When I Miss You...

Layout by : Yeza리키
Background : xoxoxo
Best view by Google Chrome.

BAB 5 dan 6
Selasa, 7 Jun 2011 | 0 comments

BAB 5

BERUS pemerah pipi dilayang mengikut bentuk tulang pipinya. Sapuan rata agar nampak berseri. Selesai sahaja, wajah itu diamati seketika. Terselah keayuannya. Terselah kejelitaan semula jadinya. Rambut disikat kemas. Nak buat sanggul tak cukup panjang. Jadi, buat sahajalah apa yang jadi.

“Ya Allah Diana, cantiknya kau. First time aku mekapkan kau. Terus jelita. Lepas ni bolehlah aku buat part time mekap pengantin. Kelas you all,” puji Rosalinda sambil tersenyum terkesima melihat keindahan ciptaan Tuhan di hadapan matanya ketika ini.

Ini kali pertama Rudiana memakai mekap. Ini kali pertama dia menempek bedak asas, pembayang mata, celak, gincu, bulu mata palsu, lips gloss dan pemerah pipi pada wajah Rudiana. Sungguh lain wajah Rudiana selepas mekap. Baharu terselah kewanitaannya.

Rudiana tidak memberi sebarang riaksi.

“Diana, Diana!” Rosalinda menepuk bahu Rudiana bila kawan baiknya itu terus lentok di sofa.

Rudiana terkejut. Belum sempat tangannya ingin menenyeh kelopak matanya, lekas ditegah oleh Rosalinda.

“Jangan! Sememeh eye shadow nanti. Silap-silap boleh tercabut bulu mata. Kau tidur?” tanya Rosalinda terekejut. Punyalah bertungkus-lumus dia menempek segala alat mekap di muka Rudiana, boleh pula gadis itu tidur?

Rudiana cuba membuka kelopak matanya. Tapi terasa janggal. Terasa seolah ada berketul-ketul batu pada kelopak matanya. “Apa hal aku rasa berat gila kelopak mata aku ni? Kenapa? Kenapa? Kenapa?” Rudiana mula cemas. Cepat sahaja tangannya ingin menenyeh kelopak matanya. Tidak selesa.

“Janganlah pegang kelopak mata kau tu. Penat aku pasang bulu mata palsu tu tau? Dua lapis aku letak,” jawab Rosalinda sambil menahan tangan Rudiana yang tidak mahu duduk diam.

“Apa? Bulu mata palsu? Kau di gila ke apa? Kau tahu tak? Aku rasa dah macam ada pinggan melekat kat muka tahu? Apa kau tempek kat muka aku ni? Rimas gila,” rungut Rudiana sudah gatal tangan untuk memegang kulit mukanya.

“Mestilah aku tempek mekap. Tak kan aku tempek tahi lembu kering pulak? Kau ni banyak songelah. Kau nak bernikah hari ni. Kenalah mekap cantik-cantik. Berdandan!”

Rudiana sudah menegakkan tubuhnya. Sudahlah semalam, satu hari suntuk dia menemani Rosalinda membeli pakaian. Habis satu City Square diterjahnya semata-mata ingin mencari kebaya moden dari kain lase. Ingatkan Rosalinda membeli untuk dirinya sendiri, tidak sangka baju itu untuknya. Dan diketika ini baju yang hampir mencecah RM 500 itu sudah tersarung di tubuhnya.

“Masalahnya aku bernikah pun kat pejabat agama, bukan kat masjid dan diraikan dalam majlis besar-besaran. Barang hantaran pun tak ada. Tak perlulah nak over! Lagi pun, pernikahan ini hanya untuk mendapatkan sijil dan kad nikah aje. Untuk mengelak aku dan bos kesayangan kau tu kena tangkap khalwat bila kami dah duduk serumah nanti. Bukan kerana suka sama suka pun,” balas Rudiana tidak setuju dengan kata-kata Rosalinda itu.

“Ni ha, baju yang aku pakai ni. Kau tak rasa over sangat ke? Entah-entah Encik Iskandar datang nanti pun cuma pakai kemeja dengan jean aje. Kalau dia tengok aku siap berdandan ni, mesti dia fikir aku memang betul-betul suka nak nikah dengan dia,” sambung Rudiana lagi. Dia merasakan tindakkan Rosalinda yang membelikan kebaya moden dan mendandannya satu tindakkan berlebihan. Pernikahan ini hanya untuk menyukupkan syarat perjanjinya untuk bekerja sebagai pengasuh anak-anak Iskandar. Bukannya bernikah kerana rasa cinta yang membuak-buak.

Rosalinda tersentap dengan kata-kata Rudiana itu. Senyumannya pudar tiba-tiba. Tangannya yang tadi laju membuat sentuhan terakhir pada wajah Rudiana terhenti seketika. Dia mengeluh halus. Berus pemerah pipi diletakkan di atas meja. Dia tertunduk. Ada sesuatu yang telah mengulit hatinya. Perasaan itu adalah sedih.

Rudiana terkejut melihat keadaan Rosalinda yang tiba-tiba berubah emosi. Amarahnya mereda secara mendadak. Alamak! Aku dah salah cakap ke? Wajah Rosalinda di pandang lama. Dalam beberapa saat kemudian setitik air jernih menitis membasahi pipi Rosalinda.

“Linda, kau kenapa? Tiba-tiba menangis ni? Aku ada salah cakap ke? Aku marah kau over sangat ke? Biasanya aku marah kau macam ni pun, kau tak akan nangis. Ala… maafkan aku Linda,” tanya Rudiana cemas dan mula serba salah.

Rosalinda lekas menyeka air matanya. Entahlah, dia sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba hatinya sayu. Sedih. Pilu. Namun, rasa terharunya tetap bersatu. Tiada jawapan yang diberikan.

“Linda, kenapa ni?” Rudiana semakin serba salah. Bahu kawan baik seumur hidupnya itu dipegang. “Kau ada masalah ke?” lanjutnya.

Rosalinda semakain tidak tertahan. Air matanya terus berderai. Dengan pantas dia memeluk tubuh Rudiana. Rudiana terpaku seketika. Kenapa kawan baiknya itu tiba-tiba menangis persis anak kecil?

“Maafkan aku Diana, kalau tindakkan aku mekapkan kau dan belikan kau baju ni berlebihan. Aku hanya mahu buat yang terbaik untuk akad nikah kau ni. Walau pun akad nikah kau ni hanya untuk cukupkan syarat perjanjian tu, tapi aku harap kau tak akan menolak pemberian aku ni. Hanya ini sahaja hadiah yang mampu aku berikan pada kau sempena hari pernikahan kau. Aku tak mampu nak beri lebih. Walau pun kau tak inginkan pernikahan ini, tapi aku cuma nak kau nampak cantik pada hari penikahan pertama kau ni. Maafkan aku kalau apa yang aku buat ni membuatkan kau rimas dan tak suka,” luah Rosalinda dengan esak tangis yang bersedu sedan di dalam pelukkan Rudiana.

