terhinjut-hinjut Zakiah menahan tangis.

“Kau dah bersedia nak bercerita?” tanya Shila seolah mendesak. Tapi nadanya lembut.

Zakiah terus menangis.

“Aku sudi mendengar cerita kau Zakiah. Aku sudi menjadi tempat kau meluahkan perasaan kau. Selagi kau pendam perasaan yang ada di dada kau, selagi itu kau akan terus berendam derita. Ceritalah pada aku Zakikah. Ceritalah. Aku sanggup mendengarnya,” pujuk Shila beria. Dia sebagai kawan, walaupun wanita itu tidak pernah mahu mendekatinya tapi dia sudi menjadi sahabat sehati sejiwa Zakiah. Semua yang ada di pusat ini adalah sama. Pernah melalukan kesilapan dalan hidup. Mereka di sini untuk kembali ke jalan yang benar.

Sekali lagi Zakiah memeluk tubuh Shila. Dia ingin melepaskan kesedihannya terlebih dahulu.

Shila membiarkan Zakiah melampiaskan tangisannya. Dia tahu, Zakiah perlu dalam keadaan tenang barulah dia boleh bercerita. Sebagai sahabat sejati dia terus memujuk.

***

DIA tersenyum sendiri di hadapan cermin. Rambutnya yang masih basah dibiar kering sendiri. Apa yang berlaku di dapur pagi dan petang tadi masih mengamit jiwa. Dalam masa sehari, dua insiden yang memalukan telah berlaku. Awal pagi tadi, tuala terlondeh. Petang tadi hampir sahaja dia tenggelam dalam gelora jiwa yang entah bila datangnya.

Kenapa dengan kau ni Iskandar? Kau dah jatuh sayang pada dia ke? Baharu sehari budak tu bekerja dengan kau. Kau dah mula jatuh hati? Kau masih tak serik dengan cinta Amanina? Penipuan Zakiah? Dan yang paling penting, kau tahu ke latar belakang Rudiana yang sebenar? Kebiasaannya wanita berperwatakan kasar seperti Rudiana tu suka kaum dia sendiri. Kau tak takut bertepuk sebelah tangan? Jatuh cinta pada lesbian? Hatinya berkata-kata sendiri.

Iskandar mendesah. Masih terlalu awal untuk membiarkan dirinya tenggelam dalam perasaan itu. Dia akui yang Rudiana sebenarnya seorang yang manis. Lesung pipit di kedua pipinya sangat comel bila gadis kasar itu tersenyum. Walaupun berperwatakan begitu, dia tidak kekok di dapur. Masih banyak perkara yang dia tidak tahu tentang Rudiana yang kini sah isterinya. Dan yang paling penting, apa naluri sebenar Rudiana?

Rambut disisir kemas dengan menggunakan sikat. Sekadar lebih kurang sahaja. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 7.30 petang. Azan Magrib sudah berkumandang sejak lima belas minit yang lalu. Segera dia melangkah menuju ke bilik solat untuk menunaikan solat Magrib.

Usai menunaikan solat Magrib dia melangkah menuju ke aras bawah. Kelihatan Maisarah dan Harez sedang leka menonton televisyen. Malas untuk dia menegur. Langkah terus disusun menuju ke meja makan. Tudung saji di angkat. Terhidang tiga jenis lauk dan semangkuk nasi. Kailan tumis, ikan goreng kunyit dan sup sayur. Baunya sungguh menyelerakan. Tidak pernah dia menjamah lauk seperti itu. Kebiasaannya dia akan makan di luar. Makan makanan barat. Jarang sekali makan makanan seperti yang terhidang di hadapan matanya ketika ini. Terhidang juga tembikai yang sudah dipotong kecil sebagai pencuci mulut.

“Maisarah! Harez! Mari makan!” panggil Iskandar sambil mengalihkan tudung saji ke tepi. Dia memandang sekilas ke arah dapur. Tiada Rudiana di situ. Di melarikan pula pandangannya ke arah bilik Rudiana. Tertutup.

Maisarah dan Harez melangkah bosan menuju ke meja makan. Dengan muka tanpa senyum masing-masing melabuhkan punggung di atas kerusi.

“Mana mak cik?” tanya Iskandar sambil menyenduk nasi ke atas pinggan Harez yang kelihatan teruja dengan lauk yang terhidang di atas meja.

“Kakak, ada ikan goreng dengan sayur. Lama tak makan lauk macam ni. Dulu masa ayah ada, selalu ayah masak lauk ni,” ujar Harez seronok sekali. Melihatkan lauk-lauk yang terhidang di hadapan matanya membuatkan dia teringat dengan masakan ayahnya. Masakan sebeginilah yang selalu ayahnya masak untuk mereka semasa ayahnya masih hidup.

Maisarah mencubit adiknya perlahan sambil merenung garang. Kurang sedang dengan sikap Harez.

Iskandar memandang lama dua beradik itu. Tersentuh hatinya mendengar kata-kata si cilik itu. Rupanya mereka merindukan ayah mereka. Selama enam bulan dua beradik itu tinggal bersamanya, sekali pun dia tidak pernah bertanya tentang sejarah hidup mereka. Zalimkah dia? Melihat mereka berdua pasti akan menyemarakan rasa amarahnya pada Zakiah. Namun, masih ada perasaan perikemanusiaan di dalam dirinya kerana sanggup memelihara Maisarah dan Harez walaupun mereka tiada hubungan darah dengannya. Dia menjaga Maisarah dan Harez kerana simpati.

