When I Miss You...

Layout by : Yeza리키
Background : xoxoxo
Best view by Google Chrome.

BAB 13 DAN 14
Selasa, 7 Jun 2011 | 0 comments

BAB 13



SELEPAS meletakkan pinggan hidang berisi nasi goreng di atas meja, Rudiana kembali masuk ke dalam dapur. Pandangannya sedaya upaya dialihkan dari terpandang wajah Iskandar yang sedang merenungnya. Dia tahu dia bersalah kerana menendang lelaki itu pagi tadi.

Bukan salah aku. Yang dia tak nak kejut aku kenapa? Dah tahu aku tertidur sebelah dia, boleh pulak dia tenung aku lama-lama siap tersengih mengoda lagi. Nasib baik dia tak buat apa-apa kat aku. Kalau dia sentuh aku pagi tadi, patah riuk tulang dia aku kerjanya. Bebel Rudiana sambil mencuci kuali kotor yang digunakan untuk mengoreng nasi tadi.

Tapi… yang aku tidur peluk pinggang dia tu apa pula kisahnya? Salah dia jugak ke? Bukannya dia yang suruh aku tidur dengan dia. Aku yang mengada-ada nak baring kat sebelah dia kejap selepas berpenat lelah tukarkan baju dia dengan menutup mata. Tak sedar dah terlalap. Bila sedar aje…Rudiana tertawa sendiri. Menahan malu bila memikirkan semula posisi tidurnya malam tadi. Satu malam dia tidur peluk Iskandar. Suaminya sendiri!

Rasa senak perut masih terasa. Lama matanya merenung ke arah dapur. Kelibat Rudiana masih tidak muncul-muncul. Dia tahu Rudiana ingin melarikan diri selepas buat salah padanya dengan menendang perutnya pagi tadi. Bukan salah dia. Rudiana yang tidur mati dan terus memeluk erat pinggangnya. Tajam renungannya menanti kelibat Rudiana muncul.

Selepas dua minit merenung namun kelibat Rudiana tidak muncul-muncul juga. Dia mengalihkan pandangan ke arah Maisarah dan Harez di hadapannya. Anak-anak tirinya itu kelihatan sugul. Muncung dah sedepa ke dapan.

“Apa hal masing-masing dah tarik muka pagi-pagi ni?” tanya Iskandar serius nadanya. Tiada pun secalit senyuman di bibirnya. Macam mana anak-anak tirinya itu tidak takut.

Beberapa saat dia terpandang dua keeping kad kuning di atas almari perhiasan di sebelah meja makan itu. Dia menepuk dahinya. Dia sudah terlupa sesuatu. Semalam, dia sudah berjanji untuk ke Tadika Maisarah dan Harez untuk mengambil rekod pelajaran mereka. Tapi… dia sudah terlupa. Bukannya dia ada mesyurat penting. Tapi disebabkan Khairulnizam telah merancang pertemuannya dengan Amanina membuatkan dia tidak teringat langsung akan janjinya itu. Tatkala minda bercelaru, dia tidak dapat memikirkan apa-apa termasuk janjinya kepada anak-anak tirinya.

“Aduh… papa terlupa semalam nak ke Tadika Maisarah dan Harez. Papa ada meeting. Papa minta maaf,” pohon Iskandar penuh rasa kesal.

Maisarah dan Harez saling berpandangan. Beberapa saat kemudian mereka berdua melangkah meninggalkan ruang makan itu dengan wajah bosan. Alasan yang papa mereka berikan sudah basi. Tidak boleh digunapakai lagi.

“Misarah, Harez, papa minta maaf. Papa betul-betul ada meeting semalam,” Iskandar cuba memujuk sambil mengejar langkah dua beradik itu yang sudah laju menuju ke arah ruang tamu.

Rudiana di dapur memandang sekilas ke arah anak beranak itu sambil mencebik bibir.

Padan muka kau. Budak-budak tu pun ada perasaan. Boleh merajuk. Kalau tak boleh pergi tu janganlah nak berjanji. Rudiana membebel sambil membilas kuali di singki.

Iskandar duduk di sofa yang berhadapan dengan Maisarah dan Harez yang masih menarik muka. Merajuk!

Iskandar terus berfikir-fikir cara untuk memujuk dua beradik itu. Selepas beberapa saat berfikir dia memperoleh idea.

“Okeylah, sebagai tanda minta maaf, papa bawak Maisarah dan Harez jalan-jalan satu hari ni. Cakap aje Maisarah dan Harez nak pergi mana. Papa akan bawak dan temankan,” pancing Iskandar.

Maisarah dan Harez saling berpandangan. Dalam sesaat masing-masing sudah tersenyum gembira.

“Betul ke papa?” tanya Harez teruja sekali.

“Betul sayang,” jawab Iskandar sambil mengusap perlahan kepala Harez. Tak susah pun nak pujuk budak-budak ni. Desis di hatinya.

Rudiana di dapur hanya mencebikkan bibir mendengar perbualan itu.

Eleh, dah buat salah nak pancing budak-budak tu dengan berjalan-jalan konon. Trick lama. Lepas ni mesti buat lagi. Omel Rudiana sambil mengelap tangannya yang masih basah dengan tuala kecil yang tersangkut di dinding singki. Kerjanya sudah siap. Sudah tiba masanya untuk mengelap dapur masak pula. Baharu sahaja dia ingin berpaling ke belakang, tiba-tiba, “Oh mak kau meletup!” spontan Rudiana terlatah bila melihat Iskandar sudah berdiri tercegat dibelakangnya dengan senyum mengoda. Tangannya pula sudah tersimpul rapi di dada.

“Encik Iskandar ni, buat saya terkejut ajelah,” rengus Rudiana bengang sambil mengusap dadanya yang sudah berdegup pantas dek terkejut. Wajah Iskandar dijeling menyampah.

“Siap, kita keluar,” jelas Iskandar tegas sekali. Kata-kata yang lebih kepada arahan.

Rudiana menjeling sinis. “Apa hal pulak kita? Encik Iskandar ajelah yang pergi dengan budak-budak tu. Lagi pun Encik Is yang bersalah dengan budak-budak tu. Bukan saya.”

Rudiana menolak arahan Iskandar itu dengan muka selamba. Tangannya cepat sahaja mengelap dapur masak. Tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu melingkar di pinggang. Macam lingkaran ular sawa. Sepantas kilat dia melihat ke arah pinggangnya.

“Argh!!! Apa ni Encik Iskandar, lepaslah!” jerit Rudiana sambil meronta-ronta dalam pelukan Iskandar yang kuat itu.

Iskandar dengan sedikit kasar memalingkang tubuh Rudiana mengadapnya. Pinggang Rudiana dipeluk pula dari depan. Mereka berpeluk saling mengadap. Senyuman mengoda terus terukir di sebalik bibir Iskandar.

