When I Miss You...

Layout by : Yeza리키
Background : xoxoxo
Best view by Google Chrome.

BAB 11 DAN 12
Selasa, 7 Jun 2011 | 0 comments

BAB 11


SUNGGUH serselera Harez menjamah cucur bawang yang terhidang di atas meja itu. Iskandar yang melihat kelahapan si kecil itu makan, membuatkan dia hairan. Kebiasaannya bukan main susah si kecil itu ingin bersarapan pagi. Namun, cucur bawang buatan Rudiana telah berjaya membuka selera si kecil itu.

Cuping cawan dicapai lalu dihirup isinya. Buat seketika, kepekatan kopi O melintasi kerongkong. Cukup sempurna rasanya. Kopinya terasa pekat. Inilah kopi O tersedap yang pernah dia rasa. Ternyata Rudiana tidak canggung menguruskan rumah walaupun wanita itu berperwatakkan sedikit kasar. Namun, sifat kewanitaan jelas terserlah melalui air tangannya.

Maisarah dan Harez di hadapannya saling berpandangan. Seolah sedang berkomunikasi melalui pandangan mata. Masing-masing main tarik tali seolah ingin menyampaikan sesuatu.

“Kamu berdua ni kenapa? Dah bisu? Tak boleh nak bersuara?” tegur Iskandar sambil meletakan cawannya di atas piring. Akhbar di sisinya dicapai lalu diselak.

Maisarah san Harez masih bermain mata.

“Selamat pagi! Dah habis makan dah? Cepatlah sikit nanti lambat ke Tadika,” muncul Rudiana dari dapur bersama dua bekas makanan dan dua botol air. Bekalan untuk Maisarah dan Harez ke Tadika.

Serentak Maisarah dan Harez memandang Rudiana. Berkerut dahi dua beradik itu memandangnya. Seolah ingin menyampaikan sesuatu.

Rudiana turut berkerut dahi. Tidak faham dengan isyarat badan yang cuba Maisarah dan Harez sampaikan.

Maisarah mengeluh bosan lalu melangkah menghampiri Rudiana.

Rudiana menunduk menghampirkan cuping telinganya pada Maisarah lalu Maisarah membisikan sesuatau.

“Ooo… ingatkan pasal apa tadi,” akur Rudiana. Mereka bertiga sudah membincangkan hal ini malam tadi sebelum tidur. Tadika Kemas mereka akan mengadakan perjumpaan ibu bapa untuk menunjukan rekod pelajaran murid-murid. Jadi, dua berdik itu menginginkan papanya datang untuk mengambil rekod pelajaran mereka yang cemerlang. Mereka ingin papanya tahu mereka cemerlang dalam pelajaran.

Dengan sedikit debaran Rudiana melangkah menghampiri Iskandar yang sedang kusyuk membaca akhbar.

“Emmm… Encik Iskandar, saya nak bagitahu ni,” Rudiana memulakan bicara dalam keadaan takut-takut. Dia mengharap angin Iskandar baik pagi ini.

“Emmm… apa dia?” balas Iskandar hendak tak hendak sahaja. Akhbar terus ditatap penuh kusyuk.

“Hari ni… kat Tadika Maisarah dan Harez ada perjumpaan ibu bapa untuk ambik rekod pelajaran mereka. Jadi… mereka nak Encik Iskandar datanglah untuk ambil rekod pelajaran mereka,” lembab kata-kata itu menyusuri lidah Rudiana. Selesai sahaja berkata-kata Rudiana mengenyit mata pada Maisarah dan Harez sambil mengangkat kedua ibu jari tangannya.

Maisarah dan Harez turut membalas dengan perbuatan yang sama sambil tertawa gembira. Mujurlah Rudiana sanggup menolong mereka menyampaikan apa yang ingin disampaikan.

“So?” sepatah jawapan Iskandar yang lebih kepada soalan.

“So… Encik Iskandar boleh datang tak? Mereka berdua ni berharap sangat Encik Iskandar boleh datang sebab…”

“Awak ajelah yang pergi,” pintas Iskandar sebelum sempat Rudiana meghabiskan kata-katanya. Tegas suaranya.

“Huh?!” Rudiana terkejut. “Apa hal pulak saya yang kena pergi? Encik Iskandarkan papa dia orang, saya ni pengasuh dia orang aje.”

Iskandar meletakkan akhbar di tangannya di atas meja. Wajah Rudiana direnung sinis. “Awak mama dia orang, kan?”

“Eh! Apa hal pulak?” tingkah Rudiana cepat. Gila!!! Walaupun aku ni isteri dia yang sah. Tapi perkahwinan ni cuma untuk cukupkan syarat aje. Jangan nak buat hal. Detik di hatinya kerisauan mendengar kata-kata Iskandar itu.

Tahu cuak! Bisik di hati Iskandar sambil menyembunyikan gelak.

“Saya takut saya tak dapat datang…” ujar Iskandar sambil melihat wajah kedua anak tirinya yang sudah menarik muncung sedepa. Cuping cawan dicapai lalu isinya diteguk sehingga habis. Tersentuh hatinya melihat wajah kecewa anak-anak tirinya itu. Semenjak dua beradik itu duduk dengannya, jarang dia menghabiskan masa untuk anak-anak kecil itu. Hidupnya terlalu sibuk di pejabat sehingga membataskan masanya untuk diluangkan pada Maisarah dan Harez.

Rudiana turut mengeluh hampa.

Diam seketika.

“Pukul berapa papa nak kena ada kat Tadika?” tanya Iskandar selepas agak lama membisu.

Maisarah dan Harez sudah berpandangan. Senyuman gembira sudah terukir di sebalik bibir dua beradik itu. Gembira hati mereka bila papa mereka sanggup meluangkan sedikit masa untuk mereka hari ini.

“Pukul sebelas pagi sehingga dua belas tengah hari,” jawab Rudiana teruja sekali. Dia bersyukur dengan pertanyaan Iskandar itu. Jelas sekali ada nada-nada setuju. Dia tersenyum gembira pada Maisarah dan Harez. Bangga dapat menolong Maisarah dan Harez memujuk papa mereka.

“Tengoklah, papa akan cuba datang. Kalau tiba-tiba papa ada meeting, mak cik yang akan ganti papa okey?” dalam tidak sedar Iskandar sudah berjanji pada Maisarah dan Harez serta merta memberi harapan yang tinggi pada mereka berdua. Dia sudah bangun untuk ke pejabat.