Rudiana yang mendengar luahan itu turut tersayat hatinya. Tersentuh hatinya. Begitu sekali rasa sayang Rosalinda terhadapnya. Sanggup mengorbankan RM 500 ringit hanya untuk majlis pernikahanya yang sememangnya tidak pernah diharapkan dan diimpikan. Rasa serba salahnya semakin menghambat jiwa.

“Maafkan aku Linda. Maafkan aku. Sepatutnya aku berterima kasih pada kau. Bukan terus mempertikai dan memarahi kau. Maafkan aku,” pohon Rudiana kesal. Air mata mula menakung pada kelopak matanya.

Buat seketika mereka berdua berpelukkan. Seminit kemudian, dengan pantas Rosalinda meleraikan pelukan. Rudiana terkejut.

“Kenapa?” tanya Rudiana hairan.

Lekas Rosalinda mencarik tisu di atas meja kopi. “Kau diam, jangan bergerak,” arah Rosalinda.

Rudiana kaku. Membatu nengikut arahan Rosalinda. Apa hal pulak minah ni? Kejap emosi tahap tak ingat. Tiba-tiba jadi aksi mak tiri pulak? Sewel (tidak waras) ke apa minah ni?

Dengan perlahan Rosalinda mengelap air mata Rudiana yang belum sempat menitis membasahi pipi. “Nasib baik tak menitis lagi. Kalau tidak, sememeh maskara yang aku pakaikan tadi. Letih aku nak adjust balik,” keluh Rosalinda lega.

Rudiana menjeling siling. “Kau ni, buat aku cuak aje, aku ingatkan apalah tadi,” keluh Rudiana turut lega. Ingatkan ada sesuatu yang serius berlaku. Rosalinda… Rosalinda… macam-macamlah kau ni.

“Eh,dah pukul dua dah. Akad nikah tu pukul tiga, kan? Lambat, marah pulak tok kadi kat pejabat agama tu.” Dengan pantas Rosalinda mencapai selendang putih yang tersidai di sofa kemudian dia memakaikan selendang itu di kepala Rudiana.

Rudiana pasrah membiarkan Rosalinda merias tubuhnya. Lagi pun, dia mana tahu hal-hal begini. Lips liner pun di sangka pensel warana. Apa kes?

Siap memakaikan selendang pada Rudiana, Rosalinda berlari pula menuju ke rak kasut. Dicapai salah satu kasut tumit tinggi kegemarannya lalu dibawa kepada Rudiana. “Pakai kasut ni?” pinta Rosalinda sambil menghulur kasut tumit tinggi di tangannya kepada Rudiana?

“Hah? Kau nak suruh aku pakai high heel ni ke?” tanya Rudiana terkejut.

Dengan sengihan meleret, Rosalinda angguk laju.

***

DIA ke hulu ke hilir sedari tadi. Jam di tangan sudah berginjak ke pukul 3.05 petang. Kelibat Rudiana dan Rosalinda tidak muncul-muncul lagi. Waktu dijanjikan adalah pukul tiga petang. Dua gadis itu sudah lambat lima minit. Dia paling benci ada orang yang tidak menapti masa.

“Sabarlah Is, apa hal menggelabah sangat ni?” tanya Fauzan sambil membetul-betulkan songkok di atas kepalanya. Dia hanya bekemeja dan berseluar slek. Baju dan seluar yang dipakai ke pejabat pagi tadi. Tidak sempat mahu pulang ke rumah untuk menukar baju lain. Begitu juga dengan Iskandar, memakai baju ke pejabat pagi tadi. Tidak sempat untuk menukar baju lain.

“Kau tahu tak? Akad nikah ni pukul tiga setegah. Sekarang dah nak dekat tiga suku dia orang tak sampai lagi. Aku takut pernikahan ini akan ditangguhkan,” jawab Iskandar kegelisahan.

Fauzan tertawa kecil. “Amboi… macam dah tak sabar-sabar aje nak menikah?” usik Fauzan.

Iskandar hanya menjeling tajam. Malas mahu melayan usikan Fauzan itu. Semakin melalut pula nanti.

Diam seketika. Iskandar kelihatan gelisah seolah seorang suami sedang menanti isterinya di dalam bilik bersalin. Fauzan pula kelihatan tenang. Sudah pasti dia kelihatan tenang sebab yang akan berhadapan dengan tok kadi nanti bukan dia, tetapi Iskandar.

“Kau takut nak jumpa tok kadi? Ini bukan kali pertama, kan?” tanya Fauzan sekadar ingin memecah kesunyian agar tidak terlalu sunyap. Lagi pun dengan bercakap boleh kurangkan rasa cemas Iskandar ketika ini.

“Aku bukan cemas sebab nak akad nikah kejap lagi. Aku cuma risau mereka berdua tu lambat. Kalau mereka berdua tu lambat, akan merosakkan akad nikah ni. Aku nak benda ni settle cepat. Aku dah letih nak kena ulang-alik ke rumah pengasuh setiap hari. Nak kena cari rumah pengasuh lain tiga hari sekali. Semua rumah pengasuh yang aku hantar budak-budak tu, semua tak sanggup nak jaga budak-budak tu selepas dua hari. Aku dah tak larat. Dengan kerja melambak-lambak kat ofis.”

Fauzan angguk akur selepas mendengar penjelasan kawan baiknya itu.

Diam lagi. Iskandar terus mundar-mandir kegelisahan. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 3.20 petang. Rosalinda dan Rudiana masih tidak muncul-muncul lagi.

“Is, kau yakin ke nak teruskan benda ni?” tanya Fauzan menukar topik perbualan.

Iskandar berhenti dari terus mundar-mandir di hadapan pejabat itu. Orang yang lalu-lalang di situ langsung tidak diendahkan. Dia memandang Fauzan buat seketika. Pertanyaan Fauzan itu membuatkan dia terfikir. Adakah dia sedar apa yang sedang dilakukannya ketika ini?

“Aku yakinlah…” jawab Iskandar was-was.

Fauzan mengeluh halus. Dia tahu kawan baiknya itu tidak yakin dengan jawapannya. Dia masih sangsi, mengapa perlu Iskandar mencipta rancangan sebegini.