“Apa ni Encik Iskandar. Jangan nak mengada-ada ya? Saya jerit kang,” ugut Rudiana sambil menolak tubuh Iskandar dan meronta-ronta minta dilepaskan. Sedaya-upaya dia cuba menjauhkan tubuhnya dari tubuh Iskandar yang hanya bersinglet itu.

“Kalau awak tak nak ikut, selagi tu saya akan peluk awak. Tak kiralah sampai besok pagi ke… minggu depan ke…” balas Iskandar buat mula tak tahu. Turut mengugut.

“Mana boleh, esok kan Encik Iskandar kerja. Nanti Encik Iskandar jugak yang kena buang kerja,” Rudiana tetap tidak mahu kalah. Pandai mencipta helah.

“Sah-sah syarikat Wasilah Landskap tu saya punya. Saya pengurus urusannya. Saya ada hak untuk bercuti berapa lama yang saya nak,” Iskandar juga turut tidak mahu kalah. Semakin dikuatkan pelukkannya dengan wajah tidak bersalah.

Rudiana semakin resah. Pelukkan Iskandar semakin menjerut pinggangnya. Mujurlah tangannya menongkat pada dada Iskandar. Jika tidak sudah pasti tubuhnya sudah mendarat di dada Iskandar. Dia tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

“Okey saya ikut!” akhirnya Rudiana mengalah. Terpaksa akur dengan kehendak Iskandar.

Iskandar sudah tersenyum puas. Kemenangan berpihak padanya.

“Okey bersiap cepat ya? Awak jangan risau okey? Bukannya saya nak ambil kesempatan. Cara ni aje yang saya ada untuk paksa awak. Maaf okey. Kalau awak degil lagi jangan menyesal kalau saya cium awak pulak,” ujar Iskandar lalu berlalu dari situ dengan senyum kemenangkan. Dalam tidak sedar dadanya cukup bahagia tatkala memeluk Rudiana tadi.

Rudiana merengus kasar. Bengang. Beberapa saat kemudian ada secalit senyuman terukir di sebalik bibirnya. Walaupun dia berasa cemas semasa Iskandar memeluknya tadi kerana takut Iskandar akan melakukan perkara tidak senonoh padanya. Namun, terselit juga rasa bahagia tika berada di dalam pelukkan Iskandar. Dadanya terasa lapang seolah selamat di dalam pelukkan lelaki itu.

Hisy, jangan nak mengarutlah kau Diana. Kau sedar diri kau tu. Kau tu tak lebih dari seorang pengasuh budak atau yang lebih layak di gelar pekerja di rumah ni. Jangan nak mengada-ada terbang dengan enggang. Bisik hatinya serta merta mengusir perasaan yang baharu memutik tadi.

“Diana cepat siap!!! Buat apa termenung kat dapur lagi tu?” kedegaran suara Iskandar memekik dari aras atas.

Rudiana terkejut lalu kelam kabut dia menyusun langkah ke biliknya. Sempat dia menjeling ke aras atas. Dia ada pasang CCTV ke kat dapur? Hatinya tertanya.

***

KHAIRULNIZAM tidak menghantar Amanina terus ke rumah. Selepas menenangkan Amanina di dalam kereta tadi, dia telah membawa Amanina ke restoran ini. Sekadar ingin minum pagi bersama. Dia tahu Amanina perlukan sokongannya ketika ini. Wanita itu duduk sendirian di kondominiumnya. Jadi, dia tidak mahu Amanina melakukan perkara yang diluar fikiran. Bila dia pasti emosi Amanina sudah stabil nanti, barulan dia akan menghantar Amanina pulang ke kondominiumnya.

Mereka telah memilih tempat duduk di luar restoran. Udara segar adalah terapi terbaik untuk meredakan jiwa yang bercelaru. Selepas pelayan menghantar pesanan mereka, Khairulnizam terus memandang wajah Amanina yang kelihatan muram sekali. Sayu hatinya melihat wajah itu. Hatinya turut terasa nyilu.

“Maaf kalau saya terlalu memaksa awak,” pohon Khairulnizam entah yang ke berapa kali.

Amanina mendesah. Hatinya masih sebal dengan paksaan Khairulnizam. Dia tahu Khairulnizam buat semua ini untuk kebaikkannya. Tapi, dia juga punya perasaan dan perlukan masa. Masakan dia ingin berhadapan dengan Iskandar tanpa bersedia apa-apa? Khairulnizam membawanya ke banglo Iskandar secara mendadak. Keyakinannya belum padu untuk berhadapan dengan Iskandar.

“Tak apa. Saya tahu niat awak baik Nizam. Ingin menyatukan saya dengan Iskandar. Saya perlukan masa. Saya perlu pastikan emosi saya stabil untuk berhadapan dengan Iskandar. Saya tidak mahu gugup di hadapan Iskandar. Saya tidak mahu mati kutu di hadapan dia. Saya perlu kukuh dari segi fizikal dan mental semasa di berhadapan dengan Iskandar. Saya ingin kuat di hadapan Iskandar untuk meriah cinta saya semula,” jelas Amanina apa yang dia maksudkan pagi tadi.

Dia meminta diri sebelum berhadapan dengan Iskandar bukan kerana dia takut. Bukan dia kalah pada perasaannya sendiri. Tapi dia belum bersedia untuk sebarang kemungkinan. Dia tidak mahu cengeng di hadapan Iskandar. Dia tidak mahu gugup di hadapan Iskandar. Walaupun dia mungkin akan terlambat tapi dia ingin dilihat sebagai seorang wanita yang bersungguh-sungguh ingin meraih semula cintanya di mata Iskandar.

Khairulnizam mendesah perlahan. Dia akur dengan penjelasan Amanina. Siapalah dia untuk memaksa. Namun, dia tetap berasa lega kerana sudah mencuba untuk menyatukan mereka berdua. Walaupun hatinya sendiri terhiris.

Diam seketika. Masing-masing bermain dengan fikiran.

“Selain Iskandar dan anak-anak tirinya. Siapa lagi yang mendiami Teratak Iskandar?” tanya Amanina serta merta menukar topik perbualan.

Khairulnizam memandang Amanina harian. Kurang jelas dengan maksud sebenar pertanyaan Amanina itu.

“Saya tak faham soalan itu. Awak ada nampak orang lain ke dalam banglo tu tadi?” jawab Khairulnizam dengan soalan.

Amanina tidak terus menjawab. Dia terpandang sepasang sandal wanita di luar pintu utama banglo Iskandar pagi tadi. Mustahil sandal itu kepunyaan Maisarah. Sandal itu besar.

Lama Khairulnizam memandang Amanina menanti penjelasan yang seterusnya.