Rudiana, Maisarah dan Harez sudah bertepuk tangan kegembiraan. “Dah, cepat makan. Nanti lambat pergi Tadika,” arah Rudiana sambil menyumbat bekas makanan ke dalam beg sekolah Maisarah dan Harez.

“Ni apa hal vacuum habuk ni ada kat luar? Bukan vacuum habuk ni dah rosak ke?” tanya Iskandar di ruang tamu. Hairan melihat penyedut habuk yang sedang terdampar di tengah ruang tamu itu. Setahunya penyedut habuk itu sudah tidak boleh berfungsi.

Rudiana di meja makan hanya tersengih sumbing sambil mengaru belakang kepalanya yang tidak gatal.

***

“SAYA mahu, projek landskap di Bandar Universiti Skudai berjalan lancar. Ini bukan projek kecil. Wasilah Landskap adalah syarikat terpilih dari lima syarikat pengurusan projek landskap yang bersaing untuk meraih projek ini. Jadi, kita perlu usaha buat yang sehabis baik untuk projek ini. Buktikan pada pihak pemaju yang syarikat kita boleh menguruskan projek ini walaupun Wasilah Landskap masih baharu,” tutur Iskandar panjang lebar memberi peringatan pada semua ahli lembaga pengarah mengenai projek baharu mereka.

Yang lain angguk akur.

“Ada apa-apa soalan?” tanya Iskandar sebelum menamatkan mesyuarat itu.

Masing-masing saling berpandangan. Namun tiada soalan yang dilontarkan. Maka mereka yang ada di dalam bilik mesyuarat itu faham dan akur dengan apa yang telah diperbincangakan sebentar tadi.

“Kalau begitu, mesyuarat bersurai,” ujar Iskandar lalu menamatkan mesyuarat itu.

Semua yang ada di dalam bilik itu mula bersurai.

Iskandar tidak terus keluar. Malas untuk bersesak-sesak meninggalkan bilik mesyuarat itu. Lagi pun selepas ini waktu makan tengah hari. Tiada apa-apa yang perlu diburukan. Kertas lakaran plan kawasan Bandar Universiti Skudai digulung dan failnya dikemaskan. Belum sempat dia menganggat punggung, tiba-tiba dia teringatkan akan telefon bimbitnya.

“Aduh… apa hal ni?” dia tertanya sendirian sambil cuba menghidupkan telefon bimbitnya.

Namun, telefon bimbitnya hanya menyala seketika lalu mengeluarkan amarah beteri habis. Dia mengeluh. Telefonnya terus mati tidak dapat dihidupkan lagi.

“Macam manalah aku boleh lupa nak cas beteri ni?” rungutnya pasrah. Fail dan kertas plan di atas meja dikemaskan lalu dia melangkah meninggalkan bilik mesyuarat itu.

“Is!” namanya diseru dari arah ruang menunggu. Lekas dia menoleh. Kelihatan Khairulnizam sedang melangkah menghampirinya.

“Baharu habis meeting ke?” tanya Khairulnizam sekadar berbasa basi.

Iskandar angguk sambil mengukir wajah hairan. “Kenapa?”

“Jom lunch,” ajak Khairulnizam.

Iskandar diam sebentar. Berfikir seketika. Dia merasakan seolah terlupa sesuatu. Dia memandang ke arah Rosalinda di hadapan pejabatnya.

“Linda, saya ada lunch appointment ke hari ni?” tanya Iskandar penuh hemah.

Rosalinda tidak terus menjawab. Buku jadual temujanji ketuanya disemak. “Tak ada bos.”

Iskandar angguk akur. “Okeylah. Tapi kejap, aku nak letak barang-barang aku ni dulu,” pinta Iskandar lalu melangkah masuk ke dalam pejabatnya. Beberapa minit kemudian dia melangkah keluar lalu seiringan melangkah dengan Khairulnizam untuk makan tengah hari bersama. Tanpa sedar dia telah terlupa sesuatu.

***

MAISARAH dan Harez sudah menarik muncung sedepa. Kawan-kawannya yang lain sudah sedari tadi pulang bersama ibu dan bapa masing-masing. Hanya tinggal mereka berdua sahaja yang terus duduk termenung mengenang nasib yang diabaikan dan dilupai. Duduk di tepi longkang menanti kunjungan insan yang dinanti-nanti namun masih tidak memunculkan diri.

Rudiana sedari tadi tidak lekang dari telefon bimbit di tangannya. Nombor telefon Iskandar terus didail berkali-kali. Namun hanya kedengaran suara telefonis supaya meninggalkan pesanan di dalam peti simpanan suara.

“Apa hal pulak mamat ni? Dia lupa ke pasal benda ni?” rungut Rudiana terus mendail nombor telefon Iskandar. Sekilas dia melihat Maisarah dan Harez yang duduk berdua dengan wajah sayu. Tersayat hatinya melihat dua beradik itu. Punah harapan mereka ingin melihat papa mereka mengambil buku laporan pembelajaran mereka.

Talian masih masuk ke peti simpanan suara. Dengan lemah Rudiana melangkah menghampiri dua beradik itu. Dia mencangkung di hadapan Maisarah dan Harez.

“Mungkin papa ada meeting kut?” pujuk Rudiana sekadar ingin menyedapkan hati dua beradik itu.

“Papa memang tak pernah sayang Harez. Sebab Harez bukan anak papa!” rengek Harez sambil menangis. Kesedihan yang ditahan sedari tadi sudah tidak dapat dibendung lagi.

Tersentuh hati Rudiana melihat tangisan Harez. Dia faham perasaan si kecil itu. Dia sendiri kecewa bila Iskandar memungkiri janjinya pagi tadi.

Jika tidak dapat hadir sekali pun, telefonlah bagitahu. Ini tidak, dimatikan telefon bimbitnya adalah. Omel Rudiana di dalam hati.

“Ish… janganlah cakap macam tu, papa sayangkan kamu berdua. Mungkin dia ada mesyuarat kut?” jawab Rudiana sangsi. Dia sendiri tidak tahu apa yang sedang dilakukan oleh Iskandar ketika ini. Dia menipu demi menyedapkan hati Maisarah dan Harez yang telah terluka.

“Mak cik sendiri tak yakin dengan alasan mak cik. Dahlah!,” betak Maisarah garang. “Jom kita balik dik,” ajak Maisarah lalu memimpin tangan Harez meninggalkan kawasan Tadika itu.

Rudiana merengeluh kesah. Tidak tahu ingin berkata apa lagi.

“Janganlah sedih. Okey, mak cik belanja ais krim nak tak?” Rudiana cuba memujuk.