“Mana mak cik kamu ni? Mandi ke… berendam?” rungut Iskandar sengaja ingin mengubah suasana. Tidak mahu dua beradik itu sedih di hadapan rezeki. Mulai dari hari ini, dia akan cuba menjaga anak-anak malang itu sebaiknya.

“Kamu berdua makan dulu, papa nak panggil mak cik kejap,” suruh Iskandar lalu melangkah menuju ke bilik Rudiana. Sebelum melangkah, sempat dia meletakkan seekor ikan goreng kunyit ke atas pinggan Harez.

Tersenyum gembira anak kecil itu menerima pemberian Iskandar. Ini kali pertama mereka di layan oleh papa mereka sebaik ini. Maisarah di hadapan Harez hanya menggeleng.

Pintu bilik Rudiana tidak tertutup rapat. Dengan perlahan Iskandar menolak pintu itu. Dia tidak sempat ingin bersuara bila melihat Rudiana yang lengkap bertelekung sedang asyik mengaji di atas sejadah. Kelunakkan dan kemerduan Rudiana mengaji al-Quran sungguh menusuk ke kalbu. Buat seketika Iskandar terbuai dengan kelunakkan suara Rudiana yang jelas sebutan tajuidnya.

Dengan perlahan dia menutup semula daun pintu bilik itu. Senang hatinya dengan sikap Rudiana. Walaupun personalitinya keras persis lelaki, namun kewajibannya sebagai seorang Muslimah tetap tidak dilupakan. Kini dia yakin, Rudiana bukan lesbian.

***

LOCENG banglo dua tingkat itu ditekan. Dalam masa lima saat, pintu pagar terbuka secara automatik. Dia bertandang ke rumah ini bukan suka-suka. Ada sesuatu yang ingin dibicarakan dengan Iskandar. Bicara tentang Amanina. Melihat wanita itu bersedih tengah hari tadi dia juga turut merasa kesedihan itu. Dengan perlahan dia melangkah masuk.

Walaupun pedih untuk meneruskan perjumpaan ini, demi Amanina dia sanggup lakukannya. Dia akan cuba membuat gadis itu kembali tersenyum walaupun dia yang terpaksa menderita. Kebahagiaan Amanina adalah kebahagiaannya juga. Walaupun dia tahu mustahil untuk dia miliki Amanina, namun hatinya tetap pada wanita itu. Menanti dan terus menanti bulan jatuh ke riba. Andai tiada jodoh, dia pasrah.

Pintu rumah kedengaran dibuka dari dalam. Dengan rasa resah gelisah yang dipendam dia berlagak tenang.

“Eh Nizam, ingatkan siapa tadi. Jemput masuk,” jemput Iskandar teruja. Jarang Khairulnizam bertandang ke rumahnya. Jadi, kedatangan Khairulnizam ini benar-benar mengejutkan.

Khairulnizam mengukir senyum lalu melangkah masuk selepas membuka kasut. Dia memandang ke seluruh pelusuk banglo dua tingkat itu. Struktur dalamannya masih sama. Dialah yang membuat dekorasi untuk ‘Teratak Iskandar’ ini.

“Masih sama, tak ada perubahan,” ujar Khairulnizam sambil tersenyum. Matanya masih meliar ke sana sini.

Iskandar tertawa kecil. “Mestilah, aku mahir mereka landskap aje. Rekaan dalaman ni mana aku tahu. Kang aku ubah yang bukan-bukan, jadi tak cantik pulak,” balas Iskandar sekadar berseloroh.

Mereka berdua tergelak bersama.

“Jemput duduk?” pelawa Iskandar.

Khairulnizam angguk akur lalu melabuhkan punggungnya dia atas sofa.

“Eh, kau nak minum air apa?” tanya Iskandar yang masih berdiri.

“Ala, apa-apalah.”

Iskandar angguk akur lalu berlalu ke dapur. Pintu peti sejuk dikuak. Dua tin air minuman berperisa kopi dicapai lalu dibawa ke ruang tamu. Malas mahu bancuh air panas. Sampai sahaja di ruang tamu minuman itu dihulur kepada Khairulnizam. Punggung dilabuhkan di atas sofa bersebelahan Khairulnizam.

“Anak-anak tiri kau mana?” tanya Khairulnizam sambil membuang pandangan ke arah meja makan. Kosong.

“Ada dalam bilik, buat kerja sekolah agaknya,” jawab Iskandar malas sambil membuka tin minumannya. Isinya diteguk sedikit. Matanya terus tertancap pada skrin televisyen.

Khairulnizam angguk akur. Senyumannya nampak janggal. Dia gelisah. Tidak tahu bagaimana ingin memulakan bicara. Takut, bakalan menjetik hati Iskandar.

“Emmm… Amanina kata, dia ada terserempak dengan kau semalam, betul ke?” tanya Khairulnizam memulakan bicara. Walaupun dia sudah tahu jawapannya, tapi dia ingin tahu jawapan dari pihak Iskandar.