“Saya nampak sandal wanita diluar pintu masuk banglo Iskandar,” jelas Amanina mula tidak sedap hati. Mindanya sudah memikirkan hal yang bukan-bukan.

“Oh…” Khairulnizam baharu teringat. “Mungkin sandal pengasuh anak-anak Iskandar kut,” tebak Khairulnizam yakin. Jika sandal itu bukan milik pengasuh Iskandar, mustahil sandal itu milik Iskandar pulak? Gila namanya tu. Detik di hatinya.

Berkerut dahi Amanina memandang Khairulnizam. “Pengasuh?” tanya Amanina tidak yakin dengan jawapan Khairulnizam.

“Yalah. Kalau tak ada pengasuh, awak ingat Is tu ada masa ke nak jaga budak-budak tu? Kerja dia kat ofis pun berlambak-lambak. Entah pengasuh yang keberapa agaknyanya. Masuk pengasuh dia yang baharu tu, lebih 30 orang dah yang jadi pengasuh anak-anak tirinya dia. Semua tak tahan sebab kena perdajal dengan anak-anak tiri dia,” Khairulnizam membuka cerita sambil tergelak-gelak.

Mengingatkan masalah Iskandar yang sering bertukar pengasuh untuk menjaga anak-anaknya membuat dia geli hati. Tiada siapa yang tahan menjaga anak-anaknya yang degil itu. Entahlah berapa lamalah pengasuh baharu Iskandar itu akan bertahan.

Amanina langsung tidak tertawa. Ada satu perasaan yang menyenakkan mula menghunus tangkai hatinya.

“Pengasuh anak-anak tiri Is tu lelaki ke perempuan?” tanya Amanina serius sekali nadanya.

Khairulnizam kaku memandang Amanina. Beberapa saat kemudian dia menyambung ketawanya semula.

“Ada ke pengasuh lelaki? Kalau ada pun, satu dalam sejuta tau? Mestilah perempuan,” jawab Khairulnizam sambil tergelak. Pertanyaan Amanina itu sekali lagi mengeletek hatinya.

“Tua ke muda?” lanjut Amanina masih berwajah serius. Mendengarkan jawapan Khairulnizam itu membuatkan dadanya senak. Terasa bagai ada selumbar berbisa yang tersisip. Apakah dia cemburu?

Senyuman Khairulnizam pudar perlahan-lahan selepas melihat wajah serius Amanina. Dia dapat menghidu ada nada cemburu dalam pertanyaan Amanina. Dalam masa yang sama hatinya juga sudah terasa nyilu dihiris oleh perasaan yang sama. Ternyata Amanina masih sayangkan Iskandar sepenuhnya. Sehinggakan dengan pengasuh anak-anak tiri Iskandar pun Amanina bisa cemburu.

“Minggu lepas saya ada pergi rumah dia dan dah berkenalan dengan pengasuh Iskandar. Muda lagi. Kalau tak silap nama dia Rudiana,” jawab Khairulnizam ingat-ingat lupa.

Amanina tertunduk. Jiwanya semakin senak. Cemas mula mengusai diri. Rasa risau juga tidak ketinggalan mencelah disebalik rasa cemasnya. Pelbagai andaian mula menujah ke benaknya.

“Mereka duduk serumah?” Amanina masih mahu menyisat.

“Of course tidak. Gila? Buatnya mereka kena tangkap khalwat. Tak ke niaya? Kata Iskandar pengasuh dia tu bekerja balik hari. Pergi pagi balik petang. Bila dia balik kerja pengasuh tu baliklah rumah dia,” jawab Khairulnizam mengulang jawapan Iskandar minggu lepas selepas dia menanya soalan yang sama.

Mendengarkan jawapan Khairulnizam itu serba sedikit melegakan perasaan Amanina. Namun, di segenap hatinya tetap berasa bimbang. Walaupun dia belum pernah melihat pengasuh anak-anak tiri Iskandar. Di hatinya tetap berasa bimbang. Lelaki jika sudah melihat wanita muda setaip hari, kebarangkalian untuk jatuh cinta itu tetap ada. Lagi-lagi jika wanita itu berjaya mencuri hati anak-anak tirinya.

Tanpa sedar terbit satu perasaan iri hati di sebalik perasaan Amanina. Dia sudah ada saingan walaupun dia tahu kemungkinan Iskandar dan pengasuh anak-anaknya jatun cinta adalah tipis, dia tetap menganggap pengasuh itu pesaingnya. Dia perlu berusha lebih keras selepas ini.

Khairulnizam lama memandang Amanina yang terus diam terpaku seolah kusyuk memikirkan sesuatu. Dan sudah pasti wanita itu berasa tergugat dengan jawapannya tadi. Mula rasa ada pesaing untuk meraih cintanya semula walaupun kemungkinan Iskandar akan jatuh cinta dengan pengasuh anak-anak tirinya sendiri adalah telalu tipis dan mungkin tiada. Mustahil Iskandar boleh jatuh cinta pada wanita persis lelaki seperti Rudiana. Namun tidak dinafikan, walaupun sifat Rudiana kasar seperti lelaki, masih ada kecomelan dan manisnya di wajah itu.

“Kenapa ni? Awak risau Is jatuh cinta pada pengasuh dia ke?” tebak Khairulnizam. Di hatinya dia yakin, itulah kebimbangan Amanina ketika ini.

Amanina mengangkat muka. Ingin membalas kata-kata Khairulnizam itu. Tapi belum sempat dia bersuara, pandangannya terpandang sesuatu. Matanya tertegun. Kaku. Terkejut dengan apa yang sedang dilihatnya ketika ini.

***

MAHU tak mahu, dia terpaksa mengikut setiap langkah Maisarah dan Harez. Dia sudah mungkir janji dan kali ini dia telah terlepas janji. Demi menebus janji yang dimungkiri, dia akan membawa anak-anak tirinya itu bersiar-siar di seluruh Bandar Johor Bahru ini.

Selepas penat berjalan di Danga Bay, mereka ke City Square. Selepas puas naik turun di Citi Square, mereka ke Plaza Angsana pula. Letih tetap letih. Demi menebus janji, diikutkan sahaja kerenah anak-anak tirinya itu.

Iskandar melabuhkan punggungnya di atas tembok di tepi tangga bergerak. Kakinya sudah pegal untuk terus melangkah. Dia ingin berehat sementara menanti anak-anak tirinya bersama Rudiana membeli ais krim di sebuah kedai yang betul-betul mengadap pintu masuk ke pusat membeli belah itu.

Tanpa sedar dia mengukir senyum. Hampir dua minggu Rudiana bekerja sebagai pengasuh anak-anaknya. Tidak nampak tanda-tanda Rudiana ingin berhenti kerja. Ternyata Rudiana terlalu memberi komitment dalam kerjanya.