“Tak nak!!!” serentak Maisarah dan Harez menjawab.

“Mak cik belanja cendol?” Rudiana terus memujuk.

“Tak nak!!!” mereka berdua masih menolak.

“Mak cik belanja KFC!” ikhtiar terakhir.

“Nak! Nak!” serta merta Maisarah dan Harez berubah cerita dan teruja sekali.

“Amboi… bila KFC, bukan main suka erk?” perli Rudiana. “Okey jom!”

Mereka bertiga mula menyusun langkah menuju ke restoran KFC yang berhampiran. Lega hati Rudiana bila dapat memujuk kesedihan dua beradik itu. Sengal betullah Encik Iskandar ni, kat rumah nanti tahulah aku nak maki dia. Desis di hatinya.

***

MASING-MASING membisu. Hampir lima minit mereka bertiga duduk di dalam restoran ini. Namun, satu butir kata pun tidak terluah. Dia benar-benar tidak menyangka ajakkan Khairulnizam untuk makan tengah hari bersama hari ini ada tersirat satu rancangan yang tidak diduga.

Kahirulnizam memandang Iskandar lalu memandang Amanina yang duduk bertentangan secara bergilir-gilir. Pertemuan secara berdepan selepas empat tahun tidak berjumpa ini ternyata mengundang kejanggalan. Dia sengaja mengajak Amanina dan Iskandar makan bersama tanpa pengetahuan dari mereka berdua. Niatnya baik, hanya untuk menyatukan semula kasih yang terputus tiga tahun lalu. Dia tahu kasih Iskandar dan Amanina masih boleh disatukan kerana di sudut hati mereka berdua masih ada rasa sayang antara satu sama lain. Cuba ego masing-masing terus menghalang perasaan itu.

Pelayan datang bersama pesanan mereka. Namun, keadaan meja itu masih senyap tanpa ada sebarang kata.

Iskandar merenung tajam pada Khairulnizam. Dia benar-benar tidak menyangka Khairulnizam telah merancang pertemuan ini. Bukankah kawannya itu sudah tahu yang dia tidak mahu bertemu dengan Amanina lagi? Kenapa Khairulnizam merancang pertemuan ini? Apa niatnya yang sebenar? Amanina yang sedari tadi terus memandang ke arahnya membuatkan dia terasa rimas!

Amanina terus memandang wajah Iskandar yang kelihatan gelisah sedari tadi. Melepaskan rindu yang terbuku sejak tiga tahun lalu. Wajah lelaki yang telah dihancurkan hatinya itu benar-benar masih kuat terpagut di hatinya. Dia benar-benar menyesal kerana telah mendustai cinta lelaki itu hanya kerana cintanya yang tidak berbalas dari Khairulnizam. Dia benar-benar menyesal. Menyesal kerana meninggalkan lelaki yang cintanya tulus untuknya.

“Aku minta diri ke tandas kejap,” pinta Khairulnizam tiba-tiba. Dia merasakan kewujudannya di situ membuatkan dua insan di hadapannya itu janggal untuk bersuara. Dia ingin memberi ruang untuk Iskandar dan Amanina berbicara.

Khairulnizam terasa serba salah pula kerana telah mengatur pertemun ini. Namun, dia melakukan semua ini bukan berniat ingin membuat luka lama Iskandar atau Amanina kembali berdarah. Dia ingin membuat Amanina bahagia. Dia tahu Amanina masih mengharap cinta dari Iskandar. Jadi dia berharap pertemuan ini akan memutikan cinta mereka yang terkubur tiga tahun lalu.

Seminit berlalu selepas Khairulnizam ke tandas keadaan mereka masih senyap. Makanan yang terhidang di atas meja tidak diendahkan. Selera Iskandar terus hilang selepas melihat wajah wanita yang dibencinya itu. Amanina pula, disebabkan rasa rindunya sudah berbayar, perut terus terasa kenyang.

“Awak apa khabar?” tanya Amanina lembut sekali. Dia mengikis tembok egonya.

Iskandar yang sedari tadi kelihat gelisah seolah kebosanan tidak terus menjawab. Dia duduk bersandar relaks pada kerusi. Tangan dilipat pada dada. Wajah Amanina di pandang lama.

Amanina akhirnya melarikan pandangannya bila direnung tajam oleh Iskandar. Benaknya terasa bahagia melihat renungan mata bundar milik Iskandar itu. Ah… rindunya dia pada renungan itu.

“Aku baik-baik aje. Apa niat kau suruh Khairulnizam pertemukan kita kat sini?” jawab Iskandar berserta satu soalan yang cukup tajam menikam sanubari Amanina.

Lekas Amanina mengangkat muka memandang Iskandar. Terkejut dengan telahan Iskandar yang dianggap menyalahkannya. Yang mengejutkannya lagi, Iskandar telah membahasakan dirinya dengan gelaran ‘kau’. Ini bermakna Iskandar betul-betul marahkannya.

“Saya tak tahu yang awak akan ada di sini? Saya tak pernah suruh Nizam pertemukan kita,” jelas Amanina beria. Dia tidak mahu Iskandar menganggap dia cuba mempergunakan Khairulnizam untuk menyatukan kasih mereka semula.

Iskandar tertawa sinis. Langsung tidak mempercayai kata-kata Amanina itu.

“Apa-apa ajelah. Kalau kau rasa aku akan terima kau balik. Jangan mimpilah…” ujar Iskandar seolah dapat membaca apa hasrat Amanina ketika ini.

“Saya sedar saya telah menghancurkan hati awak empat tahun lalu disebabkan sikap bodoh saya. Tapi… tak ada kemaafan ke untuk saya? Sedangkan nabi pun ampunkan umat,” rayu Amanina sayu sekali. Dia sedar dia bersalah. Dia sanggup dihukum. Tapi, janganlah lelaki yang dia cintainya itu membencinya. Dia tidak sanggup melihat Iskandar terus membencinya.

“Mudah kau cakap. Yang menanggung kekecewaannya aku. Kau mintak putus tanpa sebab. Kau tinggalkan aku terkontang-kanting tanpa penjelasan. Kau pernah fikir semua itu?” tingkah Iskandar sinis sambil mengangkat punggung untuk beredar. Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Dia tidak mahu melihat air mata Amanina. Dia tidak sanggup melihat kesedihan itu. Walaupun dia membenci, rasa sayang pada wanita itu masih ada. Cuma dia tidak mahu mengingat masa silamnya. Dia sudah serik! Tanpa sedar dia keliru dengan perasaannya sendiri.