“Kau kan boleh upah budak tu secara harian. Datang pagi balik petang. Dia berkerja semasa kau berkerja. Bila kau balik kerja, dia baliklah rumah dia,” Fauzan meluahkan cadangannya.

Iskandar mengeluh. “Bukannya aku tak terfikir cara tu Zan. Aku dah serik dengan cara tu. Aku dah banyak kali kena tipu dengan ramai pengasuh budak. Masa nak mula kerja, berjanji setia akan berkerja lama. Bila tak tahan, esoknya terus tak datang tanpa bagi tahu aku. Wal hal gaji pertama dah bagi. Aku dah serik Zan. Sebab tu aku buat semua ni. Biar budak baharu tu tak boleh lari sesuka hati dia. Aku dah letih untuk mencari,” Iskandar perjelaskan apa yang tersirat di sebalik rancangannya yang sebenar. Akibat serik ditipu, terciptalan perjanjian ini. Sangkanya Fauzan dapat menangkap maksud sebenarnya sebelum ini. Ternyata sangkaannya meleset.

Fauzan angguk akur. Baharu hari ini dia jelas sejelas-jelasnya mengenai rancangan Iskandar ini. Semuanya disebabkan serik dan fobia ditipu.

***

“LINDA! Jalan tu janganlah mencanak-canak. Kaki aku sakit ni,” rungut Rudiana sambil melangkah sumbang. Sungguh seksa melangkah menggunakan kasut tumit tinggi. Kalau sudah terbiasa tidak mengapa. Ini baharu kali pertama dia memakai kasut tumit tinggi. Perit beb!

Rosalinda yang sudah dua meter di hadapan menoleh. “Kau tahu tak kita dah lambat. Janji pukul tiga. Sekarang ni dah pukul 3.25. Matilah aku kena maki dengan bos aku nanti,” bidas Rosalinda sambil menunjukkan jam tangannya pada Rudiana.

“Alah, bukan salah kita. Cakaplah jalan jammed,” balas Rudiana.

Rosalinda merenung sinis pada Rudiana sambil mengecilkan kelopak matanya. “Banyaklah jalan jammed. Kalau tak kerana kelalaian kau, tertinggal sijil kursus kahwin kau tadi. Kita tak akan lambat tau? Dah lebih separuh jalan baru sibuk nak periksa sijil tu ada ke tak dalam beg. Tak pasal-pasal terpaksa U-turn balik,” maki Rosalinda semahunya.

Jika tidak disebabkan kelalaian Rudiana yang tidak memeriksa awal-awal dokumen penting yang perlu di bawa tadi, sudah pasti sejak pukul 2.50 petang tadi mereka sudah sampai. Mereka terpaksa berpatah balik ke rumah sewa mereka semata-mata untuk mengambil dokumen itu. Sebab itu mereka lambat.

“Ala… bukan salah aku. Manalah aku tahu nikah ni kena bawak sijil kursus kahwin. Bukannya aku dah banyak kali nikah pun. Ini pertama kali tau?” ada sahaja jawapan Rudiana.

Rosalinda merengus kasar. Tidak tahu ingin berkata apa lagi.

“Dah! Jangan nak banyak cakap. Jom cepat!” Rosalinda menarik tangan Rudiana.

Kasihan Rudiana terpaksa mengikut gerak langkah Rosalinda yang laju itu. Kain dicincing sehingga ke paras buku lali. Seksa sungguh berjalan pakai kain potongan ala-ala ikan duyung ini. Sempit di betis. Menderita sungguh!

Sampai sahaja di dalam pejabat agama itu, dari juah sudah kelihatan Iskandar dan Fauzan di luar pintu pejabat. Ketuanya itu kelihatan gelisah tidak tentu arah. Dengan pantas lengan Rudiana terus ditarik. Habis senget-benget selendeng di kepalanya akibat langkah yang bersipang siuh.

“Maaf bos, kami lambat!” pohon Rosalinda dalam mengah. Rudiana juga turut mengah. Seolah baharu selesai maraton.

“Huh sampai pun, apa hal lam…” Iskandar tekesima. Kata-katanya tersekat di situ. Tertegun melihat gadis yang sedang bersungut di sebelah Rosalinda. Siapakah gadis itu???

“Mana Rudiana?” tanya Fauzan bila melihat kelibat Rudiana tiada bersama Rosalinda. Yang ada hanyalah seorang gadis ayu berselendang yang sangat jelita.

Rudiana sudah menyembunyikan tubuhnya di belakang Rosalinda bila melihat Iskandar tidak berkerdip mata melihatnya. Apa hal mamat ni tengok aku macam tu sekali.

“Mana Rudiana? Inilah Rudiana. Takkan tak kenal kut?” jawab Rosalinda sambil menarik tubuh Rosalinda agar berdiri di sebelahnya.

Rudiana menundukkan wajahnya. Malu dengan pakaiannya sendiri. Malu dengan mekap di mukanya. Entahkan cantik entahkan tidak mukanya dimekap. Selesai Rosalinda memakapkan wajahnya, dia tidak sempat ingin melihat wajahnya di cermin. Dia malu dengan dua lelaki di hadapannya itu. Dua lelaki itu mengenalinya dengan imej kasarnya. Tapi hari ini, dia muncul dengan imej seorang wanita. Malu gila!!! Jeritnya di dalam hati.

Fauzan juga seperti Iskandar yang sudah menjadi patung Cendana sedari tadi. Tidak berkelip matanya memandang Rudiana yang persis Barbie berbaju kebaya dan berselendang. Dia tahu Rudiana cantik. Cuma gadis itu tidak pernah menyerlahkan kecantikkannya. Menyembunyikan kecantikannya di sebalik imej kasarnya. Sekali mekap, dah macam patung beb!

“Ehem… ehem…” Rosalinda berdehem bila dua lelaki itu terlalu asyik menikmati keindahkan ciptaan Tuhan.

Iskandar tersentak. Lekas dia melarikan pandangan matanya. Terlalu jauh dia menghayati keindahan itu.

“Bos, bukan ke kita dah lambat?” tanya Rosalinda.

“Dah, jom masuk!” suruh Iskandar menahan malu. Dia memberi laluan kepada Rosalinda dan Rudiana masuk terlebih dahulu untuk sesi pihak perempuan bertemu tok kadi.

“Cantik sungguh Rudiana bila jadi perempuan. Untung kau dapat bini secantik dia,” bisik Fauzan pada Iskandar.

Iskandar menyiku perut Fauzan. Merengek kesakitan Fauzan dibuatnya.