Walaupun sudah diperdajal oleh anak-anak tirinya dengan pelbagai ‘jerangkap samar’. Rudiana tidak pernah kalah. Dilayankan sahaja setiap kerenah anak-anak tirinya. Dia juga tidak pernah sekali pun melihat Rudiana memukul atau memarahi anak-anak tirinya.

Dan kini, anak-anak tirinya seolah dapat menerima kehadiran Rudiana di dalam hidup mereka. Mungkin sikap Rudiana yang buat-buat tidak tahu dengan setiap ‘jerangkap samar’ anak-anak tirinya menyebabkan Maisarah dan Harez sudah berputus asa untuk mengenakan pengasuh barunya itu.

Senang hatinya melihat keakraban Rudiana dengan Maisarah dan Harez. Dua beradik itu kelihatan cukup ceria di samping Rudiana. Dengan dirinya pun anak-anak tirinya itu tidak pernah jalan berpimpin tangan. Dengan Rudiana, dengan selamba Maisarah dan Harez terus memaut tangan gadis berperwatakan kasar itu ke mana sahaja.

Mungkin disebabkan usia Rudiana yang baharu mencecah 24 tahun menyebabkan dia serasi dengan Maisarah dan Harez. Sifat keanak-anakkan yang ada di dalam diri Rudiana menyebabkan Maisarah dan Harez selesa bergaul dengan Rudiana. Dia lega bila tidak perlu peningkan kepala untuk mencari pengasuh lagi selepas ini. Mungkin juga disebabkan sejarah hidup Rudiana yang sudah kehilagan ibu bapa sejak berusia 15 tahun menyebabkann dia bisa memahami hati dua beradik itu yang mengalami situasai yang sama.

Sedangkan dia? Sebagai ayah tiri mereka, tidak seakrab itu. Tidak tahulah masih boleh di anggap bapa tiri lagi atau tidak kerana dia dan Zakiah sudah bercerai. Bukan bercerai mati. Tetapi bercerai hidup. Ke mana Zakiah menghilangkan diri, sehingga kini tiada siapa yang tahu. Namun, dia tetap menganggap Maisarah dan Harez sebagai anak-anak tirinya walaupun setiap kali melihat dua beradik itu, akan mengingatkan dia pada Zakiah.

Dalam diam, dia sudah tertaut hati pada keperibadian Rudiana. Walaupun kasar, sifat keibuannya tetap ada dan terserlah setiap kali memujuk Maisarah dan Harez. Rudiana memiliki sifat kasih sayang yang tinggi. Apakah dia sudah jatuh sayang pada Rudiana? Persoalan itu yang masih tergantung di dalam mindanya. Hatinya berkata sayang. Mindanya menidakkan. Dia masih keliru. Apakah perlu dia menerima cinta baharu dengan mudah selepas cintanya pernah dipermainkan dengan sia-sia oleh Amanina dan Zakiah? Perasaan fobianya telah menghalang dari perasaan baharu itu dari terus bercambah.

Rudiana memandang Iskandar yang sedang tersengih sendirian ke arahnya. Dia berasa hairan. Lekas dia memandang ke arah sekelilingnya. Dia pandang siapa? Takkan pandang aku kut? Detik di hati Rudiana kehairanan.

“Mak cik, jom kita keluar, ada badutlah. Jomlah! Nak belon dia,” rengak Harez sambil menarik tangan Rudiana.

“Haahlah mak cik. Jomlah. Nanti belon tu habis, jomlah,” Maisarah pula mengajak.

Rudiana tepinga-pinga. “Eh, nantilah. Cakaplah dengan papa dulu. Nanti papa marah,” jelas Rudiana.

Dengan pantas Maisarah dan Harez berlari mendapatkan Iskandar. “Papa, jom kita keluar. Ada badut. Kami nak belon,” rengak Maisarah dan Harez serentak sambil menarik kedua tangan Iskandar.

“Huh?” Iskandar tersentak. “Jalan lagi? Kamu berdua ni tak penat ke? Kaki papa dah macam nak tercabut ni.”

Rudiana yang sudah melangkah menghampiri mereka hanya tertawa kecil melihat gelagat Iskandar. Padan muka! Sempat lagi dia mengejek.

“Cepatlah!” rengek Harez.

“Okey jom!” hendak tak hendak, Iskandar menurutkan juga. Janji punya pasal.

Maisarah dan Harez terus berlari keluar dari pusat membeli belah itu menuju ke arah bebarapa orang badut yang sedang asyik melayan kanak-kanak dengan belonnya. Rudiana tersengih pada Iskandar yang sudah kelihatan bosan. Sempat lagi Iskandar mengurut lututnya.

“Penat ke bang?” perli Iskandar sambil melangkah lambat-lambat keluar dari pusat membeli belah itu. Menuju ke arah Maisarah dan Harez yang sudah bersorak gembira dengan pertunjukan silap mata yang telah dilakukan oleh badut-badut itu.

Iskandar menjeling sinis. “Jangan nak perli saya. Ni semua pasal awaklah ni. Kalau awak tak hasut budak-budak tu suruh ke Danga Baylah, Citi Squarelah, Angsanalah, mesti kita sekarang dah kat rumah tau?” sindir Iskandar menyampah. Kalau tidak kerana mulut Rudiana yang lancang menyebut nama-nama pusat membeli belah yang popular di Johor Bahru ini tadi. Sudah pasti mereka semua sudah berehat dan bersantai di rumah.

“Alah Encik Iskandar ni, sekali-sekala lepas-lepak. Jalan-jalan cari makan. Apa salahnya. Asyik mengadap drawing landskap Encik Iskandar tu aje, tak bosan ke? Bagus apa keluar berjalan-jalan dengan budak-budak ni? Tenang juga fikiran,” balas Rudiana sambil menjilat ais krim kon di tangannya.

“Banyaklah tenangkan fikiran. Tension lagi adalah. Baik duduk rumah tengok DVD lagi tenang. Bak sini,” jawab Iskandar lalu merampas ais krim kon di tangan Rudiana lalu menjilat ais krim itu serakusnya.

Rudiana kaku. Terkejut dengan tindakkan Iskandar itu. Selamba Iskandar menjilat ais krim bekas lindahnya. “Apa ni awak, kalau nak belilah sendiri. Ais krim tu kan bekas saya. Awak tak geli ke?” rungut Rudiana sambil membuat muka.

“Buat apa nak geli? Bukan bekas orang lain pun. Bekas lidah isteri saya jugak,” selamba Iskandar menjawab sambil menjilat habis ais krim di tangannya.

Rudian kaku. Terkejut dengan jawapan Iskandar itu. Biar betul mamat ni? Detik di hatinya.