“Is… saya masih sayangkan awak!” luah Amanina sebelum sempat Iskandar melangkah jauh.

Iskandar yang terdengar luahan itu memberhentikan langkahnya. Walaupun kata-kata itu cukup indah menyapa gegendang telinganya. Namun, dia tidak boleh terus terbuai. Cintanya pada Amanina sudah mula terhakis. Dia tidak mahu mengukuhkan kasihnya yang sudah dikuburkan. Dia tidak mahu mengenang masa lalunya. Dengan perasaan yang bercelaru, Iskandar menyambung langkahnya.

Melihat Iskandar menyambung langkahnya membuatkan hati Amanina tergores. Sahlah lelaki itu benar-benar marahkannya. Air matanya sudah tertumpah membasahi pipi. Dia memangis tersedu sendirian di meja itu. Maafkan aku Iskandar. Aku akan cuba meraih cintamu kembali. Dalam tangis dia menyimpan hasrat.

***

JAM di dinding dipandang berulang kembali. Sudah hampir jam sebelas malam. Namun kelibat Iskandar masih belum muncul. Kebiasaannya, di waktu-waktu begini, Iskandar sudah berada di rumah. Namun, tidak pula hari ini.

Hatinya bengang. Bengang bila Iskandar telah menghancurkan harapan tinggi Maisarah dan Harez. berjam-jam dua beradik itu menunggunya di tadika. Sampai ke sudah Iskandar tidak munculkan diri. Dia perlu membuat perhitungan. Dia perlukan sebab mengapa Iskandar memungkir janjinya.

Beberapa minit kemudian, kedengaran deruan enjin kereta Iskandar mula masuk ke perkarangan anjung banglo. Dia yang hanya berpijama petak-petak sudah bercekak pinggang di ruang tamu. Gaya persis gangster. Dadanya terus senak menahan amarah yang meluap-meluap. Mindanya sudah sedia untuk mencipta kata makian untuk Iskandar.

Dua minit kemudian, kedengaran pintu utama banglo dibuka. Lekas Rudiana menoleh ke arah Iskandar dengan wajah bengis.

Iskandar tidak mengendahkan kewujudan Rudiana di ruang tamu itu walaupun ekor matanya terimbas kelibat isterinya itu. Mindanya sedang berserabut. Pertemuannya semula dengan Amanina tangah hari tadi benar-benar membuat mindanya bercelaru. Perasaannya terkeliru. Dia betul-betul dalam keadaan bingung. Di pejabat tadi fokusnya pada kerja terus hilang. Sisa sayangnya pada Amanina berperang dengan perasaan bencinya pada gadis itu.

Luahan Amanina tentang rasa sayangnya masih padanya membuatkan kenangan semasa mereka sedang hangat bercinta di universiti dulu kembali terputar. Dalam peperangan perasaan itu, wujud juga satu perasaan lain yang muncul entah dari mana. Dia keliru untuk menegakkan perasaan yang mana satu. Amanina atau perasaan yang baharu wujud itu?

Rudiana lekas menghalang langkah Iskandar yang laju menuju ke arah tangga.

“Apa awak dah buat hari ni?” tanya Rudiana sinis sambil menyimpul tangan di dada.

Iskandar mengeluh lemah. Mindanya penat. Tubuhnya lesu. Dia tidak larat untuk memikirkan sebarang jawapan untuk apa-apa soalan. Dia ingin berehat. Seketika kemudian, perutnya terasa pedih. Lekas dia menekan perutnya dengan kerutan di mukanya dek menahan sakit.

“Dahlah… jangan nak berlakon sakit perut,” sindir Rudiana. Nak berlakon sakit konon. Kau ingat aku tak tahu kau cuba nak melarikan diri dari aku? Detik di hatinya.

Iskandar terus menahan perut.

“Awak tahu tak? Hampir empat jam budak-budak tu tunggu awak kat Tadika? Tapi awak tak muncul-muncul. Mana janji awak?” maki Rudiana tidak menyempat.

Iskandar terus menahan sakit. Segala kata makian Rudiana langsung tidak melintasi gegendang telinganya. Kesakitan yang melanda lebih mengusai mindanya.

Rudiana merengus bengang lalu berpaling membelakangi Iskandar.

“Mesti awak nak kata awak ada meeting tergempar. Ada lunch appointment. Tak pun… terlupa sebab busy sangat dengan kerja. Lain kali kalau tak boleh datang jangan berjanji dengan budak-budak tu. Sekarang budak-budak tu dah kecewa dengan awak.” Rudiana sudah membebel.

“Dia orang tu budak-budak lagi. Dia orang ada perasaan. Dia orang perlukan perhatian awak. Bila awak buat macam ni, awak dah menghancurkan hati mereka, tahu tak? Dan lagi satu, kenapa awak matikan hand phone?” sambung Rudiana lalu berpaling ke arah Iskandar semula.

Rudiana terkejut. Kaku. Terlopong mulutnya memandang Iskandar yang sudah terdampar di atas lantai.

“Awak! Awak! Kenapa ni? Kalau mengantuk pun, janganlah tidur kat lantai ni? Awak! Bangunlah awak. Jangan buat saya takut. Awak tidur ke… pengsan ni? Apa hal tak nak bangun ni? Awak! Awak, bangunlah. Awak ni sekadar nak mengada-adakan? Nak suruh saya dukung awak, kan? Awak….” Kejut Rudiana cemas sambil mengoncang bahu Iskandar. Namun, Iskandar masih begitu. Tidak bergerak.

Rudiana sudah tidak tentu arah.




BAB 12

WAJAH Amanina yang sugul di tempat duduk sebelah dipandang lama. Tersayat hatinya melihat kesayuan wajah Amanina itu. Kesedihan Amanina bisa membuat hatinya turut terasa terluka. Dia tidak menyangka rancangannya mempertemukan Amanina dan Iskandar semalam berakhir dengan persengketaan. Bukan kedamaian seperti yang diharapkan.

“Dah bersedia?” Tanya Khairulnizam sambil memandang lama wajah Amanina.

Amanina menarik nafas dalam lalu dihela perlahan. Menenangkan debaran di dada yang tiba-tiba sahaja memuncak tanpa diduga. Demi kasihnya yang masih utuh dan rasa sayang yang masih terpupuk. Dia sanggup merobohkan tembok egoisnya demi meraih apa yang telah dia musnahkan tiga tahun lalu.