“Jangan nak mengarut boleh tak? Pernikahan ini hanya untuk cukupkan syarat perjanjian tu aje. Dalam perjanjian, hubungan kami hanya sebagai majikan dan perkerja walaupun kami berstatus suami isteri. Kau pun dah tahu kan, kenapa hal ni berlaku?” jawab Iskandar.

“Okey aku tahu. Tapi, kalau kau tak nak bagi kat aku ya?” seloroh Fauzan sambil tergelak-gelak.

Iskandar menjeling tajam. Malas untuk meneruskan usikan itu. Fauzan melangkah masuk ke dalam pejabat. Iskandar diam seketika. Otaknya lingat memikirkan sesuatau. Isy… tak mungkinlah. Dia menidakkan satu perasaan yang mula mencuit di hatinya. Mustahil!

***

“AKU terima nikah Rudiana Aqila binti Suffian dengan mas kahwinnya seperti yang disebut,” ucap Iskandar dalam satu lafaz sebelum menghayun tangan. Tiga orang saksi termasuk Fauzan angguk sambil memandang antara satu sama lain. Menandakan masing-masing mendengar lafaz nikah itu dengan jelas. Dalam sekali lafaz, Rudiana kini sah menjadi isteri kenapa Iskandar Adam bin Alias.

Selepas masing-masing yakin, tok kadi terus mengangkat tangan lalu doa kesyukuran dibaca atas penyatuan dua insan. Satu lagi masjid telah dibina hari ini dalam suasana yang sangat ringkas. Selesai berdoa, tok kadi mula memberi sedikit peringatan tentang perkahwinan kepada kedua pasangan yang baharu dinikahkan dihadapannya itu tentang kewajiban suami dan isteri.



Kewajipan Suami

• Menjadi ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak.

• Wajib menyediakan rumah kediaman, pakaian dan makan minum keluarga. Dia wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama. Kalau tidak mampu mengajar sendiri dia wajib menanggung biayanya.

• Pentadbiran suami di dalam rumahtangga hendaklah berdasarkan rahmah (kasihan belas) berakhlak dan contoh yang baik.

• Suami hendaklah mengasuh isteri dengan baik.



Kewajipan Isteri

• Bergaul dengan suami secara baik. Mengendalikan kerja-kerja rumah.

• Berhias untuk suami


• Pujuk memujuk adalah penting dalam kehidupan rumahtangga. Ibn al-Aswad AI-Dualy berkata kepada isterinya:



'Apabila kamu melihat aku marah, tenangkanlah aku. Apabila aku melihat kamu marah, aku pula menenangkan kamu. Jika tidak janganlah kita bersama-sama. '



• Isteri hendaklah taat kepada suami.

• Wanita hendaklah sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama suami.



Rudiana menahan nguap. Kebanyakkan apa yang diberitahu oleh tok kadi sudah diperjelasan dengan lebih terperinci semasa dia dan Iskandar menjalani kursus kahwin sebelum ini. Nak tak nak dia kenalah tadah telinga. Selesai sahaja tok kadi memberi ceramah, automatik mata Rudiana menjadi segar bugar. Rosalinda yang perasan dengan tingkah laku Rudiana itu hanya menggeleng perlahan. Malas dah nak tegur. Diana.. Diana…

Tiba-tiba suasana jadi kaku. Masing-masing saling berpandangan. Tok kadi di hadapan mereka seolah ternanti-nanti sesuatu. Apa tunggu lagi ni? Dah tak nak balik ke semua orang? Nak kena duduk sini sampai bila? Ada kuthbah lagi ke? Rudiana tertanya-tanya di dalam hati.

Iskandar tersentak. Lupakan sesuatu. Lekas isi poket seluarnya dikorek. Sebuah kotak kristal berbentuk hati dikeluarkan. Dengan gementar yang melanda jiwa bila semua mata yang ada di pejabat itu memandang ke arahnya dia mengeluarkan isi kotak kristal itu. Sebentuk cincin emas putih bertakhtakan sebutir berlian. Cantik sekali. Rosalinda di sebelah Rudiana sudah terlopong. Makan hati!

Dengan teragak-agak tangan kiri Rudiana dicapai. Dia berharap cincin di tangannya itu muat dengan jari manis Rudiana. Ini kerana cincin itu dibeli di saat-saat akhir. Itu pun selepas Fauzan ingatkanya. Jika tidak, nikah tak bercincinlah dia dan Rudiana. Cincin disarung perlahan. Syukur, alhamdulillah, nasib baik muat. Iskandar mengeluh lega.

Bila pulak mamat ni beli cincin ni? Muat-muat pulak tu dengan jari aku. Detik di dalam hati Rudiana.

Iskandar menghulurkan tangan. Matanya lama memandang Rudiana yang sungguh jelita hari ini. Dia tidak menyangka Rudiana akan berhias secantik ini untuk akad nikah yang serba ringkas ini. Berias seolah ingin bernikah dalam satu majlis yang besar.

Rudiana kekok. Dengan teragak-agak, Rudiana menyambut salaman itu. Semua yang ada di situ memandang ke arahnya. Dia hanya melemparkan senyuman biasa.

“Woi, ciumlah tangan laki kau tu?” bisik Rosalinda.

“Apa?” Rudiana terkejut. Aku nak kena cium tangan lelaki ni? Apa hal pulak? Aduh… nak kena cium ke? Sempat lagi Rudiana berkira-kira sedangkan semua yang ada di situ sedang menanti perbuatannya.

“Ciumlah mangkuk,” bisik Rosalinda lagi sambil mengarangkan roman wajahnya.

Dengan terpaksa Rudiana menundukkan kepalanya lalu tangan Iskandar di kucup. Kenapa perkara ini mesti belaku pada aku?!!! Jertitnya di dalam hati. Benci!!!

Entah mengapa, jiwa Iskandar terasa sejuk, seolah bahagia dengan kucupan Rudiana itu. Semasa pernikahan pertamanya dulu dia tidak sempat merasai situasi ini. Semuanya sudah hancur lebur sebelum aianya berlaku. Tapi kali ini perasaan itu baharu menyapanya. Sungguh indahnya.

Rudiana sudah menegakkan tubuhnya. Wajahnya ketat memandang Iskandar dihadapannya yang sedang tersengih mengoda. Apa hal mamat ni tengok aku lain macam ni? Jangan buat hal.. kang aku lutut celah kelangkang kau lagi kang.

Seolah dipikau, Iskandar menghampirkan wajahnya ke wajah Rudiana untuk mengucup dahi Rudiana. Melengkapkan sesi pembatalan air sembahyang itu. Namun, belum sempat bibirnya mencecah dahi Rudiana, tiba-tiba,

Kedebuk! Rudiana pengsan!