Belum sempat Iskandar melangkah keluar dari pusat membeli-belah itu dengan hati gembira kerana dapat mengenakan isterinya. Tiba gilirannya pula terkaku. Terkejut melihat kemunculan dua manusia di hadapannya


BAB 14

SEMANGATNYA untuk ke pejabat hari ini seolah tiada. Hatinya kegalauan. Hatinya keresahan. Dia sudah ada pesaing. Walaupun tiada sebarang bukti yang sahih, hatinya tetap dipagut rasa cemburu. Cemburu pada sesuatu yang dia sendiri tidak yakin.

Semuanya hanya kerana pangasuh Iskandar yang bernama Rudiana menurut Khairulnizam itu. Pertembungan dengan Iskandar dan Rudiana yang tidak disangka-sangka minggu lepas di Plaza Angasana Johor Bahru membuatkan hatinya semakin yakin yang Iskandar ada sesuatu dengan pengasuhnya sendiri. Mereka kelihatan mesra.

Ya, dia sedar Khairulnizam sudah berkali-kali memberi tahunya, mustahil Iskandar jatuh cinta pada seorang gadis yang berperwatakan kasar seperti Rudiana. Tetapi, semua itu tidak memujuk hatinya. Tidak langsung mengusir rasa cemburunya. Walaupun Rudiana bersifat kasar, manun Rudiana tetap seorang gadis. Hanya gaya dan cara pakaiannya sahaja persis lelaki. Kelembutannya sebagai seorang perempuan masih terserlah walaupun tidak banyak.

Wajahnya ditatap lama di hadapan cermin. Rambut yang sudah diikat satu dikemaskan. Pengilat bibir dicapai lalu dipalit sedikit padar bibirnya. Semangatnya betul-betul tiada untuk memulakan kerjanya hari ini. Sudah seminggu dia berkeadaan begini. Meraih semangat untuk memiliki cintanya semula. Namun, semangat itu masih belum kujung tiba.

Pengilat bibir diletakkan semula di atas meja solek. Pemerah pipi pula dicapai lalu disapu tipis di kedua-dua tulang pipinya. Tangannya bergerak seiring dengan mindanya. Mindanya terus memikirkan bagaimana dia ingin meraih kembali cinta Iskandar. Mungkin perkataan meraih tidak sesuai untuk digunakan ketika ini. Merebut lebih sesuai kerana sudah wujud persaing di antara mereka.

Kau kena kuat Nina, sampai bila kau nak terus duduk diam? Kau risau sebelum mencuba. Buang segala persoalan dan kebarangkalian yang wujud di dalam hati kau tu. Kau kan suka membaca novel. Kau tak baca ke kisah berebut cinta ni? Kat TV tu, berlambak cerita yang berkaitan dengan situasi kau ni. Walaupun pengakhiran cerita itu watak kau akan kalah, kau jadikan cerita rekaan penulis itu sebagai semangat. Buktikan kepada dunia yang watak insan seperti kau boleh berjaya meraih cinta kau semula. Tapi… kalau kau kalah sekali pun, sekurang-kurangnya kau dah mencuba. Bukan kalah sebelum berjuang. Hati Amanina berkata-kata.

Tangan Amanina berhenti dari terus menyapu rata pemerah pipi. Tiba-tiba semangatnya seolah sudah disuntik oleh kata-kata hatinya tadi.

Ya, aku tidak boleh mengalah. Cinta aku pernah tersemai hampir empat tahun dengan Iskandar jika nak dibandingkan dengan cinta Rudiana yang baharu dan mungkin belum beputik. Aku mesti cepat sebelum terlambat. Dan aku perlu wujudkan watak keempat di antara aku, Iskandar dan Rudiana untuk memastikan rancangan aku berjaya. Omel Amanina sendirian.

Tanpa sedar senyuman sinis terukir di bibirnya. Telefon bimbitnya dicapai lalu dia memuat satu panggilan dengan perasaan penuh keyakinan. Dia perlu mulakan rancangannya hari ini juga.

***

“MAISARAH, Harez, cepat makan cucur bawang tu. Nanti lambat,” suruh Rudiana sambil menyumbat bekal ke dalam beg sekolah Maisarah dan Harez.

Iskandar yang sedang membaca akhbar di kepala meja memandang kedua anak tirinya itu sekilas. Seketika kemudian dia mengukir senyum. Senang hatinya bila melihat Maisarah dan Harez akur dan menuruti segala arahan Rudiana. Ternyata Rudiana sudah dapat ‘menjinakan’ anak-anak tirinya. Sehingga kini dia tertanya-tanya, ilmu apa yang Rudiana pakai untuk ‘menundukan’ perangai degil anak-anaknya itu.

“Dah kenyang dah?” tanya Rudiana bila melihat Harez sudah mencuci tangan.

Harez tersenyum comel.

“Dah, cepat pakai stoking. Maisarah pun,” arah Rudiana lalu membawa dua beradik itu ke ruang tamu. Stoking yang sudah siap dicuci sudah awal-awal diletak di sofa. Sementara menunggu Maisarah dan Harez memakai stoking mereka sendiri, Rudiana kembali ke meja makan untuk mengemas.

“Nampaknya budak-budak tu dah tunduk dengan awak. Mak Esah (bomoh) mana awak jumpa?” tanya Iskandar selamba. Matanya masih tertancap pada akhbar di tangannya.

Rudiana yang sedang mengutip pinggan kotor memandang Iskandar sekilas dengan kerutan yang berlapis. “Mak Esah mana pulak ni? Mak saudara awak ke?” jawab Rudiana dengan soalan.

Iskandar menahan tawa. Lurusnya dia ni. Detik di hatinya lalu akhbar di tangan dilipat dua lalu diletak di sisinya. Telinga cawan dicapai lalu isinya dihirup sedikit. Malas untuk mengulas lebih lanjut mengenai isu ‘Mak Esah’.

“Budak tu dah serasi dengan awak,” ujar Iskandar dengan konteks ayat yang lebih jelas.

Rudiana tersengih. “Tengok kakilah,” jawab Rudiana bangga lalu membawa pinggan kotor ke singki untuk dicuci.

“Sedap cucur bawang awak. Berselera sekali Harez makan tadi,” puji Iskandar yang tiba-tiba muncul di singki sebelah.

Hampir terlepas cawan di tangan Rudiana. Dia ni suka tau buat aku terkejut. Gerutu di hati Rudiana.

“Rosalinda yang ajar,” jawab Rudiana hendak tak hendak sahaja.

Iskandar akur lalu kembali ke meja makan.

Rudiana mencapai cawan yang dibawa Iskandar tadi di singki sebelah lalu dicuci. Siap sahaja dia terus ke ruang tamu. Sudah tiba masanya untuk dia menghantar Maisarah dan Harez ke Tadika.