Senyuman Iskandar mati. Serta merta manjadi kaku. Begitu pantas Amanina meluahkan pada Khairulnizam. Dia tahu Khairulnizam selalu berhubung dengan Amanina. Kerana dia tahu kawannya itu berkawan baik dengan Amanina sehingga kini. Selepas Amanina memutuskan percintaannya, dia tidak mahu ada apa-apa hubungan lagi dengan wanita itu walaupun sebagai kawan.

Khairulnizam perasan akan perubahan wajah Iskandar itu. Namun dia akan teruskan juga isu ini.

Iskandar diam. Tiada respons yang diberikan. Buat-buat tidak dengar. Dia memang tidak suka nama Amanina dibangkitkan walaupun di hatinya rasa cinta pertamanya itu masih ada. Namun, perpisahan yang dipinta Amanina telah mengores hatinya. Tanpa kesalahan dia ditinggalkan. Ia sungguh tidak adil baginya.

“Kau masih sayangkan dia ke?” tanya Khairulnizam bila Iskandar terus buat-buat tidak tahu. Sekadar ingin menguji.

“Terserempak macam tu aje,” soalan pertama Khairulnizam baharu dijawab.

“Perasaan kau pada dia?” ulang Khairulnizam bila pertanyaan keduanya tidak berjawab.

Senyap, Iskandar kelihatan sudah berubah mood. Tidak senang dengan topik perbualan mereka. Amanina, nama itu telah mebawa bahagia dalam hidupnya. Dalam masa yang sama, nama itu juga telah mengajar dia erti kekecewaan.

Khairulnizam akur. Malas untuk mendesak lagi. Dia tahu Iskandar tidak akan mengulas tentang Amanina. Dia mendesah perlahan. Terkilan kerana tidak dapat membantu Amanina malam ini.

“Petang tadi aku ada nampak kau, anak-anak kau dengan seorang lelaki. Siapa lelaki tu? Macam aku pernah nampak. Siapa erk?” Khairulnizam menukar topik. Dia ingin tahu siapa lelaki yang bersama Iskandar dan anak-anak tiri lelaki itu di Carrefour tengah hari tadi.

Iskandar berkerut dahi. Mujurlah Khairulnizam menukar topik perbualan. Jika sekali lagi Khairulnizam menanyakan tentang Amanina, dia sudah bersiap sedia dengan ayat makiannya. Dia tahu, Khairulnizam ingin membantu hubungan cintanya dengan Amanina kembali bertaut. Tapi, semua itu sudah tidak bermakna baginya. Walaupun masih ada sayang di hatinya untuk Amanina. Dalam sayang itu tetap ada pedihnya. Perbuatannya Amanina masih tidak bisa dia terima sehingga kini.

“Lelaki? Lelaki mana?” jawab Iskandar dengan soalan.

Khairulnizam tersenyum janggal. Nampak sangat kawan baiknya itu tidak suka isu Amanina dibangkitkan. Buktinya sekarang, bila dia mengubah topik perbualan, terus berubah mood.

“Lelaki bertopi, berbaju t-shit hitam dengan jean. Dia dengan kau petang tadi. Aku tak pernah kenal pun lelaki tu. Bukan main mesra dia dengan anak-anak tiri kau. Lelaki tu bapak kandung budak-budak tu ke?”

Iskandar menelan liurnya, kesat. Dari ciri-ciri pakaian yang diceritakan oleh Khairulnizam itu, sahlah lelaki yang di maksudkan oleh Khairulnizam adalah Rudiana.

Apa aku nak jawab ni? Takkan aku nak jawab lelaki tu pengasuh anak aku? Mesti Nizam tak percaya aku ambil pengasuh lelaki. Nanti mesti dia fikir yang bukan-bukan pulak. Detik di hati Iskandar kerisauan.

“Emmm… lelaki tu… kawan aku,” jawab Iskandar mengelabah. Dia mengharap jawapannya diterima oleh Khairulnizam.

“Kawan? Kenapa aku tak kenal?” tanya Khairulnizam pelik. Hampir semua kawan-kawan Iskandar dia kenal. Masakan dia tidak mengenali lelaki itu.

“Emmm…” Iskandar gagau. “Dia tu kawan baharu aku merangkap salah seorang client aku. Kami pun hanya terserempak aje tadi,” kelam kabut Iskandar memberi alasan.

“Ooo..” akur Khairulnizam tanpa banyak soal.

Iskandar menghela nfas lega. Mujurlah Khairulnizam menerima jawapannya.

“Encik Is, baju-baju Encik Is saya dah siap lipatkan kat dalam bakul kain bersih. Nanti boleh ambillah ya?” tiba-tiba muncul Rudiana tanpa diduga.

Serentak Khairulnizam dan Iskandar menoleh ke arah Rudiana. Khairulnizam terlopong. Iskandar sudah menutup muka. Apa aku nak jawab ni???


BAB 10

Seminggu berlalu…


SHILA lega bila melihat perubahan kawan baiknya itu yang sudah boleh tersenyum sekarang. Apa yang diluahkan seminggu yang lalu benar-benar mengejutkan. Dia tidak menyangka wanita di hadapannya itu seorang yang penuh dengan kisah derita di dalam hidupnya. Tanpa sedar dia bersyukur, walaupun terlibat dengan ganjar, dia masih punya keluarga yang menyayangi dirinya. Berbanding Zakiah yang sendirian menempuhi hidup yang penuh onak dan duri.