BAB 6

HAREZ menghenyak punggung di atas sofa dengan muncung empat inci. Hari ini papanya akan membawa pulang pengasuh baru. Semenjak dia dan kakaknya mendiami banglo ini, hidupnya terlalu sunyi. Balik-balik mengadap muka kakaknya dan pengasuh mereka yang sering bertukar ganti.

“Kenapa ni adik? Muka monyok aje?” tanya Maisarah sambil melabuhkan punggung di sebelah satu-satunya adik yang dia ada di dalam dunia ini. Bahu adiknya dirangkul. Walaupun usianya baharu mencecah enam tahun, disebab hidupnya sebelum ini terlalu kekang dengan kasih mama dan ayahnya menyebabkan fikirannya lebih dewasa dari yang sepatutnya.

Sejak dilahirnya, hidup mereka tidak pernah mengenal erti kasih sayang seorang ibu. Dalam usia yang muda, mama dan ayah mereka sudah bercerai. Bercerai akibat kecurangan mama. Mereka dibesarkan oleh ayah. Namun, Allah lebih sayangkan ayah yang terlalu banyak berkorban untuk mereka. Setahun yang lalu, ayah meninggal dunia akibat radang paru-paru.

Enam bulan hidup bersama mama yang tidak pernah membesarkannya sungguh menderita. Mama berkerja sebagai penari di kelab malam. Setiap hari akan pulang bersama lelaki yang berbeza-beza. Sehinggalah mama bertemu dengan papa mereka sekarang, barulah mama jarang bersama lelaki-lelaki lain selain papa. Itu pun hanya untuk tiga bulan sahaja. Selepas mama bernikah dengan papa, mama terus menghilangkan diri sehingga ke hari ini. Ke mana mama pergi, tiada siapa yang tahu termasuklah papa.

Walaupun mereka sudah mengenali ibu kandung mereka, kehilangan mama enam bulan yang lalu langsung tidak membuat hati mereka dua beradik terasa kehilangan. Mungkin hidup mereka yang dibersarkan oleh ayah menyebabkan hubungannya dengan mama mereka tidak pernah rapat walaupun hampir enam bulan hidup bersama mama. Mujurlah papa sudi menjaga mereka. Jika tidak, apalah nasib dua anak kecil yang malang ini.

“Harez rindukan ayah,” Harez sudah menangis. Walaupun baharu berusia empat tahun, kehilangan ayah tercinta yang telah menjaganya sejak dia dilahirnya amat ditangisi. Kehilangan ayah benar-benar dirasai.

Maisarah memeluk tubuh adiknya yang sudah menangis bersedu-sedan. Kepala Harez ditekap di dadanya. Jelas ciri-ciri seorang kakak yang bertanggungjawab dalam dirinya. Akan melindungi adiknya dari sebarang bahaya. Akan menenangkan kesedihan adiknya walaupun diri sendiri turut bersedih dan kecewa. Disebabkan mama yang tidak pernah mengambil peduli tentang hidup mereka menyebabkan rasa rindu pada mama mereka tidak pernah wujud.

“Sabarlah dik, kakak pun rindukan ayah. Tapi… ayah dah tak ada. Ayah dah pergi jauh,” pujuk Maisarah sambil mengusap lembut belakang kepala adiknya. Air matanya turut menitik membasahi pipinya yang masih bersih. Bila Harez menyebut ayah, pasti kerinduannya pada lelaki yang telah bertungkus-lumus membesarkan mereka itu mengamit hati kecilnya. Pengorbanan ayah terlalu tinggi. Sanggup berkerja siang dan malam demi membesarkan mereka.

Walaupun mereka hidup miskin bersama ayahnya dahulu, namun kebahagiaan tidak pernah lekang dari hidup mereka. Hidup menumpang di tanah orang sungguh menderitakan. Ayah berkerja sebagai pemandu teksi. Pendapatan tidak menentu. Ayahnya sanggup mengikat perut semata-mata ingin melihat mereka berdua kenyang. Pengorbanan ayah tidak akan sesekali mereka lupakan sehingga ke akhir hayat.

“Kakak, ayah pergi mana? Kenapa ayah tak datang sini ambik kita? Ayah dah tak sayang kita lagi ke?” tanya Harez bertalu-talu. Air matanya sudah melencunkan pipi kecilnya. Apalah kanak-kanak berusia empat tahu itu tahu. Mindanya masih terlalu muda. Fikirannya masih mentah. Masih belum boleh terima sepenuhnya akan kepergian ayah mereka.

“Bukan ayah tak sayang kita dik. Ayah sayang kat kita. Tapi Tuhan lebih sayangkan ayah. Ayah ada bersama Tuhan sekarang ni,” pujuk Maisarah melalui kaca mindanya. Maisarah hanya seorang kanak-kanak perempuan yang berusia enam tahun. Mindanya juga belum bisa memikirkan sesuatu yang lebih dari jangkauan fikiran orang dewasa. Namun, hidup berdikari yang selalu diterapkan oleh ayahnya dulu membuatkan dia lebih kelihatan dewasa.

“Harez nak ikut papa jumpa Tuhan. Harez nak ikut ayah!” raung Harez dalam pelukkan kakaknya.

Air mata Maisarah sudah menitik deras. Tersayat mendengar permintaan adiknya itu. Nescaya dia juga merindukan ayah. Dia lebih suka hidup bersusah-susah bersama ayah. Hidup bersama ayah tidak pernah kekang dengan rasa bahagia. Enam bulan hidup bersama mama, sedikit pun tidak pernah rasa gembira. Mereka ditinggalkan-tingglan terus. Siang mama tidur, malam mama keluar. Awal subuh baharu pulang dengan keletihan. Kehidupan sebegitu sudah cukup menderitakan.

Kini, mereka terperangkap pada situasi yang sama cuma dalam suasana yang berbeza. Jika sebelum ini mereka hidup bersama mama, kekayaan itu tidak pernah ada. Kini, mereka berdua hidup di dalam sebuah banglo mewah. Keperluan cukup serba-serbi. Namun, kebahagiaan yang diharapkan tidak penah tercurah.

Hidup di sini bagai hidup di dalam sangkar emas, namun tiada pun secalit kasih sayang yang mereka terima. Papa memang berada. Namun, bukan itu yang mereka inginkan. Mereka ingin secebis kasih sayang disirami sedikit titikan perihatin dari papa mereka. Bukannya terus disirami emas sedangkan jiwa mereka kosong. Kasih sayang dari pengasuh tidak pernah ikhlas. Sebab itu mereka sering memperdajal pengasuh mereka supaya papa mereka perihatinkan hal mereka.