“Dah siap ke? Jom…” ujar Rudiana sambil menyangkut beg sekolah Maisarah dan Harez di kedua bahunya. “Sebelum tu, salam papa dulu,” arah Rudiana seperti kebiasaannya.

Maisarah dan Harez meluru mendapatkan Iskandar yang baharu selesai memakai stoking di sofa yang berhadapan dengan mereka. Tangan Iskandar disalam lalu dikucup mesra. Hatinya mengembang bila melihat perilaku kedua anak tirinya itu. Semenjak Rudiana menjadi pengasuh Maisarah dan Harez, banyak perubahan yang telah dibuat oleh Rudiana.

Dua beradik itu walaupun tidak ada kaitan darah dengannya, semakin hari semakin rapat dengannya. Rudiana telah berjaya menepis sikap protes yang sering dipamerkan oleh Maisarah dan Harez sebelum ini lalu diganti dengan perasaan ceria yang menggunung. Dia sebagai lelaki mula terasa bahagianya menjadi seorang bapa. Tidak sia-sia dia menjadikan Rudiana sebagai pengasuh anak-anak tirinya.

Dia senang hati bila Maisarah dan Harez sudah boleh tertawa, bebual dan bergurau senda dengannya. Dia sedar anak-anak tirinya sebenarnya ingin perhatian darinya sebelum ini. Sebab itu mereka berdua sedaya upaya mengusir setiap pengasuh mereka dengan pelbagai cara. Bila sedikit perhatian itu sudah diberikan, ternyata Maisarah dan Harez sebenarnya anak-anak yang ceria.

Iskandar tersenyum senang hati melihat Maisarah dan Harez kembali mendapatkan Rudiana yang sudah bersedia untuk menghantar dua beradik itu ke Tadika. Namun, rasa bahagia yang melanda jiwanya ketika ini bukan kerana perubahan sikap Maisarah dan Harez semata-mata. Ada sebab lain. Semenjak Rudiana berada di rumah ini 24 jam sehari, membuatkan dia senang hati melihat gelagat gadis kasar itu.

Keperibadian Rudiana yang pandai menjaga hati anak-anaknya dan menguruskan rumah membuatkan dia tertarik. Dia suka melihat wajah merajuk Rudiana. Dia suka cucur bawang Rudiana. Dia suka ketawa Rudiana. Dia suka melihat Rudiana melayan anak-anak tirinya. Wajah Rudiana yang putih bersih sungguh menenangkan jiwa dan kadangkala dia tidak sabar ingin pulang dari kerja semata-mata ingin melihat wajah itu. Apakah perasaan ini? Adakah dia sudah jatuh cinta lagi? Persoalan yang masih belum bisa dijawab kerana dia sendiri masih sangsi dengan perasaannya sendiri.

Iskandar bangun dari duduk. Dia juga ingin ke pejabat. Kunci kereta di atas meja perhiasan dicapai. Kebetulan Rudiana di situ sedang memerhati Maisarah dan Harez memakai kasut.

Iskandar menghulur tangan pada Rudiana.

Rudiana memandang huluran tangan Iskandar itu dengan perasaan hairan dan kerutan di wajah. “Apa hal ni? Nak duit raya ke?” tanya Rudiana pelik.

“Maisarah dan Harez dah salam, awak tak nak salam?” usik Iskandar sambil tersenyum nakal. Tidak sah sehari kalau dia tidak mengusik Rudiana. Dia ingin melihat wajah menyampah Rudiana yang comel.

Rudiana merengus sambil menjeling benci. “Mengada-ada. Miang!” Rudiana menjelir lidah. Mengejek. Salaman Iskandar tidak disambut. Semakin menjadi-jadi miang Encik Iskandar ni hari demi hari. Naik seram aku, getus di hatinya. Namun, hakikatnya dia senang dengan usikan itu. Kembang hatinya bila dapat bergurau senda dengan Iskandar. Walaupun lelaki itu terkadang nampak serius, namun masih ada kelucuan di dalam diri lelaki itu.

Iskandar sudah tertawa. Terubat rindunya ingin melihat wajah comel Rudiana semasa marah.

Selaesai memakai kasut, Maisarah dan Harez dengan hati yang gembira melangkah menuju ke pintu utama banglo mewah itu diekori Rudiana dari belakang selepas gadis itu menjeling tajam pada Iskandar.

Baharu sahaja daun pintu dibuka, mereka bertiga terkaku. Terkejut dengan kemunculan tetamu yang tidak dikenali itu.

“Kenapa Diana?” tanya Iskandar sambil melipat lengan kemejanya sehingga paras siku. Hairan melihat Rudiana dan kedua anak tirinya tiba-tiba berhenti di muka pintu.

“Ada tetamu,” jawab Rudiana.

“Siapa?” tanya Iskandar lalu melangkah menuju ke muka pintu. Sampai sahaja dia turut tergaman. Tidak menyangka insan itu berada di banglonya ketika ini.

***

SELEPAS menghantar Maisarah dan Harez ke Tadika, Rudiana terus menyusun langkah untuk pulang ke Teratak Iskandar. Malas untuk singgah ke mana-mana walaupun dia tahu, sepanjang masa Maisarah dan Harez di Tadika, itulah masa teluangnya untuk buat apa sahaja yang dia suka. Tapi hari ini hatinya terasa gelisah. Tiada mood untuk merayau. Kakinya melangkah, tapi mindanya jauh menerawang ke tempat lain. Tetamu wanita yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu masuk Teratak Iskandar pagi tadi membuatkan dia jauh berfikir.

Siapa perempuan tu? Apa kaitan perempuan tu dengan Encik Iskandar? Bekas isteri Encik Iskandar ke? Eh, kalau bekas isteri Encik Iskandar, sah-sah ibu kepada Maisarah dan Harez. Mereka berdua tak kenal pun siapa perempuan tu? Sah bukan bekas isteri Encik Iskandar. Kalau bukan bekas isteri Encik Iskandar, tak kanlah kekasih Encik Iskandar? Tak pernah tahu pun?

Macam-macam persoalan mula timbul di dalam fikiran Rudiana ketika ini. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja hatinya terasa nyilu bagai ada yang menusuk-nusuk dengan benda tajam. Terasa senak pun ada. Kenapa dia rasa begitu bila persoalan tadi terus menghentak-hentak tempurung kepalanya untuk meraih jawapan yang memang tiada padanya?

Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku sibuk nak tahu hubungan sebenar perempuan tu dengan Encik Iskandar? Suka hati Encik Iskandarlah mahu berkawan dengan siapa pun. Itu hak dia. Aku sebagai pekerja dia yang memegang title pengasuh, tiada walaupun sedikit pun hak nak masuk campur hal peribadi Encik Iskandar. Tapi… Rudiana mendesah. Jiwanya tiba-tiba terasa kacau. Ada satu perasaan yang kurang selesa mula bertamu di dalam hatinya.