Zakiah kelihatan sungguh asyik sekali mengulung kertas surat khabar untuk dijadikan bakul. Begitulah mereka setiap hari di pusat pemulihan akhlak ini. Mengisi masa dengan perkara-perkara yang berfaedah. Kebanyakan hasil kraf tangan buatan dari pusat ini akan dijual di pasar-pasar seni dan kedai-kedai menjual barangan kraf tangan. Dapat juga menambah dana untuk pusat ini.

“Aku bersyukur sangat pada Tuhan sebab selepas hampir enam bulan kau dan aku berada di sini akhirnya kau luahkan juga apa yang kau pendam,” ujar Shila penuh kesuyukuran.

Zakiah berhenti dari mengulung kertas surat khabar di tangannya buat seketika lalu wajah Shila di hadapannya yang sedang merapikan anyaman bakulnya dipandang lama. Senyuman diukir untuk sahabatnya itu. Namun, senyuman itu nampak janggal.

Shila dijentik rasa bersalah kerana mengungkit perkara itu. Dia tahu itu perkara kesedihan Zakiah. Dan dia tidak sangka telah terlanjur kata dalam memilih topik untuk dijadikan bahan bualan mereka ketika ini. Tangannya berhenti dari menyanyam bakul. Wajah Zakiah di pandang lama.

“Maafkan aku Zakiah sebab buat kau kembali sedih. Baharu aje terukir senyuman bak suria di bibir kau, aku pulak rosakkan mood kau,” pohon Shila serba salah.

Zakiah mengukir senyum. Masih nampak terpaksa. “Eh tak ada apalah Shila. Aku yang patut berterima kasih pada kau sebab kau tidak jemu ingin mendekati aku walaupun aku terus berlaku dingin dengan semua orang yang ada di sini,” ujar Zakiah dengan nada sayu. Hatinya terharu dengan sikap Shila yang tidak pernah memilih bulu dalam berkawan. Dia kembali mengulung kertas surat khabar.

Shila menghela nafas lega bila Zakiah memberi respons yang baik. Ternyata kawannya itu tidak terus dibelanggu dengan kesedihan masa lampaunya.

Shila menyentuh tangan Zakiah yang sedang mengulung surat khabar.

“Zakiah, semua yang ada kat sini adalah sama. Ada sejarah masa silam. Semuanya sedang cuba untuk perbaiki diri untuk kembali ke pangkal jalan. Jadi, kita semua perlu saling bersatu dan saling paut berpautan untuk menetapkan pendirian kita. Ingin berubah diri tanpa bimbingan sesiapa terlalu sukar untuk dibuat, Zakiah. Kita perlukan orang kedua untuk memapah kita ke jalan yang di redhai. Jadi, kau dan aku memang sudah ditakdirkan untuk bertemu dan saling paut berpautan untuk sama-sama mengharungi dunia baharu di masa akan datang,” pesan Shila penuh tabah. Cuba mengembalikan semangat Zakiah yang jelas goyah sebelum ini.

Zakiah berhenti dari mengulung kertas surat khabar. Tangan Shila yang berpaut pada lengannya digenggam. Bersetuju dengan kata-kata Shila itu. Kini, baharu dia sedar, hidup bersendirian ini amat memeritkan. Memendam perasaan tidak pernah menyenangkan. Sebaliknya, hanya kesenakkan dan kekalutan yang melanda.

“Selama aku di pusat pemulihan akhlak ni, dah banyak aku pelajari tentang agama. Ustazah dah banyak memberikan kesedaran melalui kuliyah subuh dan ceramahnya setiap hari selepas solat Isyak dan Subuh di surau. Aku mula sedar apa yang aku buat selama adalah dosa. Dosa yang terlalu kotor,” luah Zakiah sudah mula beremosi. Kekhilafan masa lalu benar-benar menjerat dirinya ke kancah penyesalan sehingga ke satu tahap dia malu untuk mengadap Allah kerana merasakan dirinya terlalu kotor dan menjijikkan.

Shila sudah berhenti dari terus menganyam bakul. Perhatiannya sudah diberikan sepenuhnya pada Zakiah. Kedua-dua tangan Zakiah digenggam.

“Allah itu maha pengampun dan maha pengasih, Zakiah. Sekotor mana pun hamba-Nya dengan dosa silamnya, jika hamba-Nya itu ingin bertaubat nasuha sesungguh hati dan ikhlas kerana-Nya. Insya-Allah Zakiah, Allah dengar taubat kita dan akan terima taubat kita. Apa yang perlu kita buat selepas ini, terus memperbaiki diri untuk terus ke jalan yang diredai-Nya. Perbetulkan mana yang harus kau betulkan. Baiki mana yang kau tinggalkan sebelum ini,” pujuk Shila.