Rumah banglo dua tingkat yang tersergam indah di sisi kanan mereka dipandang lama. Hati berbelah bahagi sama ada perlukah dia melangkah masuk ke dalam banglo itu atau tidak. Dia takut kehadirannya bakalan mengeruhkan lagi keadaan yang sememangnya sudah sedia keruh.

“Mari,” ajak Khairulnizam bila melihat Amanina terus mendiamkan diri. Tiada tanda-tanda gadis itu akan melangkah keluar dari perut kereta.

Amanina mengeluh halus. Dia masih tidak yakin. Perasaan takut dan cemasnya bergabung menjadi satu ketika ini.

“Saya takut,” balas Amanina.

Khairulnizam yang baharu sahaja ingin membuka pintu kereta terhenti dari berbuat demikian. Wajah Amanina dipandang lama.

“Awak takut dia marah atau awak takut kehilangan dia buat selama-lamanya sebelum dia tahu yang awak sebenarnya masih menyintainya?” Khairulnizam memberi pilihan. Yang mana kedua pilihan itu tetap memberi kesan yang sama pada Amanina.

Amanina mengeluh lagi. Dia sendiri tidak tahu dengan perasaannya. Pertanyaan Khairulnizam itu tidak dijawab.

“Kita dah sampai sini. Takkan kita nak berpatah balik? Walaupun jawapannya nanti masih sama. Sekurang-kurang kita sudah mencuba. Jangan awak rapuhkan hati awak untuk meraih cinta awak semula. Sekaranglah masa yang sesuai. Is masih belum menemui cinta barunya lagi. Walaupun statusnya duda, tapi kita tahu dia masih belum ada kekasih baharu. Kalau awak lambat, awak juga yang akan kecewa nanti bila Iskandar sudah memiliki cinta barunya. Awak sanggup berebut kasih atau meraih kasih yang masih ada?” panjang berjela Khairulnizam menasihati Amanina.

Mendengarkan kata-kata Khairulnizam itu membuatkan Amanina tersedar. Ya, memang dia tidak sanggup melihat ada cinta lain menghuni hati Iskandar. Sementara cintanya masih hidup di hati Iskandar, lebih baik dia meraih kembali cinta itu. Risiko merebut cinta dan meraih cinta adalah berbeza. Merebuat cinta bergantung pada peluang dan nasib. Meraih cinta bergantung pada hati. Dan dia yakin jika kasih Iskandar masih ada untuknya, lelaki itu pasti akan menjadi raja dalam hidupnya.

“Mari,” ajak Khairulnizam buat kali kedua bila melihat ada cahaya keyakinan terpancar di wajah Amanina ketika ini.

Amanina dengan perlahan melangkah kelaur dari kereta. Berbekalkan doa, harapan dan semangat, dia melangah seiring dengan Khairulnizam menuju ke banglo indah itu. Sampai di hadapan pintu pagar, loceng ditekan. Secara automatik pintu pagar besi itu terbuka.

Mereka melangkah masuk ke perkerangan rumah. Dari juah mereka sudah dapat melihat dua kanak-kanak sedang berdiri di muka pintu.

“Abang dan kakak nak cari siapa?” tanya Harez comel sekali. Maisarah di sebelahnya kelihatan curiga memandang dua menusia dewasa di hadapan mereka itu.

“Ni mesti Harez dan kamu Maisarah, kan?” tanya Khairulnizam cuba beramah. Lantas dia mencangkung memandang Harez. Kedua pipi Harez yang comel dicubit perlahan.

“Abang dengan kakak ni siapa dan nak cari siapa?” soalan yang sama diulang. Tapi kali ini ditanya oleh Maisarah.

Khairulnizam tersenyum sambil mengusap kepala Harez sebelum berdiri. “Abang kawan papa. Jawab Khairulnizam.

Maisarah dan Harez angguk akur.

“Inilah anak tiri Iskandar yang saya ceritakan pada awak sebelum ni?” Khairulnizam memperkenalkan Harez dan Maisarah pada Amanina yang sedari kelihatan kaku. Janggal dengan situasi mereka sekarang.

Amanina tersenyum lalu menghulur tangan untuk bersalaman dengan dua beradik itu.

Harez dan Maisarah menyambut salaman itu lalu dicium mesra tanda hormat. Amanina rasa tersentuh dengan perlakuan sopan anak-anak tiri Iskandar itu.

“Hai… kakak aje ke yang kamu berdua salam? Abang?” tanya Khairulnizam dengan nada mengusik.

Maisarah dan Harez hanya tersenyum sumbing lalu menyalam tangan Khairulnizam dan dicium mesra.

“Papa mana?” tanya Khairulnizam terus ke topik asal.

“Papa kat bilik, belun turun-turun lagi,” jawab Harez petah sekali.

Khairulnizam mengeluh halus. Buat seketika dia dan Amanina saling berpandangan.

***

BUNYI loceng rumah sebentar tadi telah mengejutkannya dari lena. Berpisat-pisat matanya cuba dibuka. Kesilauan cahaya dari tingkap benar-benar memedihkan matanya. Dengan perlahan kelopak matanya digenyeh. Cuba membasahkan bola matanya yang terasa kering. Buat seketika dia memandang keadaan sekelilinga. Dia berada di kamar tidurnya.

Dia mengeluh halus. Seketika kemudian dia terfikir. Bagaimana dia boleh berada di dalam bilik ini. Seingatnya malam tadi dia pulang dari kerja, dia bertemu dengan Rudiana di ruang tamu. Rudiana membebel sesuatu yang dia tidak dapat di dengar kerana gastriknya tiba-tiba menyerang. Sejurus selepas itu dia tidak ingat apa-apa. Apa sebenarnya telah berlaku padanya? Tubuhnya dipandang sekilas. Dia sudah berbaju t-shirt dan berseluar trek. Siapa yang menukarkan pakaiannya?

Iskandar cuba bergerak namun, ada sesuatu yang sedang melingkar di pinggangnya. Dengan perlahan dia menoleh ke belakang. Dia terkejut. Rudiana sedang nyenyak tidur sambil memeluk tubuhnya. Tubuh Rudiana melekat pada tubuhnya. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang. Ini pertama kali dia dipeluk oleh seorang wanita. Dengan perlahan dia mengiringkan tubuhnya mengadap Rudiana yang sedang nyenyak tidur persis bayi.