Dia risau kalau wanita itu ada hubungan istimewa dengan Iskandar. Dia risau kalau wanita itu adalah bekas kekasih Iskandar. Bertambah risau lagi kalau wanita itu adalah kekasih Iskandar. Rudiana semakin bercelaru. Kenapa perasaan yang tak pernah dia rasa ini tiba-tiba menghantui jiwanya? Membuatkan dadanya terasa senak dan sempit.

Apakah aku cemburu? Dia tertanya sendirian.

Ah! Mustahil. Aku dengan Encik Iskandar mana ada apa-apa. Aku pekerjanya. Dia pula majikan aku. Kenapa aku perlu cemburu? Aku kena sedar yang aku ni pipit, yang dia tu enggang. Pipit dengan enggang mana boleh terbang bersama. Pipit terbang laju dan tinggi. Sedangkan enggang? Hatinya berkata-kata cuba menidakkan perasaan yang semakin menyenakkan dadanya itu.

Semakin dia menidakkan, semakin sempit dadanya. Namun, satu lagi perasaan lain terus mengusir perasaan itu agar pergi jauh dan tidak terus bertamu di kalbunya. Perasaan itu adalah, egois!

Langkah terus disusun bersahaja bila egoisnya mula mengusai diri. Menidakkan perasaan sayangnya yang mula memutik. Sampai bila dia boleh bertahan? Apakah dia boleh terus bertahan bila melihat wanita itu bertandang ke Teratak Iskandar lagi selepas ini. Bagaimana jika dia sampai di rumah nanti dia telihat Iskandar sedang…

Senyuman bersahaja Rudiana kembali pudar. Perasaan yang menyenakan dadanya tadi kembali menguasai jiwanya. Langkah yang tiba-tiba laju tadi kembali lembab. Dia memang tidak pernah merasakan perasaan ini. Apakah dia sudah jatuh sayang pada Iskandar?

Tak boleh! Aku kena sedar diri aku siapa. Aku bukan citarasa Iskandar. Masakan Iskandar boleh jatuh cinta pada perempuan macam aku ni? Dahlah tak serupa perempuan. Gumam Rudiana. Egoisnya kembali menguasai jiwanya.

Ton!!!

Tiba-tiba kedengaran bunyi hon dari arah belakang.

“Woi!!! Buta ke? Kau jalan guna bontot ke hah?” maki penunggang motosikal itu tanpa berhenti.

Rudiana tersungkur di atas tar. Akibat terlalu jauh bermain dengan fikiran, dia hampir dilanggar oleh sebuah motosikal. Bukan salah penunggang motosikal itu. Tapi salah dirinya sendiri kerana berjalan tidak melihat kiri dan kanan. Tanpa sedar langkahnya terpesong ke bahu jalan.

“Woi! Aku jalan guna kakilah mangkuk!” jerit Rudiana membalas makian penunggang motosikal tadi. Kalaulah dia ada kudrat seperti Superman, sudah pasti penunggang motosikal tadi sudah dikejarnya. Sikunya terasa pedih. Bila dilihat sikunya, sudah menyenyeh lukanya dengan darah.

“Eh, awak tak apa-apa ke?” tiba-tiba mucul seorang lelaki yang entah jatuh dari planet mana entah sibuk merisaukannya.

Rudiana yang masih terduduk di atas tar mula bangun sambil dibantu oleh lelaki yang masih belum dipandang wajahnya itu. Bila pandangan mereka bertaut, buat seketika masing-masing tergamam. Mengecam wajah masing-masing.

“Eh, awak Rudiana, kan? Pengasuh anak-anak Iskandar?” tanya lelaki itu berkeyakinan sekali.

“Encik Nizam?” tanya Rudiana balik.

Lelaki itu hanya tersenyum.

***

LAMA Amanina memandang Iskandar di hadapannya. Terkilan hatinya bila melihat lelaki yang masih beraja di hatinya itu. Sampai begitu sekali bencinya lelaki itu padanya. Sehingga tidak mahu memandang lagi wajahnya.

Hati Iskandar sudah bengang. Kemunculan Amanina pagi ini benar-benar mengejutkan. Dia tidak menyangka yang wanita itu sudah berani mencarinya sehingga ke banglonya. Disebabkan desakan yang tidak putus-putus dari Amanina yang ingin bertemu dengannya. Mahu tidak mahu dia terpaksa akur untuk duduk semeja dengan wanita itu di restoran ini.

“Cakaplah apa yang kau nak cakapkan pada aku?” tanya Iskandar sinis sekali. Pandangannya langsung tidak berkalih melihat Amanina di hadapannya. Dia tahu, Amanina sedang cuba meraih cintanya semula. Dia tidak mahu melihat wajah sedih Amanina. Dia tidak mahu melihat air mata Amanina. Walaupun dia membenci wanita itu, namun dia tidak sanggup dia ingin melihat kesedihan wanita itu. Dia takut jika dia melihat wajah sedih Amanina hatinya bakalan terpujuk. Dia tidak akan sesekali membiarkan hal itu berlaku.

Amanina terus terguris bila Iskandar terus membahasakan dirinya ‘aku’. Tiada lagi kelembutan bicara dan kesopanan tutur kata. Begitu bencikah lelaki itu padanya? Walaupun jiwanya tergores, dia tetap kuatkan hatinya agar tidak kalah. Demi meraih cintanya dia sanggup mengabaikan keperitan itu. Hasilnya nanti pasti akan membahagiakan.

“Is… apa yang perlu saya buat untuk meraih kemaafan awak?” jawab Amanina dengan soalan. Sayu hatinya bila melihat Iskandar terus-terusan melarikan pandangannya. Sampai hati Iskandar tidak mahu memandang wajahnya lagi. Dia sudah menyesal kerana kebodohannya empat tahun lalu. Mengagungkan cinta yang tidak berbalas berbanding cinta yang sudah kukuh untuknya.

Iskandar tertawa sinis. Dia masih tidak mahu memandang wajah sedih Amanina. Dia perlu kuat. Dia tidak boleh kalah dengan pujukkan Amanina. Perbuatan Amanina tiga tahun lalu bukan sesuatu yang ringan padanya. Menghancurkan hatinya tanpa sebab. Meninggalkannya, begitu sahaja tanpa ada penjelasan. Mungkin jika tiga tahun lalu Amanina muncul memberi penjelasan untuk maraih cintanya semula dia boleh pertimbangkan. Namun tidak sekarang. Selepas hampir tiga tahun dia hidup bergelumang dengan kekecewaan baharu sekarang wanita itu mahu muncul memberi penjelasan?