Dia sedar, dia pun bukanlah seorang yang boleh dikatakan bersih dari segala noda dosa. Hidupnya sebelum ini juga terjebur dalam kegiatan haram. Namun, segala ilmu agama yang telah Ustazah curahkan di pusat pemulihan akhlak ini telah memberi banyak kesedaran kepadanya bahawa betapa bodohnya dia sebelum ini kerana terlalu bertuankan nafsu diri yang tidak pernah membawa kebahagiaan dalam hidupnya. Sebaliknya hanya berantakkan yang melanda jiwa dan hidupnya.

Zakian membalas genggaman tangan Shila. Tanpa sedar air matanya menitis mambasahi pipinya. Terharu dengan sikap ambil berat Shila yang tidak jemu cuba menghampirinya sejak dia dimasukan ke dalam pusat pemulihan akhlak ini. Dengan perlahan Zakiah mengesotkan duduknya menghampiri Shila. Tubuh Shila dipeluk erat. Dia sudah menangis. Namun, esakanya masih ditahan-tahan.

“Terima kasih Shila, sebab sudi jadi kawan aku. Aku dah insaf Shila. Aku berjanji, bila aku keluar dari sini, aku akan perbaiki hidup aku. Aku akan laksanakan tanggungjawab aku yang terbengkalai sebelum ini disebabkan kealpaan aku. Aku janji Shila,” Zakiah sudah mengogoi di bahu Shila.

“Syh…” pujuk Shila turut tersentuh sambil mengusap tubuh Zakiah. Seminit kemudian selepas tangisan Zakiah mereda, pelukkan dileraikan. Wajah Zakiah yang sudah basah dengan air mata dipandang lama.

“Sudahlah Zakiah. Jangan menangis lagi. Aku yakin kau boleh harungi hidup kau. Dah… dah, jangan menangis lagi. Apa pun terjadi aku tetap akan jadi kawan kau kat sini. Kalau siapa keluar dulu dari pusat ni, kita akan saling melawat. Aku sayang kat kau Zakiah. Dahlah, janganlah nangis. Nanti aku pun menangis jugak,” pujuk Shila sambil menyeka air mata Zakiah. Tanpa sedar air matanya turut menitis. Terharu dengan ketabahan Zakiah.

“Kau suruh aku jangan menangis, tapi kau pun nangis,” ujar Zakiah bila melihat Shila turut menitiskan air mata. Lekas tangannya menyeka air mata Shila.

Mereka berdua tergelak bersama. Buat pertama kalinya Shila melihat tawaan Zakiah yang sebelum ini diselaputi kemuraman yang berpanjangan. Dia bersyukur kawannya itu sudah boleh mengukir senyum dan ketawa.

***

“KAU ORANG berdua ni jalan laju sangatlah, perlahan sikit boleh tak? Dahlah beg kau orang ni berat. Bawak batu ke apa ni?” bebel Rudiana sambil membetulkan beg sekolah di kedua bahunya. Bahu sebelah kanan beg sekolah Maisarah dan bahu sebelah kiri pula beg sekolah Harez. Mereka dalam perjalanan pulang dari Tadika Kemas.

Maisarah dan Harez saling berpandangan. Seketika kemudian mereka tertawa. Sengaja menyusun langkah lebih laju dari kebiasaannya. Mereka ingin memperdajal pengasuh baharu mereka itu. Biar pengasuh itu serik lalu berhenti. Sudah seminggu mereka mengenakan pengasuh itu, namun masih tiada tanda-tanda untuk pangasuh mereka itu mahu berhenti.

Rudiana tetap bersabar dengan kerenah dua berdadik itu. Jika tidak kerana perjanjian yang tepatri antara dia dan Iskandar, sudah pasti awal-awal lagi dia sudah berhenti. Namun, dalam masa seminggu menguruskan Maisarah dan Harez, membuatkan dia sedar. Bukanlah susah pun ingin menguruskan dua beradik itu. Apa yang dia dapat rasa, sikap protes yang ditonjolkan oleh Maisarah dan Harez bukanlah sikap semula jadi mereka. Adakalanya dua beradik itu ceria bila berbual bersamanya jika melibatkan isu yang mereka suka.

Selain itu, Rudiana juga dapat menilai sikap protes Maisarah dan Harez bukanlah sekadar suka-suka. Ada sesuatau yang mereka inginkan. Seolah dia dapat merasa jiwa dua beradik itu yang selalu inginkan perhatian. Cuma dia masih keliru akan kehendak sebenar Maisarah dan Harez. Namun, dia akan cuba siasat apa sebenarnya penyebab dua beradik itu selalu ingin tunjukkan sikap protes masing-masing.

“Weh tunggulah mak cik!” panggil Rudiana dalam mengah bila melihat Maisarah dan Harez seolah sengaja melanjukan langkah mereka.

Maisarah dan Harez terus melangkah laju.

Rudiana tidak mahu kalah. Langkah turut dibesarkan. Selepas langkahnya menghampiri Maisarah dan Harez cuping telinga dua beradik itu dicapai. “Jalan tu perlahan sikit. Nak ke mana cepat-cepat ni? Bukannya kat rumah tu mak cik dah masak. Tak ada benda pun kat rumah tu nak dikejarnya.”

“Apa mak cik ni sakitlah!” rengek Maisarah kesakitan.

Lama Rudiana memulas cuping telingan mereka berdua.

“Haahlah mak cik. Sakitlah!” Harez turut merengek.