Mereka sedar mereka hanya menumpang di banglo ini. Walaupun usia mereka masih mentah, namun mereka sudah bisa menimbang apa yang berlaku. Selama enam bulan mendiami rumah ini, hidup mereka tidak pernah berasa kekurangan. Namun, selama itu juga mereka tidak pernah merasa walaupun setitik kasih dan sayang dari papa mereka. Mungkin akibat perbuatan mama yang menghilangkan diri selepas majlis pernikahnnya menyebabkan mereka yang terpaksa menanggung kesannya.

Bunyi ngauman injin kereta memasuki perkarangan rumah menyentak lamunan masing-masing. Lekas Maisarah memandang keluar rumah. Kelihatan kereta papa sedang menyusur masuk ke dalam anjung.

“Dik, papa balik. Dah jangan nangis lagi. Nanti papa fikir yang bukan-bukan pulak. Nak papa marah ke?” pujuk Maisarah sambil mengelap air mata adiknya sehingga kering dengan bajunya.

Harez akur. Membiarkan kakaknya mengelap air matanya. Sikap protes perlu ditonjolkan ketika ini.

***

MATANYA meliar ke segenap kawasan luar banglo mewah itu. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki di kawasan perumahan elit ini. Tertelan liurnya berulang kali. Hui… besarnya banglo ni. Ini ke banglo yang bakal menjadi tempat tinggal aku. Gempak seh!

Rudiana melangkah keluar dari kereta. Mata masih meliar ke sana sini. Melihat keadaan luar banglo yang tersusun rapi. Ada sebuah taman kecil di sudut kanan banglo itu. Sah-sah Iskandar seorang pengurus syarikat pengurusan projek landskap. Peliklah kalau rumahnya ringkas tanpa ada landskap yang menarik.

“Besarnya banglo ni Encik Iskandar. First time saya menjejakkan kaki ke banglo semewah ini,” puji Rudiana teruja sekali.

Iskandar melangkah keluar dari kereta. Cermin mata hitamnya dibuka lalu dia mengeleng perlahan. Jakunnya budak ni. Desis di dalam hatinya. Dia melangkah ke belakang kereta. Bonet kereta dibuka. Beg pakaian dan bagasi Rudiana dikeluarkan.

“Eh Encik Iskandar. Tak apa, biar saya yang buat sendiri,” tegah Rudiana lalu berlari anak mendapatkan beg pakaian dan bagasinya yang sudah berada di luar kereta.

“Awak larat ke? Berat ni. Awak bawak apa ni? Bawa batu ke?” tanya Iskandar kehairanan.

Rudiana tersengih. Serba salah pula membiarkan majikannya mengangkat begnya tadi.

“Biasalah perempuan, mestilah banyak barang,” jawab Rudiana sambil buat muka selamba. Topi di kepala dibetul-betulkan.

Iskandar menjeling ke langit. Malas mahu melayan. Dicapai beg pakaian dan bagasi Rudiana serentak lalu dibawa ke dalam rumah.

“Eh Encik Iskandar, biar saya bawa beg saya tu sendiri,” tahan Rudiana sambil mencuba merampas beg dan bagasinya dari tangan Iskandar.

“Biar saya bawak, kalau awak berdegil saya potong gaji setengah bulan,” bidas Iskandar garang. Mengugut!

Rudiana terdiam. Tidak boleh berbuat apa lagi. Itu satu arahan. Sebagai pekerja dia perlu patuh pada arahan ketua. Kasihan pula dia melihat lelaki itu terkial-kial menarik bagasi dan membawa beg pakaiannya yang serba berat itu. Tapi, orang sudah mahu tolong, biarkanlah. Tak baik larang orang nak tambah pahala. Sempat lagi dia membebel sambil tertawa sendirian.

“Maisarah! Harez!” panggil Iskandar selepas melangkah masuk. Keadaan dalam banglo sunyi.

Rudiana terkesima. Tertegun melihat keindahan hiasan di dalam banglo ini. Cantik sekali. Dekorasi moden. Nyaman sekali kadaannya. Ada kolam kecil dengan air terjun di sudut penjuru rumah itu. Di dalam kolam itu kelihatan beberapa ekor ikan kaloi. Indah dan mengasyikkan dengan bunyi percikkan air terjun buatan itu. Memang berjiwa alam betullah bos aku ni. Rudiana beranggapan.

“Maisarah! Harez! Turun sekarang!” panggil Iskandar lagi. Kali ini agak keras nadanya.

Rudiana masih melihat setiap perabot yang ada di banglo ini. Nampak gayanya dia perlu berhati-hati dengan setiap benda yang ada di dalam banglo ini. Pasti semuanya mahal-mahal. Beberapa saat kemudian, muncul dua kanak-kanak dari arah tangga. Rudiana memandang lama ke arah dua kanak-kanak itu. Ini ke anak-anak tiri Encik Iskandar?

“Apa hal lambat?” marah Iskandar serius.

Maisarah dan Harez sudah terkulat-kulat ketakutan.

Hui… garangnya Encik Iskandar ni. Kalau dia bengis macam ni, jangan kata anak-anak tiri dia aje yang takut. Silap-silap aku pun takut. Rudiana sudah cuak.

Maisarah dan Harez membisu. Masing-masing buat muka ketat. Kalau membatah pasti semakin teruk mereka dimaki.

“Kenalkan ni pengasuh kamu berdua yang baharu. Mak cik ni akan jaga kamu mulai dari hari,” Iskandar memperkenalkan Rudiana pada Maisarah dan Harez.

“Mak cik? Macam dah tua pulak saya dengar. Panggil kakak tak boleh ke?” Rudiana mempertikai. Masakan dia yang baharu berusia 24 tahun sudah di gelar ‘mak cik’? Terasa tualah pula.

Iskandar menoleh memandang Rudiana tanpa secarik senyuman. Wajahnya ketat. “Ke… nak saya suruh mereka panggil awak mama?” jawab Iskandar dengan soalan. Wajahnya masih serius.

“Eh tak apa, mak cik pun, mak ciklah,” Rudiana akur.

Gila ke apa nak suruh budak-budak ni panggil aku mama. Lain macam aje bunyinya. Meremang bulu tengkok aku. Desis di hatinya lalu melangkah menghampiri Maisarah dan Harez untuk berkenal-kenalan. Tangan dihulur untuk bersalaman. “Selamat berkenalan pada kamu berdua,” Rudiana cuba beramah.

Maisarah dan Harez serentak menjeling maut. Salaman Rudiana tidak bersambut.