“Saya tahu saya salah Is, saya terlalu…”

“Dahlah Nina,” tukas Iskandar. Dia tidak mahu mendengar apa-apa penjelasan lagi. “Benda dah lepas tak payah nak ungkit lagi. Aku dah terima perpisahan yang kau mintak. Apa lagi yang kau nak?” sambungnya lagi. Wajah Amanina dipandang bosan.

“Saya menyesal atas perpisahan tu. Saya mahu kita bercinta balik. Saya masih cintakan awak Is,” akhirnya dengan kekuatan yang semakin menebal, Amanina meluahkan juga apa yang dipendam sejak empat tahun ini.

Iskandar tertawa. Mengejek penjelasan Amanina itu. “Cintakan aku? Mungkin kalau kau cakap begitu empat tahun lalu, aku boleh pertimbangkan. Tapi sekarang…” tersekat di situ. Dia malas untuk mengungkit kisah lama. Dia malas untuk mengimbau kenangan pahitnya.

“Kenapa Is? Kenapa tidak boleh sekarang? Kalau awak kecewa, saya juga kecewa selama tiga tahun ni. Saya tersalah buat keputusan.”

“Kau kecewa? Kecewa kau dan kecewa aku berbeza Nina. Kecewa kena tinggal dengan kecewa meninggalkan, berbeza. Kecewa ditinggalkan lebih pedih. Kau yang meninggalkan aku pun ada rasa kecewa ke? Sedangkan perpisahan tu kau yang mintak. Kenapa perlu kau kecewa? Sepatutnya kau bahagia.” sindir Iskandar, mempertikai kata-kata Amanina itu dengan nada spara tinggi.

Amanina tersentak dengan sindiran itu. Matanya meliar ke sekelilingnya. Ada pelanggan lain memandang ke arahnya. Dia berasa malu. Namun, ditebalkan mukanya demi meraih cintanya semula. Demi cinta dia tidak kisah malu. Dia tertunduk. Dia tahu Iskandar kecewa. Semuanya memang salahnya. Dia akur dengan kenyataan itu. Tapi, tiada kemaafankah untuk dirinya?

“Saya tahu saya salah,” Amanina sudah merintih. Air matanya sudah mula menakung di kelopak matanya.

“Tapi, tiadakah kemaafan untuk saya Is?” air mata Amanina sudah menitis. Bukan lakonan, tetapi kenyataan. Dia benar-benar kecewa dengan dirinya yang terlalu ikutkan perasaan empat tahun lalu. Jatuh cinta pada lelaki lain sedangkan sudah memiliki kekasih hati. Dia sedar hatinya terlalu goyah. Dengan mudah jatuh cinta dengan lelaki yang terlalu mengambil berat terhadapnya. Bila menyedari cintanya bertepuk sebelah tangan, baharu dia ingin menyesali. Dia berharap dia masih belum terlambat.

“Aku dah lama maafkan kau. Selepas kita tamat belajar dulu aku dah maafkan kau dan aku selalu berdoa agar kau bertemu dengan kebahagiaan,” jawab Iskandar sedaya-upaya tidak mahu memandang ke arah Amanina. Dia tahu Amanina sedang menangis. Dia tidak boleh melihat tangisan Amanina.

“Jadi, kenapa awak macam benci saya? Pandang muka saya pun awak seolah tak sudi,” tanya Amanina dalam tangisannya. Sikap Iskandar yang bebicara dengannya tanpa mahu memandang wajahnya membuatkan jiwanya benar-benar terhiris pilu.

“Aku dah maafkan kau. Dahlah… aku malas nak bincang pasal benda ni. Tak ada apa-apa yang nak dimaafkan lagi. Kau teruskanlah dengan kehidupan kau dan aku dengan kehidupan aku. Aku tak boleh nak terima semuanya dengan mudah. Mungkin aku boleh terima kau, tapi hanya sebagai kenalan biasa. Tidak sesekali menjadi kenalan rapat atau teman tapi mesra,” jelas Iskandar panjang lebar. Dia malas untuk membincangkan isu ini lagi. Yang sudah lepas biarlah berlalu. Dia malas untuk mengimbau kembali.

“Kalau dah tak ada apa-apa aku mintak diri dulu. Aku dah lambat nak ke pejabat,” pamit Iskandar lalu mengangkat punggung.

“Ni mesti sebab pengasuh anak-anak awak yang macam lelaki tu , kan? Sebab tu awak susah nak terima saya balik,” sinis Amanina menyindir.

Iskandar yang baharu ingin mengangkat punggung tidak jadi berbuat demikian. Punggung dihenyak semula di atas kerusi. Hatinya tiba-tiba terbakar bila isu Rudiana dibangkitkan. Apa yang Amanina tahu pasal Rudiana? Rasanya wanita itu tidak tahu apa-apa.

“Hal ni tak ada kaitan dengan Rudiana!” tegas Iskandar mengingatkan.

Amanina tertawa sinis sambil menyeka sisa air matanya dengan hujung jari. “Oh, jadi budak perempuan tu nama dia Rudiana? Kenapa tiba-tiba naik angin bila saya kata pasal budak perempuan yang macam lelaki tu?” Amanina menguji perasaan Iskandar.

“Eh, kau dengar sini ya,” tajam Iskandar merenung wajah Amanina. “Hal antara aku dengan kau, tak ada kaitan dengan sesiapa,” sambungnya lagi.

Amanina mencarik lagi senyuman sinisnya. “Awak dah jatuh cinta pada dia kan?” Amanina terus menguji perasaan Iskandar. Menguji dengan menyemarakan lagi amarahnya. Dia ingin Iskandar mengaku.

Iskandar tergelak seinis. Dia mula bosan. “Aku nak jatuh cinta dengan sesiapa pun, itu hak aku. Tak ada kaitan dengan kau. Antara kita dah tak ada apa-apa. Jadi jangan masuk campur dalam urusan hidup aku!” Iskandar memberi amaran kerras sambil menala jari telunjuknya tepat ke arah muka Amanina. Bila Amanina sudah berani menujukan sikap cemburunya sehingga melibatkan orang lain, semakin menebal perasaan bencinya pada wanita itu.

Dengan perasaan bengang dan marah, Iskandar terus berlalu meninggalkan Amanina sendiri di situ.

Dada Amanina sudah senak menahan gelombang amarah. Kerana perempuan yang bernama Rudiana itu, Iskandar sudah bersikap kasar padanya. Ini kali pertama Iskandar memarahinya sebengis itu.

Tak apa, kau maki aku sekarang. Aku akan terus meraih cinta kau Iskandar. Dengan cara yang paling halus sekali. Desis di hati Amanina. Dalam diam dia menyimpan dendam.

← NEWER
OLDER →