“Hah! Tulah, siapa suruh jalan laju sangat? Dah macam kena kejar hantu aje…” sendir Rudiana sambil merengus benci. Dalam sembunyi dia tertawa. Pandan muka kau orang! Ejeknya di dalam hati.

Maisarah dan Harez sudah memuncungkan bibir. Protes. Cuping telinga yang kemerahan diusap perlahan. Cuba melegakan kepedihannya. Mereka berdua saling berpandangan. Berkomunikasi melalui pandangan mata. Seketika kemudian, mereka berdua tersenyum bersama. Satu rancangan tecipta.

“Mak cik, kami berdua hauslah. Nak minum air tebu kat depan tu?” rengek Maisarah manja sekali sambil menunding jari ke arah gerai menjual makanan bergoreng dan air di tepi jalan yang berhampiran.

“Hah? Air tebu?” keluh Rudiana lalu memalingkah pandangannya ke arah gerai yang ditunjuk oleh Maisarah.

Saat mata melihat gerai itu, lekas dia berpaling semula mamandng Maisarah.

Itu, kan gerai abang yang aku curi cucur bawangnya. Takkan aku nak beli kat situ? Bahaya! Aku kena bawak budak ni ke tempat lain. Kalau budak-budak ni nak jugak air tebu kat gerai abang tu. Niaya aku. Bebel Rudiana di dalam hati.

“Apa kata kita pergi beli air tebu kat gerai depan tu. Air tebu kat sini tak sedap. Jom, jom,” pancing Rudiana lalu menarik tangan dua beradik itu beredar dari situ.

Mujurlah Maisarah dan Harez tidak banyak kerenah. Jika tidak, parah juga dia dibuatnya. Rudiana sekali lagi mengeluh nafas lega bila terlihat sebuah lagi gerai menjual air tebu tidak jauh dari mereka.

“Kau orang tunggu sini kejap erk? Jangan pergi mana-mana tau? Mak cik pergi beli air tebu kejap. Ingat! Tunggu sini. Jangan nak pergi mana-mana,” pesan Rudiana berulang kali sebelum melangkah menuju ke gerai menjual air tebu itu.

Selesai membuat pembayaran, Rudiana kembali kepada dua beradik tadi. Namun, dia terkaku seketika. Mulutnya tenganga. Terkejut. Jantungnya terasa seperi ingin tercabut. Dua cawan air tebu di tangannya terlepas lalu jatuh. Isinya tumpah menyimbah tanah.

“Maisarah! Harez!” panggil Rudiana cemas sambil meliarkan bola matanya ke sana, sini.

Maisarah dan Harez sudah tiada di tempat mereka berdiri tadi.

“Maisarah! Harez!” mekik Rudiana sambil melangkah ke arah berhampiran. Namun, kelibat Maisarah dan Harez masih tidak ditemui.

Mana budak dua orang ni? Takkan kena culik kut. Aduh! Apa aku nak buat ni? Apa aku nak menjawab pada Encik Iskandar? Macam mana ni? Matilah aku!!! Pekik Rudiana di dalam hati.

***

LAMA Khairulnizam memandang wajah kawannya itu. Dia bertandang ke pejabat Iskandar ini bukan suka-suka. Tapi ada sesuatu yang ingin dibincangkan. Perkara yang tergendala minggu lepas.

“Apa hal dengan kau ni? Nampak gelisah aje? Ada sesuatu yang kau nak luahkan pada aku?” Duga Iskandar sambil menyandarkan tubuhnya pada sofa di ruang pembincangan yang memang dibuat khas di suatu sudut di dalam pejabatnya. Di ruangan inilah selalunya dia dan pelanggannya akan berbincang mengenai tender dan kontrak.

Khairulnizam mengukir senyum janggal. Was-was hatinya untuk meluahkan.

“Come on, ceritalah,” desak Iskandar bila kawan baiknya itu terus membisu.

Sejak di universiti lagi mereka berkawan baik. Jika masing-masing ada masalah pasti akan berkongsi bersama. Jadi, bila melihat kegelisahan di wajah Khairulnizam ketika ini, Iskandar dapat menduga ada sesuatu yang sedang di pendam oleh Khairulnizam.

“Kau masih sayangkan Amanina?” akhirnya terluah juga soalan itu dari mulut Khairulnizam.

Senyum lebar Iskandar mati tiba-tiba. Kaku. Pertanyaan Khairulnizam itu terasa pelik menyusuri salur telinganya. Lama dia memandang wajah kawan baiknya itu. Apa motif Khairulnizam menanyakan soalan itu?

“Kenapa kau tiba-tiba tanya pasal Amanina ni?” jawab Iskandar dengan soalan.

Khairulnizam serba salah. Apakah terlalu ketara perubahan di wajahnya? Sebenarnya dia tiada niat untuk mengores atau melukakan kembali luka lama di hati Iskandar. Dia lakukan semua ini demi Amanina. Dia tidak mahu Amanina terus bersediah. Melihat kesedihan Amanina membuatkan hatinya tersayat.

“Saja aku tanya,” jawab Khairulnizam cuba menyembunyikan perasaannya sendiri.