Wajah yang dilitupi dengan rambut tipis itu dipandang lama. Wajah hitam manis itu nampak berseri tanpa sebarang solekan. Namun, masih ada keayuan seorang wanita di wajahnya. Berseri dan sedap dipandang matanya. Rambut Rudiana yang menutupi wajahnya diselak ke belakang

Alis mata yang tipis, hidung yang kemik dan bibir yang mungil cukup menjentik naluri lelakinya. Berdetak laju jantungnya ketika ini. Hatinya dibuai dengan haruman syampu rambut yang dipakai oleh Rudiana. Menaikan lagi berahinya. Dia tidak menyangka, wanita sekasar Rudiana bisa menjentik rasa kecintaannya. Namun, dia kurang pasti apakah yang berdetak di hatinya ketika ini adalah cinta atau nafsu semata-mata?

Wajah Rudiana terus ditatap lama. Terdetik rasa bahagia di hatinya bila memikirkan keperihatinan Rudiana menjaganya. Melihatkan tidur Rudiana yang nyenyak itu tahulah dia, yang wanita itu sepajang malam telah menjaganya. Sentiasa di sisinya. Bila memikirkan hal itu membuatkan dadanya terasa lapang. Ambil berat jugak dia pada aku. Detik di hatinya.

Dengan keberanian yang ada, Iskandar cuba menyentuh bibir mungil Rudiana. Geram dia melihat bibir itu. Ikutkan hati ingin sahaja dia mengucup bibir itu. Melihat bibir merah itu tertayang kembali kejadian tanpa diduga ketika hari pertama Rudiana berada di rumah ini. Bibir itu telah dikucup tanpa sengaja kerana tergelincir. Sejak peristiwa itu, hatinya terus berdetak laju setiap kali melihat seraut wajah Rudiana. Apakah dia sudah jatuh cinta pada Rudiana?

Kau jangan jadi gila Iskandar. Takkanlah kau sudah jatuh cinta dengan wanita sekasar Rudiana? Apakah kau tidak takut dikecewakan lagi? Gadis selembut Amanina pun bisa menghancurkan cinta kau. Wanita semanis Zakiah juga bisa mendustai cinta kau. Inikan pula gadis sekasar Rudiana. Apakah kau sudah yakin nalurinya yang sebanar? Hati Iskandar berkata-kata. Cuba mengusir perasaan baharu yang mula berputik itu.

Iskandar mengetap bibir. Wanita di sebelahnya itu sudah halal baginya untuk disentuhi. Tapi, perkahwinannya dengan Rudiana hanya sekadar untuk melengkapkan syarat dalam perjanjiannya. Apakah dia akan dianggap melanggar perjanjian jika dia mengucup bibir mungil isterinya itu?

Iskandar berbelah bahagi. Hatinya tiba-tiba terpagut ingin tahu. Dia ingin tahu lebih banyak lagi tentang wanita yang bernama Rudiana Aqila binti Sufian itu. Bila teringatkan kata-kata Rosalinda yang memaklumkan yang Rudiana sudah menjadi yatim piatu sejak berusia 15 tahun lagi membuatkan hatinya sayu. Pasti sudah banyak penderitaan dan kepayahan hidup yang telah ditempuhi oleh Rudiana. Dan mungkin disebabkan kepayahan hidup itu membuatkan Rudiana bertukar personaliti. Hatinya terusik kasihan pada nasib hidup Rudiana. Dan hatinya tiba-tiba berkata ingin menjadi pelindung untuk wanita itu.

Dari rasa simpati wujud pula rasa sayang tanpa sedar. Dengan penuh berhati-hati Iskandar mengucup dahi isterinya itu penuh kasih. Hatinya benar-benar berasa bahagia selepas bibirnya melekap pada dahi Rudiana. Serta merta haruman syampu rambut Rudiana menusuk ke hidung. Perasaan yang sama semasa kali pertama dia mengucup dahi Rudiana semasa pernikahanya dulu kembali berdetak. Tanpa sedar dia sebenarnya sudah jatuh sayang pada isterinya sendiri.

Rudiana terkejut bila terasa ada sesuatu yang hangat pada dahinya. Dengan rasa berat dan lesu dia membuka mata. Bila kelopak matanya sudah terbuka, dia terkejut bila melihat wajah Iskandar begitu dekat pada wajahnya. Tangannya sedang memaut kemas pada pinggang Iskandar. Iskandar sudah tersengih mengoda padanya.

“Argh!!!” jerit Rudiana terkejut. Automatik kakinya menendang tubuh Iskandar.

Berguling Iskandar di atas katil itu lalu…

Kedebuk!

Iskandar jatuh dari katil. Rudiana terus berlari keluar dari bilik itu dengan perasan cemas dan takut menuju ke biliknya.

Macam mana aku boleh tidur kat bilik dia?!!! Jerit Rudiana di dalam hati.

***

LANGKAH laju Amanina dikejar. Entah mengapa tiba-tiba sahaja Amanina melarikan diri sebelum sempat bertemu dengan Iskandar.

“Tolong hantar saya balik,” pinta Amanina dalam langkah lajunya.

Khairulnizam mendesah kecewa. Kecewa dengan sikap Amanina yang kalah dengan perasaannya sendiri. Mereka sudah sampai di agam indah Iskandar ini. Hanya tinggal diluahkan sahaja. Ternyata Amanina tidak kuat seperti yang disangka.

“Nina, kenapa ni?” tanya Khairulnizam sambil mencapai lengan Amanina.

Amanina memberhentikan langkahnya. Air matanya sudah berjejeran. Sangkanya dia kuat. Ternyata tidak. Di saat-saat akhir, hatinya dirundum perasaan takut. Takut jika Iskandar tidak bisa menerima cintanya lagi. Dirinya seolah perigi mencari timba. Menangih kasih pada yang tak sudi. Dia tidak bisa menerima kekecewaan kerana penolakan Iskandar. Dan dia juga tidak bisa menerima kekecewaan bila melihat Iskandar bakalan bersama insan lain selain dirinya. Dia keliru.

“Saya nak balik,” jawab Amanina langsung tiada kaitan dengan pertanyaa Khairulnizam.

“Nina, kita dah ada di depan banglo Iskandar. Tinggal berjumpa face-to-face dan slow talk baik-baik. Sampai bila awak terus nak memendam rasa?” Khairulnizam cuba memujuk.

Amanina sudah bersedu tangisnya. Dia tidak tahu mengapa dia perlu mengalirkan air mata sedangkan jawapan yang diinginkan masih berlum diberikan.

“Saya tak sanggup nak terima penolakan dia,” jawab Amanina sebak.

Khairulnizam tertawa sinis. “Awak belum berbincang dengan dia. Belum luahkan pada dia setelusnya. Macam mana awak boleh tahu jawapannya?” Khairulnizam mempertikai jawapan Amanina.