Senyuman girang Rudiana kaku. Amboi… kecik-kecik lagi dah pandai berlagak. Siap menjeling. Sah-sah mereka tak suka aku. Tapi tak apa, tahulah aku handle budak-budak ni. Salaman yang tidak bersambut ditarik semula.

“Kenapa kamu berdua tak salam tangan mak cik?” tanya Iskandar semakin bengang. Bengang dengan sikap biadap kedua-dua anak tirinya itu. Segarang mana pun dia, anak-anak tirinya itu langsung tidak mahu dengar kata.

“Eh, tak apalah Encik Iskandar, mereka belum terbiasa lagi tu. Lama-lama nanti okeylah,” Rudiana cuba memujuk. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan. Ini hari pertama dia berada di banglo indah ini. Dia tidak mahu rosakkan anginnya.

“Jom, saya tunjuk bilik awak,” arah Iskandar malas mahu melayan kerenah Maisarah dan Harez lagi. Beg pakaian dan bagasi Rudiana dibawa menuju ke arah dapur.

Sempat Rudiana mengenyit mata pada Maisarah dan Harez sebelum melangkah membontoti Iskandar. Namun, balasan yang dia dapat hanya jeliran lidah dan jelingan benci dari Maisarah dan Harez.

Maisarah dan Harez kembali ke aras atas untuk menonton televisyen.

“Ini bilik awak. Dekat dengan dapur dan dekat dengan bilik budak-budak tu. So, apa-apa hal nak kejut budak tu pergi Tadika ke, nak sediakan makanan ke, senang. Tak payah nak naik turun tangga,” jelas Iskandar sambil membawa beg pakaian dan bagasi Rudiana masuk ke dalam bilik yang memang disediakan khas untuk Rudiana.

Ini bukan bilik yang didiami oleh pengasuhnya yang lain sebelum ini. Ini bilik tetamu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia menyediakan bilik ini untuk Rudiana. Semalam, berhempas pulas dia merias bilik ini. Semuanya dilakukan semata-mata untuk Rudiana. Dia ingin Rudiana selesa di rumah ini. Mengapa dia buat semua itu? Dia sendiri pun tidak tahu. Dia melakukannya mengikut kehendak hatinya.

“Wah Encik Iskandar… dah macam bilik pengantin. Betul ke ni bilik saya ni? Encik Iskandar tak salah bilik ke?” tanya Rudiana teruja sekali. Matanya terus meliar melihat setiap sudut bilik itu. katil bersaiz king dengan langsir satin. Sungguh cantik. Dihias bagai bilik pengantin.

“Kita pengantin baharu, kan?” jawab Iskandar dengan muka selamba.

Rudiana kaku. Liur ditelan kesat. Betul ke apa aku dengar ni? Dia sudah seram sejuk.

Iskandar memandang sekilas ke arah Rudiana yang kelihatan cuak lalu dia menyembunyikan senyumannya. Tahu takut.

“Ini almari. Sana tu bilik air,” terang Iskandar sambil mengalakan telunjuknya ke arah bilik air di hadapannya. “Awak kemaslah dulu pakaian awak. Siap berkemas, rehat. Dah nak masuk waktu lunch kejap lagi. Kita lunch kat luar ajelah dengan budak-budak tu,” sambung Iskandar.

“Kita?” tanya Rudiana hairan. Terasa janggal arahan terakhir Iskandar itu.

Berkerut dahi Iskandar menandang Rudiana. “Saya ada cakap jiran sebelah ke?” balas Iskandar dengan soalan.

Rudiana tersengih. Sah memang Iskandar mengajaknya sekali.

“Ni baju-baju awak dalam beg awak ni nak saya tolong kemas ke?” tanya Iskandar sudah menukar topik. Laju tangannya ingin membuka zip beg pakaian Rudiana.

“Jangan!” lekas Rudiana merampas beg pakaiannya. “Biar saya kemas sendiri,” sambungnya lagi dengan sengihan meleret. Nasib baik sempat selamatkan. Kalau Encik Iskandar tengok isi beg ni, mahu malang nasib dia 40 hari.

Iskandar terkejut. Namun tidak membantah. “Apa-apa ajelah. Kemas cepat. Pukul satu nanti kita keluar lunch,” arah Iskandar malas mahu ambil pusing. Roman wajahnya terus-terusan serius. Lebih tepat dia seorang yang tegas.

“Emm… saya ada request,” tahan Rudiana sebelum sempat Iskandar melangkah keluar dari bilik itu.

Iskandar berpaling memandang Rudiana.

“Kalau kita keluar lunch selepas Zohor boleh tak?” pinta Rudiana takut-takut.

Iskandar diam sejenak. “Okey, kita keluar pukul 2.00,” akur Iskandar.

“Terima kasih.”

Baharu sahaja Iskandar ingin menyambung langkahnya, sekali lagi Rudiana menahan.

“Apa lagi?” tanya Iskandar separa tinggi suaranya. Nampak sangat dia sudah marah.

Rudiana tersentak sambil menutup mulut. Namun, dia perlu menanya. Kalau dia tidak menanya, boleh sesat hidupnya. Dengan takut-takut dia bertanya, “Kiblat arah mana?”

Dada Iskandar yang tiba-tiba berbara akibat amarah, serta merta sejuk mendengar pertanyaan Rudiana itu. Seperti api yang marak menjulang disirami air sejuk yang dingin.

“Sana,” jawab Iskandar sambil mendepakan tangannya ke arah barat. Betul-betul mengadap tingkap bilik itu. Dia kembali menyambung langkahnya yang tergendala tadi.

Selepas kelibat Iskandar hilang dari pandangan mata, lekas Rudiana menutup pintu bilik itu lalu dikunci dari dalam.

“Tanya sikit nak marah,” rungutnya lalu merebahkan tubuhanya di atas katil empuk itu. Seluruh sudut bilik itu di pandang lagi. Sungguh tidak diimpikan akan mendiami bilik seindah dan seselesa ini. Sesuatu yang tidak pernah dibayangkan. Mulai dari hari ini, bermulalah episod hidupnya yang baharu di banglo mewah yang dibernama Teratak Iskandar seperti yang tertera di tembok di luar tadi.

***

PROTON PERSONA milik Iskandar sudah meluncur meninggalkan perkarangan Teratak Iskandar. Seperti yang dijanjikan tadi, Iskandar telah membawa Maisarah, Harez dan Rudiana untuk makan tengah hari. Dia sengaja bawa mereka makan bersama agar boleh saling berkenalan.