Isu yang dibangkitkan oleh Khairulnizam serta merta merubah mood Iskandar. Amanina sudah di anggap masa silamnya walaupun jauh di hatinya masih ada rasa sayang untuk gadis itu. Rasa sayang yang bercampur dengan kebencian yang terhasil dari rasa kecewa. Lalu membuatkan rasa sayang itu terus dipendam.

Iskandar mengeluh berat lagi sarat. “Entahlah Nizam, aku pun tak tahu apa perasaan aku pada Amanina sekarang ni. Dia cinta pertama aku. Hampir empat tahu aku menyemai cinta dengan dia. Tapi, bila fikir balik apa yang dia buat pada aku, ditambah dengan penipuan Zakiah membuatkan aku serik nak memupuk kasih pada mana-mana perempuan. Aku dah macam fobia dengan percintaan,” jelas Iskandar terus dari lubuk hatinya. Apa yang terluah itulah perasaannya ketika ini.

“Hakikatnya kau masih ada perasaan sayang pada Amanina?” Khairulnizam terus mengasak Iskandar dengan soalannya. Dia menguji perasaan sebenar Iskandar ketika ini terhadap Amanina.

Iskandar mengeluh lagi. Perbincangan yang sebelum ini dalam keadaan santai dan cerita dalam sekelip mata berubah hambar bila isu Amanina dibagkitkan. Dia merasa hairan mengapa selepas empat tahun, secara tiba-tiba Khairulnizam membangkitkan persoalan yang berkaitan dengan Amanina.

“Amanina cinta pertama aku, Nizam. Susah nak lupakan sepenuhnya selagi aku tak jumpa pengganti atau perempuan yang boleh manandingi cintanya di dalam hati aku. Sejujurnya aku memang masih sayang dia walaupun hubungan kami sudah terkubur hampir empat tahun,” jujur Iskandar menjawab.

Khairulnizam mengehela nafas lega. Dalam kelegaan itu tetap ada kesenakkan di dada bila memikirkan yang kasih Amanina masih berbalas dari Iskandar. Demi kebahagiaan Amanina dia sanggup mengorbankan perasaannya yang terus ditahan-tahan sehingga kini.

Iskandar memandang hairan pada Khairulnizam. Kelihatan kawan baiknya itu diam sambil mengelamun.

“Aku nak tanya kau sesuatu boleh?” giliran Iskandar menanya.

Khairulnizam memandang Iskandar sambil menaikkan kedua keningnya. Menanti pertanyaan Iskandar.

“Kenapa tiba-tiba kau ungkit pasal Amanina?”

Khairulnizam gugup. Apa aku nak jawab ni? Desisnya di dalam hati.

“Sebenarnya Amanina ada jumpa aku minggu lepas. Dan dia bagi tahu aku dia masih sayangkan kau,” tanpa sedar dia telah memecahkan rahsia Amanina.

Amanina telah meluahkan padanya mengenai rasa sayangnya pada Iskandar masih kukuh. Amanina meminta dia merahsiakannya. Demi mengelak Iskandar memikirkan yang bukan-bukan, dia terpaksa melanggar janjinya. Maafkan aku Amanina. Rintih Khairulnizam di dalam hati.

Sekali lagi Iskandar mengeluh berat. Tiada pun perasaan terkejut dengan jawapan Khairulnizam itu. Dia tahu Amanina berkawan baik dengan Khairulnizam semasa di UiTM dahulu kerana mereka dalam kursus yang sama. Jadi, tidak hairanlah kalau mereka berdua masih berhubung sehingga sekarang.

“Walaupun aku masih sayang pada dia… tapi, apa yang telah dia buat pada aku memang sukar untuk aku terima. Aku ditinggalkan tanpa sebab. Jadi, walaupun kemaafan telah aku berikan pada dia. Namun, untuk menerima dia kembali di dalam hidup aku, adalah sesuatu yang mustahil.” Luah Iskandar. Ada nada sendu di sebalik kata-kata. Apa yang telah Amanina lakukan terhadap dirinya terlalu berat untuk diterima.

“Takkan tak ada…” belum sempat Khairulnizam membalas kata-kata Iskandar tiba-tiba pintu pejabat itu dibuka tanpa ketukkan. Serentak dua sahabat itu memandang ke arah muka pintu.

***

RUDIANA mematah-matahkan jemarinya. Begitulah perlakuan luar kawalannya tika dia dalam keresahan dan kegelisahan. Butang lif ditekan pada angka 3. Air matanya sudah merembes sedari tadi. Rasa cemas dan takut membuatkan dia menitiskan air mata. Maisarah dan Harez hilang entah ke mana. Apa dia nak jawab pada Iskandar? Pasti Iskandar akan mengamuk sakan sebab tak jaga anak-anak tirinya dengan betul.

Terbuka sahaja pintu lif langkah terus disusun menuju ke meja Rosalinda. Air mata yang terus mengalir perlahan diseka sehingga kering.

“Diana, apa hal ni? Apa hal kau menangis?” tanya Rosalinda cemas. Sukar dia melihat kawan baiknya itu menitiskan air mata jika tidak berada dalam keadaan tertekan atau ketakutan.

“Encik Iskandar ada?” tanya Rudiana sambil meletak beg sekolah Maisarah dan Harez di atas meja.