Amanina mengetap bibir menahan senak di dada. Walaupun dia masih belum peroleh jawapan, tapi hatinya yakin Iskandar akan menolak cintanya.

“Awak belum cuba dah mengalah?” sindir Khairulnizam. “Inilah masanya untuk awak meraih kembali cinta Iskandar sebelum nanti, awak terpaksa merebut cintanya.” Sambungnya lagi sengaja mahu membakar hati Amanina supaya gadis itu teguh dengan kata hatinya.

“Saya nak balik,” pinta Amanina yang malas untuk mendengar bebelan Khairulnizam lagi. Ya, dia sedar dia hanya seorang wanita yang memiliki hati yang rapuh. Tidak kuat untuk mengharungi perpisahan. Dia bukan lelaki. Lelaki memiliki keberanian dan keteguhan hati yang kukuh. Wanita sepertinya hanya miliki kesetiaan cinta yang teguh. Namun, terkadang kesakitan kekecewaan masa lalu masih menghantui hidupnya.

“Awak masih…”

“Nizam! Saya nak balik!” tingkah Amanina sebelum sempat Khairulnizam menghabiskan kata-katanya. Lekas dia menoleh memandang Khairulnizam dengan pandangan yang cukup tajam. “Awak nak kata saya apa pun, katalah. Saya masih belum ada kekuatan untuk meluahkanya hari ini. Bila tiba masanya nanti saya sendiri akan meraih cinta Iskandar!” sambungnya lagi. Terselit satu tekad di sebalik kata-katanya itu.

Hakikatnya bukan Amanina tidak mahu meluahkan rasa hatinya untuk meraih cinta Iskandar semula. Namun, hatinya masih rapuh. Belum seteguh yang diharapkan. Dia perlukan masa untuk mengukuhkan emosinya. Dia perlukan masa untuk menyusun ayat yang sesuai. Pertemuan yang tidak dirancang seperti hari ini atas desakan Khairulnizam mungkin tidak akan membuahkan hasil yang memihak padanya. Dia perlukan masa.

Khairulnizam tersentak. Terkejut dengan tengkingan Amanina. Seumur hidupnya. Ini kali pertama dia di tengking oleh gadis ayu itu. Dari tengkingan itu, tahulah dia yang Amanina benar-benar marah. Dengan teragak-agak dia menekan alarm keretanya lalu menyuruh Amanina masuk ke dalam kereta untuk menghantar gadis itu pulang. Dia mengeluh hampa. Rancanganya untuk hari ini tidak berjalan dengan lancar.

***

RUDIANA melangkah laju menuruni anak tangga menuju ke biliknya. Sempanjang langkahnya hatinya berdegup laju. Tidak menyangka sepanjang malam tadi dia tidur bersama Iskandar. Sedar-sedar sahaja sudah pagi. Kelihatan Iskandar sudah tersengih mengoda di dalam pelukannya.

Maisarah dan Harez yang sedang menonton TV di ruang tamu agak terkejut melihat pengasuh mereka tiba-tiba meluru ke biliknya dari aras atas. Buat seketika mereka berdua saling berpandangan. Sesaat kemudian mereka berdua menjengket bahu lalu kembali menatap skrin televisyen.

Sampai sahaja di bilik, Rudiana terus menutup daun pintu lalu dikunci dari dalam. Nafasnya tercungap-cungap. Tubuh disandar pada belakang pintu. Kedua-dua tangannya kuat mencengkam koler pijamanya. Tidak sanggup untuk melihat tubuhnya sendiri. Peluh sudah merenek di dahi.

Apa dia buat aku aku? Rudiana tertanya sendiri lalu melangkah ke meja solek. Wajahnya diteliti pada cermin. Kemudian sekitar leher dan tengkuknya pula dibelek. Tiada bekas gigitan. Dia mengeluh lega. Kemudiana dia melihat di dalam bajunya. Masih tiada bekas apa-apa. Sekali lagi dia mengela nafas lega. Dia meraba-raba pula seluruh tubuhnya. Tidak terasa apa-apa yang janggal. Dengan rasa lapang di dada dia merebahkan tubuhnya di atas katil. Bebas dan relaks. Lega…

Siling bilik dipandang lama. Mindanya kembali mengimbas peristiwa di bilik atas tadi. Celik mata sahaja pandangannya sudah dijamu dengan senyuman meleret Iskandar. Manis sekali. Dengan kumis yang sudah menonjol di dagunya menambahkan lagi kekacakkan wajah lelaki itu. Tangannya pula dengan selamba terus memaut pinggang Iskandar.

“Malunya!!!” jerit Rudiana sambil menekup muka dengan bantal.

Takkan sepajang malam tadi aku tidur peluk pinggang dia kut? Malunya… macam manalah aku boleh tidur sebelah dia? Selepas keletihan berhempas pulas aku tukar baju dia dengan menutup mata malam tadi, aku terus baring sebelah dia kejap. Sekadar nak berehat. Tak sangka pulak tiba-tiba aku boleh terlelap. Bagun aje tadi aku dah peluk dia. Aduh… malunya. Bebel Rudiana.

Namun dalam rasa malu itu terdetik satu perasaan lain macam di dalam hatinya. Perasaan yang tidak pernah dia rasai sebelum ini. Berdegup pantas jantungnya setiap kali haruman tubuh Iskandar mengamit deria baunya. Pandangan mata Iskandar yang bersinar itu bisa menusuk ke kalbunya. Seolah ada satu kuasa ajaib telah mengetarkan jiwa wanitanya.

Rudiana, relaks. Apa hal kau nak feeling yang bukan-bukan ni? Kau ingat kau layak ke dengan lelaki sekacak Iskandar tu? Kau tu dahlah tak berapa nak cantik. Perangai macam lelaki. Jangan perasan nak bersuami macam Iskandar. Hatinya berkata-kata.

Bantal yang menutup muka dikuak. Dahinya berkerut memandang siling. “Apa hal pulak aku perasan nak bersuamikan macam Iskandar tu? Bukan ke dia tu memang suami aku?” Rudiana menidakkan kata hatinya tadi.

Memanglah, kau bernikah dengan dia pun sebab nak cukupkan syarat perjanjian kau dengan dia aje. Nanti, bila kerja kau dah selesai, kau ingat kau akan terus jadi isteri dia? Sah-sah kau akan dicerikan. Jangan biarkan diri kau diselubungi dengan cinta Iskandar. Hatinya berbisik lagi.