Hampir lima belas minit perjalanan, keadaan di dalam kereta itu terus bisu. Hanya kedengaran bunyi deruan enjin kereta sahaja memecah kesunyian. Radio pun tidak dihidupkan. Lebih lima kali Rudiana menguap menahan kantuk.

Iskandar tertawa sinis memandang kuapan Rudiana itu. Maisarah dan Harez di tempat duduk belakang terus membatu. Masing-masing tunjuk muka ketat. Protes agaknya. Sehingga kini dia tidak tahu apa masalah anak-anak tirinya itu. Apakah Maisarah dan Harez masih boleh di anggap anak tirinya sedangkan dia dan ibu kepada dua beradik itu sudah bercerai? Iskandar mencuri pandang ke arah Rudiana di sebelahnya.

“Awak tak ada baju lain ke?” tanya Iskandar sekadar ingin berbasa basi. Bosan pula diam terlalu lama. Pengakhirnya nanti dia juga yang akan mengantuk.

“Huh? Awak tanya saya ke?” jawab Rudiana dengan soalan. Terkejut. Tiba-tiba sahaja Iskandar bertanya. Sangkanya bosnya itu tidak sudi berbual dengannya. Yalah, dia hanya pekerja sahaja. Kalau dia ada lesen memandu, sudah pasti dia akan jadi pemandu mereka. Mujurlah dia tidak ada lessen memandu kereta, merasa juga duduk sebelah bos sebagai penumpang. Sempat lagi dia berangan.

Iskandar tertawa sinis. Pandangannya terus fokus pada jalan raya. “Tak adalah, saya tanya lalat ni,” jawab Iskandar menyindir. Kebetulan ada seekor lalat yang terperangkap di dalam kereta itu terbang melintasi hidungnya lalu menghampiri Rudiana.

Dengan sepantas kilat Rudiana menepuk tangannya sekali. Pelepek! Telapak tangan terus melekap. Perlahan-lahan dia membuka tapak tangannya. Kasihan lalat tadi menjadi mangsa Rudiana. Mati dengan sia-sia. Rudiana memang pantang melihat benda terbang menghampirinya. Pasti akan dibunuh dengan tepukkan pantasnya. Serangga yang paling banyak menjadi mangsa tepukkannya selain lalat adalah nyamuk. Kalau di rumah sewanya, dialah pengumpul nyamuk terhandal setiap kali waktu malam.

“Awak ni pengotorlah. Awak tahu tak, pada badan lalat tu banyak kuman dan virus?” tegur Iskandar sudah menahan mual.

Rudiana tidak terus menjawab. Tingkap kereta dibuka lalu lalat yang sudah penyek tadi ditiup keluar. Tisu di dash board di carik sehelai lalu dilap tangannya. Kata-kata Iskandar itu dibuat tak endah sahaja. Dah tabiat dia, nak muat macam mana. Hakikatnya dia malas ingin menjawab soalan pertama Iskandar tadi mengenai pakaiannya. Tubuhnya, suka hati dialah mahu pakai baju apa pun.

Iskandar lekas membuka salah satu laci yang ada di dash board keretanya. Mencari sesuatu. “Nah, guna benda tu cuci tangan awak. Pengotor,” pinta Iskandar sambil mencampak sebotol gel tangan anti-bakteria kepada Rudiana. Dia masih menahan geli.

“Thank you bos,” ucap Rudiana lalu menuang sedikit gel tangan anti-bakteria itu ke tangannya.

Diam seketika. Rudiana menoleh ke belakang sekilas. Maisarah dan Harez masih bermasam muka memandang keluar kereta.

“Kita nak makan kat mana ni?” tanya Rudiana menukar topik.

Iskandar tidak terus menjawab. Dia sendiri masih mencari lokasi makan tengah hari mereka.

“Awak rasa kat mana best?” jawab Iskandar dengan pertanyaan.

Orang tanya dia, dia tanya kita balik. Kalau aku yang drive tak apalah. Ini tidak, dah sah-sah stereng kat tangan dia lagi nak tanya aku. Gumam Rudiana sekadar di kerongkong.

“Apa awak bebelkan tu?” tanya Iskandar. Telinganya dapat menangkap dengungan dari kerongkong Rudiana. Dan dengungan itu bernada sindiran. Dia tahu Rudiana sedang menyindirnya ketika ini.

“Huh? Mana ada,” tukas Rudiana lalu berdehem beberapa kali. “Tekak gatal.” Mengelabah Rudiana memberi alasan itu.

Diam seketika. Iskandar tersenyum dalam sembunyi. Gadis di sebelahnya itu sangat luar biasa di matanya. Ini kali pertama dia berhadapan dengan gadis seperti Rudiana. Semasa di kolej dulu bukannya tiada wanita bergaya kasar persis lelaki seperti Rudiana. Ada ramai, cuma dia tidak pernah mendekati insan seperti Rudiana. Rudiana adalah yang pertama. Tidak menyangka insan seperti Rudiana ini lucu rupanya.

“Kita makan kat Anjung Warisan ajelah ya? Lama tak pekena beriani gam,” akhirnya Iskandar membuat keputusan.

“Okey aje, janji bos belanja,” balas Rudiana sambil membuat muka selamba memandang keluar kereta.

Lima minit kemudian, mereka pun sampai ke Restoran Anjung Warisan. Sebuah restoran terkenal di Johor Bahru ini dengan biriani gam Batu Pahatnya. Rudiana yang lebih nampak teruja berbanding Maisarah dan Harez yang terus buat muka ketat tunjuk protes. Sehingga kini Rudiana masih tidak tahu apa punca sebenar dua beradik itu terus-terusan bermasam muka.

Sampai sahaja di dalam restoran, Iskandar meminta diri sebentar ke tandas. Tiba-tiba terasa ingin buang air. Maisarah dan Harez ditinggakan sebentar bersama Rudiana sebentar. Memberi ruang untuk mereka bertiga saling kenal mengenali.

Langkah disusun laju menuju ke tandas. Namun, entah bagaimana semasa dia ingin memesongkan langkah ke arah tandas dia terempuh tubuh seorang perempuan. Mujurlah tidak kuat.

“Maafkan saya cik,” pohon Iskandar serba salah. Dia tahu dia yang salah.

Wanita di hadapannya itu terpempan melihatnya. “Iskandar?” tanya wanita itu ingin kepastian.

Iskandar berkerut dahi cuba mengecam wanita di hadapannya itu. Seolah dia kenal. Dia berfikir-fikir sebentar. “Amanina?” tanya Iskdandar balik. Wajahnya terkejut. Tidak menyangka akan dipertemukan lagi dengan wanita yang sedang berdiri di hadapannya ketika ini.

← NEWER
OLDER →