Belum sempat Rosalinda menjawab, kelihatan Iskandar dan Khairulnizam melangkah keluar dari pejabatnya. Dengan pantas Rudiana terus meluru mendapatkan Iskandar lalu melutut di hadapan Iskandar.

“Maafkan saya Encik Iskandar. Maafkan saya. Salah saya semua ni. Saya yang menyebabkan budak-budak tu kena culik,” pohon Rudiana syahdu sekali sambil memangis teresak-esak. Dia benar-benar bersalah. Pasti Iskandar akan memarahinya.

Iskandar kaku dan terkejut melihat Rudiana. Tiba-tiba menangis merayu di kakinya. Khairulnizam di sebelahnya turut terkejut. Pelik dengan perangai pengasuh baharu anak-anak tiri Iskandar itu.

“Saya tinggalkan dia orang kejap aje beli air temu. Si Maisarah tulah tiba-tiba mengada-ada nak air tebu. Jadi, saya pergilah belikan kejap. Lepas saya beli tu, tengok mereka dah hilang. Maafkan saya Encik Iskandar. Saya lalai…” pohon Rudiana sesungguh hati. Air matanya terus-terusan membasahi pipinya. Dia benar-benar rasa bersalah.

Iskandar tersentuh melihat kesungguhan Rudiana memohon maaf. Khairulnizam di sebelahnya sudah menutup mulut menahan ketawa. Dengan lembut Iskandar memegang bahu Rudiana lalu menyuruh gadis itu bangun dari terus melutut di hadapannya. Staf-stafnya yang lain sudah bangun melihat drama sedih itu.

Rudiana terus menangis mohon dimaafkan. “Maafkan saya Encik Iskandar sebab tak jaga budak-budak tu dengan baik,” Rudiana terus memohon.

Iskandar sudah menahan ketawa. Ingatkan brutallah sangat minah ni. Sekali dia menangis kalah drama queen. Bebel Iskandar di dalam hati.

Rudiana mengesat air matanya. Hatinya tercarik melihat tawa di hujung bibir Iskandar. Lelaki di sebelah Iskandar juga turut mentertawakannya. Wajah kedua lelaki itu direnung hairan.

“Apa hal Encik Iskandar ketawa ni? Maisarah dan Harez kena culik pun Encik Iskandar boleh ketawa? Tak takut ke kalau kena peras ugut mintak satu jutaan ringgit nanti?” tanya Rudiana sambil menyeka air matanya.

Iskandar menjuihkan bibirnya ke arah belakang Rudiana. Iaitu ke arah ruang menunggu kemudian lelaki itu melapaskan ketawa yang di tahan-tahan tadi.

Rudiana hairan melihat perlakuan Iskandar itu. Dengan perasaan hairan dia menoleh ke arah juihan bibir Iskandar tadi. Matanya terbuntang. Wajahnya kaku. Terlopong mulutnya melihat Maisarah dan Harez sudah tergelak-gelak di atas sofa di ruang menunggu.

Rudiana sudah bengang. Wajahnya membengis. Sisa air matanya dilap kasar.

“Budak tu dah kat sini sejak sejam tadi. Awak baharu nak datang sini? Kenapa awak tak call saya?” tanya Iskandar sambil menghabiskan sisa tawanya.

Rudiana merengus bengang sambil merenung tajam pada Maisarah dan Harez.

“Kalau nak tahu, ini bukan kali pertama budak-budak tu buat hal macam ni. Adalah dua tiga kali dia buat hal yang sama,” lelaki di sebelah Iskandar menjelaskan. Lelaki itu turut mentertawakannya yang telah diperbodohkan oleh dua beradik itu.

Sakitnya hati aku!!! Jerit Rudiana di dalam hati.

Tanpa menghiraukan Iskandar dan Khairulnizam, Rudiana yang sudah bengang tahap membakar diri melangkah kasar menuju ke arah meja Rosalinda. Beg sekolah Maisarah dan Harez dicapai lalu disangkut pada bahu.

“Maisarah, Harez, jom balik!” panggil Rudiana.

Rosalinda yang turut tertawa, lekas membuat muka tidak bersalah selepas direnung tajam oleh Rudiana. Tidak sempat dia ingin memberitahu pada Rudiana tadi, Rudiana sudah melutut merayu pada ketuanya.

Awalnya Maisarah dan Harez buat-buat tidak dengar panggilan Rudiana itu. Bila papa mereka merenung tajam, barulah dua beradik itu melangkah menghampiri Rudiana yang sudah bertukar menjadi bengis persis harimau betina. Bengang kerana telah dipermainan oleh kanak-kanak berusia empat dan enam tahun itu.

“Comel pengasuh baharu anak-anak tiri kau tu. Mana kau dapat dia?” tanya Khairulnizam sambil menghabiskan sisa ketawanya.

Iskandar hanya tertawa. Pertanyaan Khairulnizam itu tidak dijawab. Terbayang kembali wajah Rudiana yang sedang menangis teresak-esak di hadapannya tadi. Pertama kali dia melihat wajah itu dalam keadaan basah lencun dengan air mata bersalah. Pujian Khairulnizam itu ada benarnya. Cute jugak muka dia tadi. Desis di hatinya. Terdetik satu perasaan di hati. Namun, perasaan itu masih tidak disedarinya.

← NEWER
OLDER →