Lekas Rudiana bangun. Dia duduk di atas katil itu sambil mindanya ligat memikirkan kata-kata hatinya itu. Dia sedar pernikahannya hanya sekadar di atas kertas. Dia bersetuju dengan kata hatinya tadi. Wanita seperti dia yang hanya ada sijil Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Jangan bermimpi ingin menjadi Mrs. Iskandar.

Rudiana mengabaikan kata hatinya lalu dia bingkit berdiri. Tuala di penyidai dicapai. Baharu sahaja dia ingin melangkah ke bilik air tiba-tiba dia teringat sesuatau.

Apalah nasib Encik Iskandar ek? Derhakakah aku tendang suami sendiri? Ah, lantaklah siapa suruh senyum gatal kat aku. Rasakan kau. Omel Rudiana sabil tergelak sendiri. Langkah terus disusun menuju ke bilik air.

***

ISKANDAR merengus kasar. Bengang dengan Rudiana yang tiba-tiba menjerit seperti terkena histeria lalu menendangnya sekuat hati sehingga dia terguling lalu jatuh katil. Sudahlah ditendang, tanpa meminta maaf terus melarikan diri. Nasib baik kudratnya tidak segagah biasa. Jika tidak, sudah pasti perbuatan Rudiana itu akan dibalasnya.

Dengan perit dia menekan perutnya yang senak. Nasib baik dia tendang kat perut. Kalau dia tendang kat bahagian yang dia pernah tendang masa pertemuan pertama dulu. Niaya aku. Silap-silap boleh mandul. Bebel Iskandar di dalam hati.

Dia bangun lalu melangkah menuju ke laci meja kecil di sisi katil. Sebotol ubat dicapai lalu dikeluarkan dua biji isinya. Gelas berisi air masak yang sentiasa tersedia di atas meja itu dicapai. Pil tadi ditelan untuk melegakan sakit perutnya.

Dia ada gastrik. Semalam, seharian dia tidak menjamah apa-apa makanan. Bila memikirkan pasal Amanina membuatkan mindanya bercelaru. Mujurlah hari ini hari Ahad. Jika tidak, sudah pasti dia perlu bercuti.

Bila nama Amanina melintasi mindanya serta merta pertemuan semalam kembali berputar di dalam ingatannya. Pertemuan semula dengan Amanina dua minggu lalu sangkanya tidak berlanjutan. Tidak menyangka pertemuan itu kembali berulang. Kali ini pada situasi yang berbeza. Pertemuan semalam adalah pertemuan yang dirancang oleh Khairulnizam. Sehingga kini, Khairulnizam tidak menghubunginya lagi untuk memperjelaskan apa niat sebenarnya mempertemukan semula dia dengan Amanina.

Satu keluhan berat dihambur keluar. Serabut fikirannya memikirkan tentang Amanina. Amanina muncul untuk menagih cintanya semula. Kenapa selepas empat tahun baharu sekarang wanita itu muncul semula di dalam hadupnya? Mengapa tidak dari awal-awal? Empat tahun dia hidup begelumang dengan kesan kekecewaan akibat Amanina. Bila cinta itu semakin pudar dan ingin dilupakan. Tiba-tiba gadis itu muncul dan mengaku masih sayangkannya.

Iskandar melabuhkan punggung di birai katil. Dia duduk sambil menongkat tubuh ke belakang. Kepala didongak memandang siling bilik. Keluahan sarat terus dihambur keluar. Hatinya keliru. Tidak dinafikan yang cintanya masih ada untuk Amanina. Hampir empat tahun menyemai cinta pertanya bersama Amanina dalam situasi yang amat mengasyikan. Masakan dia boleh melupakan cinta pertamanya semudah itu? Namun dia sedar, cintanya tidak seutuh dulu.

Dia mendesah lagi. Berserabut mindanya bila memikirkan tentang perasaannya sendiri pada Amanina. Dalam keserabutan itu, tiba-tiba muncul wajah Rudiana yang sedang nyanyak tidur di sisinya tadi. Comel wajah itu bila dipandang lama.

Kehangatan tangan Rudiana yang memeluk kuat pada pinggangnya masih terasa sehingga kini. Dengan perlahan dia menyentuh peinggangnya. Bahagian yang telah dirangkul oleh tangan Rudiana. Disaat tangan Rudiana masih melingkar dipinggangnya itu, dia merasa begitu bahagia. Bahagia bila ada yang sanggup memaut tubuhnya dikala dia dalam kesakitan.

Yang membuatkan dia tidak sangka, semalaman Rudiana menjaganya. Dia terharu dengan sikap ambil berat Rudiana. Tanpa sedar dia tersenyum bahagia sendiri. Beberapa saat kemudian dia melihat baju t-shirt Pagoda dan seluar trek yang tersarung di tubuhnya.

Siapa yang tukar baju aku? Setahu aku, aku pakai kemeja dengan seluar slek malam tadi. Takkan Rudiana yang tukar kut? Iskandar menutup mukanya dengan kedua telapak tangan. Malu sendiri.

Dahlah masa hari pertama dia kat sini dia dah nampak sesuatu yang tidak sepatutnya. Takkan malam tadi dia tengok lagi kut? Aduh… malunya? Apakah aku sudah hilang teruna bila seorang gadis melihat auratku? Iskandar tertanya dan terfikir sendirian.

Apa hal pulak hilang teruna? Dia kan isteri kau. Aurat isteri untuk suaminya. Aurat suami untuk isterinya. Hhatinya berbisik.

Iskandar menemplak dahinya kerana terlupa akan hakikat itu. Tapi, gelaran itu terjadi hanya kerana untuk cukupkan syarat. Boleh ke dia digelar sebagai isteri aku? Iskandar mula terfikir. Sesaat kemudian dia merengus kasar. Malas untuk memikirkan akan hal itu. Apa yang pasti, Rudiana telah mengetarkan jiwa lelakinya. Hanya dia sahaja yang masih tidak yakin dengan perasaannya yang itu. Terus menidakkan.

Dia bangun lalu melangkah ke tepi tingkap. Sampai sahaja, daun tingkap dikuak keluar. Memberi ruang untuk angin segar masuk memenuhi ruang biliknya. Namun, selepas daun tingkap dibuka, dia terpandang sebuah kereta di hadapan banglonya. Beberapa saat kemudian kereta itu belalu meninggalkan kawasan banglonya.

Itu macam kereta Nizam. Apa dia buat kat sini? Iskandar tertanya sendiri.

← NEWER
OLDER →